Pelan Pembangunan Pendidikan Bukti Kerajaan Serius Tingkatkan Taraf Sekolah Ikut Piawaian Antarabangsa – Bernama


Pelan Pembangunan Pendidikan Bukti Kerajaan Serius Tingkatkan Taraf Sekolah Ikut Piawaian Antarabangsa

MUAR: Langkah menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) ialah usaha serius kerajaan untuk memastikan pencapaian semua sekolah di negara ini setara atau melebihi piawaian di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha itu mencakupi semua sekolah dan bukan hanya sekolah kebangsaan seperti tanggapan segelintir pihak.

“Ada beranggapan Pelan Pembangunan Pendidikan ini seperti memberi tumpuan kepada sekolah kebangsaan sahaja, mungkin kerana ia lebih besar.

“Hakikatnya pelan itu juga melibatkan sekolah jenis kebangsaan termasuk Cina dan Tamil agar dapat dipertingkat tarafnya termasuk sekolah mubaligh dan sekolah agama,” kata Muhyiddin yang juga menteri pelajaran ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Parlimen Pagoh di sini pada Jumaat.

Majlis turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ketua Wanita Umno Pagoh Senator Noriah Mahat dan anggota dewan undangan negeri Bukit Serampang, Datuk Tahir Ta’at.

Muhyiddin berkata usaha ke arah itu merupakan satu cabaran dan lebih bebanan kerja memandangkan ia memerlukan kecekapan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi.

Dalam masa yang sama, katanya, pihak guru dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG)perlu menjalankan tanggungjawab untuk membolehkan apa yang dirancang dalam PPPM disempurnakan dengan sebaiknya.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh menyerahkan kelengkapan sukan dan meluangkan masa menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Tan Sri Muhyiddin Yassin di padang sekolah berkenaan.

Beliau selepas itu turut menghadiri majlis penyerahan bas sekolah dan sambutan ulangtahun ke-111 Sekolah Tinggi Muar di sini. –BERNAMA

Pendidikan agenda utama – TPM – Utusan


Pendidikan agenda utama – TPM

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin melihat barangan jualan ketika melawat ke gerai-gerai selepas pelancaran Jom Beli Barangan Raya di Kompleks Sukan, Pagoh, Johor, semalam. – BERNAMA
PAGOH 4 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama dalam kehidupan kerana ia merupakan aspek penting dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan amat mementingkan bidang pendidikan dengan memastikan setiap rakyat mendapat peluang bersekolah dan mempelajari ilmu tanpa mengira kaum atau agama.

“Tiada sebab kita tidak dapat belajar ilmu dunia, ilmu agama dan sebagainya kerana dengan ilmu inilah akan dapat mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup kita.

“Kerajaan memang mementingkan pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis tahlil dan berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Baru Batu 28, Lenga, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh.

Terdahulu, beliau melawat dan beramah-mesra dengan orang ramai sebelum merasmikan Program Jom Beli Barang Raya @ Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, yang diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Muhyiddin berkata, usaha kerajaan membangunkan rakyat dan negara selepas merdeka kini mencatatkan kadar positif apabila kemiskinan ketika ini hanya dua hingga tiga peratus berbanding 70 peratus sewaktu negara baru merdeka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menambah, kerajaan tidak mahu melihat rakyat terbiar atau terpinggir kerana asas untuk menjadi negara maju adalah menerusi pendidikan yang seterusnya dapat meningkatkan ekonomi serta menangani cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Beliau turut mengingatkan umat Islam mengambil peluang sepanjang Ramadan kali ini untuk memperbaiki diri dan meningkatkan ibadat kerana bulan tersebut penuh dengan rahmat dan keberkatan.

“Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi lebih daripada itu dapat membentuk jati diri selain merasai kesusahan orang lain kerana umat Islam di negara ini tidak merasai kesusahan seperti di negara Islam lain yang dilanda musibah dan kebuluran,” katanya.

