Murid hidap penyakit sendi dapat kerusi roda – Bernama


Murid hidap penyakit sendi dapat kerusi roda

12 Jun 2013

 

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit sendi lembek hari ini mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu yang menghulurkan bantuan kerusi roda bagi memudahkannya bergerak terutama semasa di sekolah.

Nur Fatihah Abdul Karim, 12, murid Sekolah Kebangsaan Bukit Payung di Marang, menghidap penyakit itu sejak dilahirkan.

“Saya sungguh gembira mendapat kerusi roda baharu yang diberi kerajaan hari ini. Dengan kerusi ini bolehlah saya bergerak dengan lebih selesa kerana ia automatik,” katanya kepada pemberita ketika menerima kerusi roda yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Nur Fatihah, anak sulung dari empat beradik yang meminati Bahasa Inggeris dan bercita-cita menjadi guru, berkata, penyakit yang dialaminya menyebabkannya lumpuh kedua-dua belah kaki serta tangan yang memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak.

Bapa kanak-kanak itu, Abdul Karim Abdullah, 40, yang menemani anaknya menerima bantuan itu, berkata setiap hari beliau menghantar anaknya ke sekolah pada 6.30 pagi sebelum memulakan perniagaan menjual ikan di pasar-pasar minggu.

Beliau berkata sebelum ini anaknya sudah mempunyai kerusi roda biasa yang diperoleh melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang.

“Saya bersyukur mendapat bantuan ini kerana saya yang bekerja menjual ikan dengan pendapatan yang tidak menentu, tak mampu untuk membelinya sendiri,” katanya.

Ahmad pula ketika ditemui berkata pemberian bantuan kerusi roda bernilai RM5,000 itu adalah di bawah peruntukan Tabung Penyakit Kronik Kerajaan Terengganu.

Beliau berkata di bawah tabung itu, kerajaan negeri menyediakan RM10 juta setahun untuk membantu rakyat yang menghidap penyakit jantung, buah pinggang, kanser dan penyakit kronik lain.

Sebanyak RM2.5 juta lagi bagi membantu rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan seperti kaki palsu, lampin pakai buang, susu dan sebagainya, katanya. – Bernama

Derita ditokak beruk jiran – Metro


Derita ditokak beruk jiran
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun nyaris maut diserang seekor beruk ketika pulang dari kelas tambahan di Bukit Payung, Marang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Muhammad Fathurrahaman Abd Salam tidak sempat melarikan diri apabila beruk peliharaan seorang penduduk di kampung berhampiran terlepas dan mengamuk serta mengejar hampir 30 kanak-kanak yang pulang dari pusat tuisyen berkenaan. Fathurrahaman hanya mampu meraung selepas beruk mempunyai taring tajam menggigit lengan kirinya sebelum diselamatkan guru tuisyen yang melarikan mangsa berlumuran darah dalam tandas berhampiran.
Bagaimanapun, tindakan guru menyelamatkan mangsa tidak bertahan lama apabila beruk yang masih mengganas di luar tandas kembali menyerang dan menggigit mangsa bersama gurunya ketika cuba keluar dari tandas berkenaan.

Ibu mangsa, Norliana Mohd Syamsu, 31, yang menetap di Kampung Rawai, Marang, ketika dihubungi berkata, anaknya cedera parah di bahagian lengan kiri dan kini dirawat di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Menurutnya, sebelum menjemput anaknya pulang dari pusat tuisyen, dia ada mendengar cerita dari penduduk kampung mengenai seorang kanak-kanak diserang beruk, tetapi tidak mengetahui yang menjadi mangsa anaknya sendiri.
Katanya, sebaik tiba di pusat tuisyen itu, dia melihat anggota Rela menembak mati seekor beruk sebelum terkejut melihat keadaan anak sulungnya berlumuran darah diserang beruk berkenaan.

“Tanpa berlengah saya bergegas menghubungi suami dan membawa anak ke Klinik Bukit Payung mendapatkan rawatan sebelum diminta rujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Sementara itu, bapa Fathurrahaman, Abd Salam Mohamad, 31, yang menemani anaknya di HSNZ berkata, terdapat dua kesan luka sedalam 5.08 sentimeter dan 3.81 sentimeter di lengan kiri anaknya akibat gigitan beruk itu.