Jerebu: Semua sekolah di Melaka diarah turup
MELAKA 23 Jun – Semua sekolah di negeri ini diarah tutup buat sementara bermula esok sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Penutupan itu melibatkan 313 buah sekolah rendah dan menengah sekitar negeri ini membabitkan seramai 159,570 orang murid.
Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, kerajaan negeri merasakan tahap udara akibat jerebu kini telah sampai ke tahap yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan.
“Ini adalah kerana landaan jerebu yang kini cecah tahap bacaan IPU 456 di sesetengah kawasan termasuk Bukit Rambai, Klebang dan Tanjung Minyak pada pukul 2 petang tadi.
“Bandar Melaka pula pada masa sama mencecah IPU 397 dan setakat ini kita tidak nampak ada kaedah untuk kurangkan serangan jerebu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar khas di Hotel Permaisuri, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Jumaat lalu sebanyak 480 buah tadika di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIM), Kemas dan Perpaduan telah diarah tutup dan penutupan itu diteruskan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan. – UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_27/Jerebu-Semua-sekolah-di-Melaka-diarah-turup#ixzz2X2jITpam
© Utusan Melayu (M) Bhd