Awasi tabiat makan anak-anak – Sinar Harian


Awasi tabiat makan anak-anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Jun 2012

Tahir menurunkan tandatangan sebagai simbolik melancarkan Mini Karnival
Pemakanan Sihat Komuniti Pagoh di Dataran Gersik dekat sini, baru-baru ini.
LEDANG – Ibu bapa dan pengusaha tadika diminta menyediakan diet yang sihat untuk kanak-kanak bagi menggalakkan pertumbuhan yang baik dari segi mental dan fizikal mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat berkata, mereka juga perlu menghalang anak-anak daripada makan makanan ringan secara berlebihan yang boleh menyebabkan obesiti dan pertumbuhan tidak seimbang.

Menurutnya, bayi dan kanak-kanak prasekolah harus diberikan formula pemakanan yang sihat dan lengkap dengan nutrisi seimbang termasuk susu bagi memastikan mereka memperoleh diet sihat untuk membesar.

“Kita sering berasa gembira apabila lihat kanak-kanak montel dan menyangka mereka sihat, tetapi sebaliknya.

“Montel bermakna bayi atau kanak-kanak ini mengalami masalah lebihan berat badan,” katanya ketika berucap melancarkan Mini Karnival Pemakanan Sihat Komuniti Pagoh di Dataran Gersik dekat sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, diet dan gaya hidup sihat sentiasa diperlukan sepanjang masa.

“Tabiat pemakanan yang sihat akan menggalakkan pertumbuhan fizikal dan mental yang baik dalam kalangan kanak-kanak, secara tidak langsung dapat meningkatkan pembangunan rohani serta intelek.

“Saya menyambut baik penganjuran karnival ini kerana dapat memberi pendedahan kepada penduduk kampung berkaitan kepentingan diet sihat,” katanya.

Katanya, karnival tersebut juga melibatkan perbincangan mengenai pemakanan dan gaya hidup sihat serta acara sukan berorientasi keluarga.

Terdahulu Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Johor, Kapten (B) Abdul Rahim Mohd Salleh berkata, penganjuran karnival berkenaan bertujuan untuk mempromosikan cara pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

“Jabatan telah memutuskan untuk menganjurkan sembilan karnival yang sama tahun ini dan Pagoh menjadi tuan rumah ketiga selepas Ledang dan Kota Tinggi,” katanya.

Kurikulum Bahasa Inggeris dinilai semula: TPM – Berita Harian


Kurikulum Bahasa Inggeris dinilai semula: TPM

2011/08/07

MUHYIDDIN menyampaikan hadiah  kepada tokoh pelajar, Mohd Nazri Md Najib sambil diperhatikan Ahmad  (tiga dari kiri) di SMK FELDA Maokil, semalam. - Foto BERNAMA

MUHYIDDIN menyampaikan hadiah kepada tokoh pelajar, Mohd Nazri Md Najib sambil diperhatikan Ahmad (tiga dari kiri) di SMK FELDA Maokil, semalam. – Foto BERNAMA

PAGOH: Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Ketua Pengarah Pelajaran sudah diarah melihat semula kurikulum Bahasa Inggeris di sekolah kenapa sampai hari ini anak-anak yang masuk universiti pun masih rendah dan amat sederhana sekali tahap penguasaan Bahasa Inggeris.

“Kita nak lihat anak luar bandar menguasai dua bahasa, selain Bahasa Melayu tapi Bahasa Inggeris tidak boleh diabaikan supaya setiap anak kita yang masuk sekolah dapat kuasai dua bahasa,” katanya ketika berucap dalam lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Maokil di sini, petang semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat; ADUN Jorak, Datuk Dr Sharuddin Salleh serta Pengetua SMK FELDA Maokil, Noor Hashimah Hassan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, semakan juga perlu dibuat mengenai penugasan guru opsyen Bahasa Inggeris yang kemungkinan mengajar subjek lain di sekolah masing-masing.

“Kalau kita belajar Bahasa Arab pun cuma perlu ambil tempoh setahun dua saja untuk menguasainya… kenapa belajar Bahasa Inggeris selama 13 tahun tapi tak mampu kuasai?,” katanya.