Buku seorang guru – Kosmo


Buku seorang guru

 

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

WAN ZAYUHISHAM menunjukkan buku-buku yang telah ditulisnya sejak tahun 2009.

 

MEMILIH kerjaya sebagai seorang pendidik, Wan Zayuhisham Wan Yusoff, 41, mengakui, beliau amat bersyukur dengan perjalanan hidupnya yang telah diatur Ilahi.

Selama 17 tahun bergelar guru, banyak pengalaman pahit manis yang diperoleh dalam dunia persekolahan yang saban tahun semakin mencabar. Ini kerana perkembangan teknologi juga menjadikan para pelajar lebih ke hadapan dalam pelbagai aspek.

Situasi itu sekali gus memberi cabaran besar buat guru bagi menangani masalah tersebut. Menyedari hakikat itu, Wan Zayuhisham terpanggil untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat melalui penulisan buku-buku remaja.

Terbaharu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan PPR Taman Lembah Subang itu tampil dengan karya bertajuk Cikgu, Anak Saya Okey? yang memaparkan pelbagai dilema yang dihadapi pelajar.

Ia merupakan sebuah buku motivasi kedua beliau selepas menghasilkan buku Suami Yang Teruji berdasarkan catatan pengalaman, pengisahan rakan-rakan guru serta pemerhatian sendiri mengenai isu-isu pendidikan dan persekolahan.

Menurut Wan Zayuhisham, selain menulis mengenai masalah yang dihadapi, beliau juga memberi pandangan untuk mengatasinya. Tidak ketinggalan, tip-tip ringkas untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak turut diselitkan.

“Jujur saya katakan, bahawa apa yang dipaparkan dalam buku ini bukan untuk mengajar ibu bapa mendidik anak-anak tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan kaedah yang pernah dipelajari melalui kelas pengajian, seminar, diskusi dan pembacaan.

“Buku ini juga mampu memberikan gambaran keseluruhan kepada para ibu bapa mengenai dunia persekolahan anak-anak,” ujar Wan Zayuhisham sambil memberitahu, buku itu disiapkan sewaktu cuti persekolahan pada bulan November dan Disember tahun lalu.

Lapan buah buku

Mula terjun dalam dunia penulisan sejak Mei 2009, anak kelahiran Setiu, Terengganu itu sudah menghasilkan lapan buah buku.

Buku pertamanya bertajuk Impian Juara diterbitkan pada 2010. Ia diikuti Ops Menjejak Pencuri, juga pada tahun yang sama, Impian Juara 2 (2011), Ops Conteng dan Suami Yang Teruji (2012) serta Erti Persahabatan dan Ulat Buku (2013).

Tambah beliau, kesibukan tugas sebagai seorang guru bukan penghalang untuknya aktif menulis. Apa yang penting, pengurusan masa yang bijak mampu membantu mencapai kejayaannya dalam bidang penulisan.

“Saya biasa menulis selepas asar tetapi pada kebanyakan masa, waktu yang paling ideal bagi saya adalah selepas isyak dan awal pagi. Ada ketika, saya juga pernah tertidur di hadapan komputer gara-gara terlalu letih,” luah bapa kepada lima cahaya mata itu lagi.

Ditanya mengenai kepuasan yang dirasai dalam bidang penulisan, Wan Zayuhisham pantas menjawab: “Perasaan itu sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Bagi saya, bila seseorang penulis dapat menghasilkan sebuah buku, ia boleh diibaratkan seperti melahirkan bayi. Itu yang saya rasa.”

Selain SK PPR Taman Lembah Subang, Wan Zayuhisham pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku (1994-1998), diikuti SK Sains Dominic (1999-2002), kedua-duanya di Lahad Datu, Sabah dan SK Taman Medan, Jalan Klang Lama (2003-2010).

Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan Wan Zayu- hisham, layari laman blognya ilhamwan.blogspot.com.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2XnRXUpSS
Hakcipta terpelihara

400 murid SK Tanjung Labian, Lok Buani kembali ke sekolah – Utusan


400 murid SK Tanjung Labian, Lok Buani kembali ke sekolah

LAHAD DATU 7 April – Selepas lama ‘bercuti’ akibat kekecohan yang ditimbulkan kumpulan pengganas Kiram, kira-kira 400 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Lok Buani yang terletak dalam zon Operasi Daulat akan kembali meneruskan persekolahan esok.

Kebanyakan murid yang ditemui mengakui, mereka sudah tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan biar pun masih dikelilingi ratusan anggota keselamatan polis dan tentera.

Bagi murid tahun enam SK Tanjung Labian, Andrian Musli, 12, perkara yang paling ditunggu-tunggu adalah untuk bertemu semula dengan rakan-rakan sekolahnya.

