Rindu telatah anak sulung – Sinar Harian


Rindu telatah anak sulung

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 November 2012

JOHOR BAHRU – Seorang bapa tidak menyangka tindakan anak sulungnya beriya-iya mengikutnya ke tapak pembinaan berakhir duka apabila dihempap kepingan blok sehingga hampir meragut nyawanya, dalam kejadian Ogos tahun lalu.

Fauzan Rahmad, 50 berkata, anaknya, Mohd Oca Santosa Fauzan, 16, ketika itu baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) nekad mengikutnya ke tempat kerja untuk mengisi masa terluang.

“Walaupun ditegah, dia tetap mahu mengikut saya ke tempat kerja kerana katanya bosan tanpa aktiviti di rumah, sedangkan sebelum ini dia gemar tidur semula selepas solat Subuh.

“Saya sangkakan anak saya ketika itu sudah mati apabila melihat bahagian kepalanya mengalami cedera parah selepas dihempap kepingan blok ketika membawakan makanan dan minuman yang dibeli di warung berhampiran.

“Saya bersyukur dia diberi peluang untuk hidup walaupun sudah tidak seperti dulu sehingga kadangkala membuatkan saya rindu untuk melihat telatahnya bermain bersama dua adiknya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Fauzan berkata, anaknya hanya mampu terlantar di katil dan dijaga sepenuhnya oleh isterinya, Rini Mohd Rashid, 38, setelah tempurung kepalanya terpaksa dibedah akibat kemalangan itu.

Jelasnya, anaknya yang dulunya seorang yang aktif perlu dilayan seperti bayi kerana hilang ingatan dan tidak mampu bercakap.

“Doktor cakap dia memang ada harapan untuk hidup, tapi perlu mengambil masa untuk sembuh.

“Sudah lebih setahun terlantar dia sudah mampu mengerakkan badannya dan memberi tindak balas setiap kali ditegur ibunya,” katanya.

Katanya, keadaan anaknya yang memakai lampin pakai buang dan mengharapkan susu yang disalurkan melalui tiub kadang-kala membataskan kemampuannya yang mencari rezeki sebagai buruh kasar.

“Saya mohon jasa baik mana-mana pihak yang boleh membantu menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga,” katanya.

Buruh Indonesia dijel 10 tahun rogol OKU – Utusan


Buruh Indonesia dijel 10 tahun rogol OKU

JOHOR BAHRU 21 Nov. – Seorang buruh kasar warganegara Indonesia dihukum penjara 10 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang gadis kurang upaya (OKU), awal bulan ini.

Hakim Hassan Abdul Ghani memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh yang hanya dikenali sebagai Riduan, 27, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 8 November lalu.

Lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun di rumah sewanya di Tingkat 4, Blok 18, Apartmen Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang, 1 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121122/ma_02/Buruh-Indonesia-dijel-10-tahun-rogol-OKU#ixzz2CuqcZlhl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bapa sedih Siti Norzana kena jual – Metro


Bapa sedih Siti Norzana kena jual
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

NORDI bersama Nurul Safiza Fitri (kanan), Muhammad Nurhan dan Nurmasyita masih menunggu kepulangan Siti Norzana (gambar kecil) di kediamannya di Kempas, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Bapa kepada Siti Norzana Nordi, 12, yang dipercayai telah dijual dan menjadi mangsa pemerdagangan orang terkejut dan terlalu sayu mendengar nasib malang yang menimpa anak kesayangannya itu.

“Saya tidak tahu hendak kata apa, saya cukup sedih. Bila menatap wajahnya di akhbar, saya dapat rasa beban yang sedang ditanggungnya,” kata Nordi Adi, 40, ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Nordi yang telah menceraikan isterinya, Karsini Kaslam, 25, percaya, perbuatan menjual anak sulungnya itu didalangi oleh bekas ibu mertua dan bekas iparnya yang menetap di Mesuji, Lampung, Jawa Timur tidak jauh dari kediaman Karsini.

“Saya hampir pasti dan anak saya, Nurul Safiza Fitri turut beberapa kali maklum kepada saya tentang hal ini,” ujarnya sebak.

Nordi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini juga mengesyaki sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas Siti Norzana namun tidak mahu mendedahkannya selagi anaknya tidak kembali ke Malaysia bersamanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Siti Norzana bersama tiga adiknya iaitu Nurul Safiza Fitri, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut Nordi.

Hasil bantuan Biro Aduan Komuniti UMNO, kesemua mereka kecuali Siti Norzana dapat dibawa pulang dari Lampung, Indonesia dan selamat tiba di tanah air pada 30 Jun lalu. Dia ketika itu dikatakan tinggal berasingan dengan saudara ibu tirinya di Temusuci, Indonesia.

Kelmarin, Pengerusi biro berkenaan, Datuk Muhd. Khairun Aseh mendedahkan bahawa kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa pemerdagangan dan dipercayai dijaga seorang lelaki yang telah membelinya dan dipaksa menjadi buruh kasar.

“Kami sekeluarga berdoa agar Zana dapat diselamatkan dan saya berhasrat menemui Zana di sana jika diberi peluang,” kata Nordi.u.