Pengasas pengajian bahasa Melayu di Rusia meninggal dunia – Utusan


Pengasas pengajian bahasa Melayu di Rusia meninggal dunia

Dr. Tatiana V. Dorofeeva

 

MOSCOW 4 Feb. – Pakar bahasa Melayu berbangsa Rusia yang juga individu pertama memperkenalkan bahasa kebangsaan di negara Soviet Union, Dr. Tatiana V. Dorofeeva, 64, meninggal dunia minggu lepas akibat penyakit barah..

Beliau memperkenalkan pengajian bahasa Melayu di Institut Negara-Negara Asia dan Afrika, Moscow State University dan University of Applied Oriental Studies, Moscow.

Dorofeeva yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Persatuan Nusantara telah menyatukan para pengkaji dunia Melayu, Moscow dan St.Petersburg, merupakan individu yang amat meminati dan cintakan bahasa Melayu lebih daripada segalanya.

Kali pertama pensyarah itu jatuh cinta kepada bahasa Melayu ialah ketika beliau mendapat peluang menjadi pelajar pemerhati di Universiti Malaya pada tahun 1970 hingga 1971.

Ketika itu, Dorofeeva merupakan pengajar di Jabatan Filologi Negara-Negara Asia Tenggara.

Dorofeeva pernah menceritakan bahawa beliau menyedari versi bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan di negara ini sepatutnya mendapat tempat tersendiri di dalam kurikulum universitinya.

Berkat usaha dan kegigihan Dorofeeva, pengajian Melayu (Malaysia) dilancarkan di jabatannya pada 1972 dan beliau menjadi pensyarah pertama bahasa Melayu sehingga ke akhir hayatnya.

Bekas pensyarah itu sentiasa memberi harapan kepada para pelajarnya untuk mendapat peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan bahasa Melayu, sama ada di Malaysia atau di Rusia.

Dorofeeva bukan sahaja pakar dalam bidang bahasa Melayu dan mempunyai doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Linguistik (bahasa Melayu), bahkan beliau juga seorang penterjemah dan penyelidik, penulis rencana akademik bahasa dan sejarah bahasa Malaysia dan penulis buku teks bahasa Melayu.

Antara sumbangannya ialah menjadi pengasas pengajian bahasa Melayu di Rusia, menghasilkan buku pelajaran bahasa Melayu bagi pelajar di negara itu dan menerbitkan buku bertajuk Sejarah Penulisan Bahasa Melayu.

Beliau juga pernah menerbitkan terjemahan novel Seluang Menodak Baung karya Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad ke dalam bahasa Rusia.

n OLGA Vadimovna Vasilevskaya merupakan bekas juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2007.

Pemandu diuji kereta automatik tidak dibenar pandu kereta manual – Bernama


Pemandu diuji kereta automatik tidak dibenar pandu kereta manual

2012/01/10

IPOH: Mereka yang memegang lesen memandu selepas diuji dengan kenderaan transmisi automatik hanya dibenarkan memandu kenderaan jenis itu sahaja mulai Mei ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan sistem baru itu, pemandu yang lulus selepas diuji menggunakan kenderaan manual dibenarkan memandu kedua-dua jenis kenderaan, transmisi automatik dan manual.

“Kita sedang membuat satu rancangan pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap yang merangkumi ujian menggunakan kereta automatik sebagai satu pilihan.

“Terpulang pada pelajar untuk memilih sama ada mereka hendak diuji dengan kenderaan automatik atau manual untuk belajar.

“Mereka yang diuji kereta manual lesen memandu boleh digunakan untuk memandu manual dan auto manakala mereka yang diuji dengan kereta auto, pemegang lesen hanya boleh memandu kereta auto sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan cek Magnum IT Sdn Bhd sebanyak RM69,000 kepada 23 badan-badan kebajikan di seluruh Perak.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu yang akan dilaksanakan pada Mei selepas pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap.
Mengenai pendidikan keselamatan jalan raya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah, Kong berkata, kerajaan bercadang untuk melanjutkannya sehingga ke Tingkatan Empat bagi mewujudkan satu budaya keselamatan jalan raya di kalangan generasi muda.

Kong berkata, bagi Tingkatan Satu sebuah buku teks yang mengandungi pendidikan keselamatan jalan raya disediakan mulai tahun ini.

“Ini adalah satu usaha kerajaan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai satu usaha untuk membantu pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan undang-undang jalan raya,” katanya.

Pada April 2007, JKJR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan pendidikan keselamatan jalan raya yang diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, bermula di 1,000 sekolah rendah terpilih. – BERNAMA