“Sejak berpindah ke pusat pemindahan sementara, saya tidak lagi berjumpa rakan-rakan sekolah. Saya tidak sabar untuk bertemu mereka semula apabila sekolah dibuka esok.

“Lagi pun kami akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Saya mahu kembali belajar bersungguh-sungguh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Adiknya, Asri Musli yang merupakan murid tahun tiga sekolah sama, tidak dapat menyembunyi perasaan sedih kerana banyak peralatan sekolah telah rosak dan hilang akibat pencerobohan itu.

“Nasib baik baju sekolah dan buku-buku masih ada. Tidak sabar sebenarnya untuk kembali ke sekolah selepas lebih sebulan ‘cuti panjang’,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Lok Buani, Saabi Hasim, 45, berkata, beliau bersyukur kerana tiada kerosakan berlaku di sekolah tersebut biar pun lebih sebulan ditinggalkan.

“Kami sedang dalam usaha memaklumkan kepada murid-murid dan ibu bapa mengenai pembukaan semula sekolah Isnin ini.

“Diharapkan kehadiran murid dapat mencapai 100 peratus walaupun kami sedar mungkin ada kesukaran kepada sesetengah mereka untuk hadir ke sekolah,” katanya.

Saabi berkata, beliau juga berbangga dengan semangat ditunjukkan para guru di sekolah itu yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130408/dn_06/400-murid-SK-Tanjung-Labian-Lok-Buani-kembali-ke-sekolah#ixzz2Pr2KvZWl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Badan Penulis Buku-Buku Ilmu Di Kalangan Pendidik Akan Ditubuhkan – Bernama


Badan Penulis Buku-Buku Ilmu Di Kalangan Pendidik Akan Ditubuhkan

GEORGE TOWN: Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) akan menubuhkan satu badan penulis buku-buku ilmu di kalangan pendidik bagi memperbanyakkan jumlah buku ilmu dalam koleksi penerbitan buku di negara ini.

Penasihat PPBMM, Prof Emeritus Abdullah Hassan berkata bilangan penulis buku ilmu dalam negara perlu diperbanyakkan setanding negara-negara luar agar bagi melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu hasil pembacaan bahan-bahan penerbitan seperti itu mulai sekarang.

Katanya, negara sudah terlalu banyak menghasilkan penulis dalam bidang novel, cereka, cerpen dan drama yang berbentuk kreatif tetapi masih kekurangan dalam menghasilkan penulis buku-buku ilmu untuk menambah pengetahuan rakyat.

“Kebanyakan buku ilmu yang diterbitkan adalah hasil terjemahan penulis barat yang kebanyakan ilmunya berpandukan idea dan pengetahuan barat,” katanya ketika menutup mesyuarat agung PPBMM yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu.

Justeru, katanya, satu usul telah diluluskan sebulat suara supaya PPBMM menubuhkan badan penulis buku ilmu di kalangan pendidik termasuk dari kalangan pensyarah dan pelajar universiti, institusi pendidikan perguruan dan guru sekolah yang kemudian boleh digunapakai sebagai bahan rujukan kepada pelajar dan murid di institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Abdullah berkata dalam mesyuarat itu PPBMM meluluskan sebulat suara usul menjalin kerjasama persefahaman dengan universiti luar negara terutamanya dari Jepun, Korea Selatan, Jerman dan China dalam bidang bahasa mulai tahun ini.

Katanya, dengan usaha itu Bahasa Melayu boleh diperluaskan ke peringkat antarabangsa selain membuka peluang kepada anggota PPBMM mempelajari bahasa asing.

Sementara itu, Prof Madya Dr Hashim Othman dari USM mengekalkan jawatannya sebagai Presiden PPBMM bagi sesi 2013-2015. BERNAMA

10 pelajar Parlimen Lumut terima biasiswa Bakti – Sinar Harian


10 pelajar Parlimen Lumut terima biasiswa Bakti
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012
MANJUNG – Seramai 10 pelajar dari Parlimen Lumut menerima Biasiswa Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) sebanyak RM600 setiap seorang. Majlis penyampaian cek biasiswa berkenaan telah disempurnakan isteri Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datin Seri Chan Tat Chin.

Tat Chin berkata, biasiswa itu bertujuan untuk membantu meringankan bebanan pelajar dalam menyediakan keperluan mereka. “Kita mahu mereka menggunakan wang biasiswa ini untuk memberi peralatan sekolah termasuk buku-buku dan kelengkapan lain.

“Gunakan sebaik mungkin wang yang diberikan supaya mencapai matlamat yang diinginkan. “Kita mahu melahirkan modal insan yang cemerlang melalui bantuan yang disediakan ini,” katanya. Biasiswa itu ditawarkan kepada pelajar tingkatan empat dan lima yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik sejak 2004 lalu.