Cabul kanak-kanak, koperal polis dipenjara 100 bulan – Bernama


Cabul kanak-kanak, koperal polis dipenjara 100 bulan

 

GEORGE TOWN 12 Sept. — Seorang koperal polis dihukum penjara 100 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia enam tahun pada 2011.

Hakim Zainol Rashid Hussain memerintahkan hukuman ke atas Aziri Sahid, 55, bermula hari ini.

Aziri yang dituduh memasukkan jari ke dalam vagina kanak-kanak berkenaan, didakwa mengikut Seksyen 77CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 28 Mei dan 12 Jun 2011 pada sebelah petang di rumah bernombor 54-4, Berek Polis, Fasa 1, Bandar Baru Air Itam.

Tertuduh diwakili peguam bela S Yagoo manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Mokhtar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130912/ma_09/Cabul-kanak-kanak-koperal-polis-dipenjara-100-bulan#ixzz2eflX5wOs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak – Sinar Harian


Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2013
Nelayan didakwa edar dadah, cabul kanak-kanak
Marazki ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan bagi menghadapi tuduhan mengedar dadah sebelum ini.

KUANTAN – Seorang nelayan yang sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan mengedar 82 gram heroin sekali lagi diheret ke mahkamah itu bagi menghadapi tuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, hujung tahun lalu.

Tertuduh, Marazki Mohammad, 35 dari Sungai Isap Perdana di sini didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau itu di rumahnya kira-kira jam 1.30 tengah hari, 10 Disember tahun lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari di hadapan Majistret Jeeseca Diamis.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Tertuduh ditawarkan ikat jamin RM6,000 bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM4,500 selepas dia membuat rayuan.

Mahkamah menetapkan 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut dalam mahkamah yang sama.