Buli: Ibu mangsa ambil tindakan undang-undang – Sinar Harian


Buli: Ibu mangsa ambil tindakan undang-undang

NOOR AZLIDA ALIMIN
28 Jun 2013
Buli: Ibu mangsa ambil tindakan undang-undang
Rosnani dan suaminya, membuat laporan polis berhubung kejadian ini.

PASIR MAS – Ibu bapa mangsa buli di sekolah, mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap lapan pelajar yang menyerang anak mereka sehingga mendatangkan kecederaan parah.

Ibu mangsa, Rosnani Abd Ghani, 39, berkata, ini akan memberi pengajaran kepada mereka di atas kes salah laku yang dilakukan.

Menurutnya, kesalahan dilakukan pelajar berkenaan terlalu serius dan berlagak umpama kumpulan samseng.

“Saya tak dapat bayangkan, bagaimana anak saya, Khairul Radhuan Pakri, 17, dikepung lapan lelaki dan diserang bertubi-tubi.

“Ekoran kejadian itu, emosi anak saya terganggu dan saya risau ia memberi kesan jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Rosnani turut meluahkan kerisauannya terhadap pembelajaran anaknya menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November ini.

Menurutnya, Khairul terpaksa berehat selama dua minggu sebelum pembedahan dilakukan Julai ini.

Tambahnya lagi, anaknya perlu berehat sekurang-kurangnya enam minggu untuk proses penyembuhan.

Pelajar kecewa dituduh terbabit kes buli – Bernama


Pelajar kecewa dituduh terbabit kes buli

2013/04/13 – 17:13:40 PMCetakEmel Kawan
BUTTERWORTH: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah Sekolah Menengah di sini kecewa kerana dituduh membuli seorang pelajar lain, bulan lalu.

Luqman Al Hakim Ahmad, 15, menafikan bahawa dia terbabit dengan kes itu dan suadh membuat laporan polis sebaik mengetahui gambarnya dimuat naik di laman sosial dan dianggap sebagai suspek utama kejadian itu.

Dia turut merasa trauma untuk keluar rumah, katanya.

“Saya pelik apabila ibu bertanya sama ada saya terbabit dengan kejadian buli di sekolah. Ibu beritahu sepupu saya ada datang ke rumah dan maklumkan bahawa gambar saya dimuat naik di blog kerana membuli seorang pelajar.

“Saya terus periksa telefon bimbit saya dan terkejut melihat banyak nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon saya. Kemudian saya semak akaun Facebook, Twitter dan Instagram saya yang semuanya penuh dengan komen dari orang yang saya tak kenal.

“Mereka tuduh saya macam-macam, saya jadi takut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak bongsu dari lima beradik itu kemudiannya bertindak menutup sementara akaun lama sosialnya kerana tertekan dengan tohmahan orang ramai yang tidak tahu keadaan sebenar.
“Saya juga tidak boleh tidur lena, susah untuk beri tumpuan ketika belajar dan takut untuk keluar rumah kerana bimbang dicederakan,” katanya.

Baru-baru ini tersiar sebuah klip video di Facebook dan Youtube yang memperlihatkan seorang pelajar lelaki dibelasah bertubi-tubi oleh seorang pelajar yang kemudiannya turut disertai dua pelajar lain.

Jabatan Pelajaran Negeri berkata ketiga-tiga pelajar terbabit sudah dikenakan tindakan dibuang sekolah sementara mangsa dilapor tidak mengalami kecederaan serius.

Luqman Al Hakim yang mengenali ketiga-tiga pelajar terbabit berkata ketika kejadian dia berada di dalam kelas yang berlainan dan hanya mengetahui insiden itu seminggu selepas kejadian.

“Saya hairan kenapa saya dikaitkan dalam kejadian itu, mungkin mereka ingat saya yang terbabit sebab wajah saya mirip salah seorang daripada pelajar berkenaan, kemudian gambar saya disebar di Internet,” katanya. – BERNAMA

Jiran ludah muka isteri – Metro


Jiran ludah muka isteri
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

MANGSA…Amir menunjukkan tangannya yang patah.
AMPANG: “Pak cik itu menolak ayah hingga terjatuh dan saya yang cuba membantu juga diangkat sebelum dihempas ke lantai menyebabkan tangan kiri patah,” kata seorang remaja lelaki dikenali sebagai Amir, 17, yang mendakwa dicederakan jirannya hanya kerana tidak puas hati.

Difahamkan, suspek yang berusia 40-an itu, dikatakan menuduh mangsa merosakkan motosikal anak lelakinya menyebabkannya tidak puas hati hingga tercetus pertengkaran.
Berikutan kecederaan itu, Amir terpaksa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Taman Melawati, di sini, Khamis lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, berkata, kejadian bermula 19 Jun lalu ketika anaknya berada di rumah sebelum didatangi anak jirannya berusia 13 tahun yang meminta bantuan selepas mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah.
“Anak saya yang bersimpati kemudian membantu menyelesaikan masalah anak jiran itu, tetapi malangnya motosikal anak jiran itu turut dipecahkan ketika diletakkan di tempat letak motosikal di sekolah mereka.
“Tanpa usul periksa, dia (suspek) menuduh konon Amir yang melakukan perkara itu menyebabkan dia bersama dua anaknya dan seorang saudara merosakkan pula motosikal anak saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurutnya, suspek mengaku bersalah dan sudi membayar ganti rugi selepas meminta penjelasan merosakkan motosikal Amir.
“Saya sangka perkara itu selesai, namun pada keesokan hari, dia datang ke rumah jam 3 petang dan mengugut mahu mencederakan isteri jika kami melintas di depan rumah mereka.

“Isteri saya turut diludah di muka dan menghamburkan kata-kata kesat,” katanya.
Ahmad berkata, selepas diadu sikap biadab jiranya itu, dia dan Amir pergi meminta penjelasan daripada suspek kira-kira jam 9 malam di rumah lelaki terbabit.
“Namun, lelaki terbabit tidak mahu berbincang, sebaliknya menolak saya hingga terjatuh dan kebetulan Amir yang berdiri di sebelah cuba membantu turut sama menjadi mangsa selepas diangkat dan dihempas ke lantai,” katanya.
Berikutan itu, Amir mengadu sakit pada tangan kiri sebelum dibawa ke HKL, Khamis lalu dan doktor mengesahkan tangannya patah.
Ahmad yang tidak puas hati dengan kejadian itu akhirnya nekad membuat laporan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.