Guru tampar bekas isteri kena bayar RM30,000 – Sinar Harian


Guru tampar bekas isteri kena bayar RM30,000

ADILA SHARINNI WAHID & NORHASRAM MOHAMAD
15 Januari 2013
Guru tampar bekas isteri kena bayar RM30,000
Arifin menunjukkan kecederaan di telinga kiri Aida yang masih memerlukan rawatan susulan, semalam.

KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam memerintahkan seorang guru membayar ganti rugi am RM30,000 kepada bekas isterinya selepas dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita itu.

Keputusan dibuat Hakim Irwan Suainbon selepas mendengar keseluruhan kes tuntutan saman oleh Aida Rohani Mohamad, 39, terhadap bekas suaminya, Shakri Latif.

Aida, penjawat awam, yang berkhidmat di sebuah jabatan di sini mengemukakan saman menuntut ganti rugi selepas cedera dalam satu pergaduhan di rumah mereka di Taman Seri Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat pada 9 Mei 2007.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 1997 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Dalam pergaduhan jam 6.30 pagi itu, defendan bertindak memukul serta menampar plaintif beberapa kali di bahagian badan dan kepala hingga menyebabkan dia cedera parah di telinga kiri serta lebam di bahagian muka sebelah kanan.

Aida yang ketika itu masih isteri kepada defendan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kok Lanas sebelum menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Tumpat dan disahkan mengalami pendarahan di telinga kirinya.

Sementara itu, plaintif yang ditemui di rumahnya di Alor Hijau, Selising, Pasir Puteh, semalam nyata gembira dengan keputusan terbabit.

Katanya, kejayaan itu juga menjawab reaksi serong masyarakat terhadap dia sejak kejadian itu berlaku selain mengharapkan perkara tersebut menjadi pengajaran kepada defendan dan orang ramai.

“Akibat kejadian itu, dua kali saya menjalani pembedahan di telinga dan kini pendengaran masih terganggu. Menurut doktor, telinga ini akan sembuh tetapi memerlukan penjagaan rumit selain bersin dan batuk yang akan memberi kesan lebih buruk,” katanya.

Selepas kejadian itu, bekas suami plaintif melafazkan cerai melalui tuntutan berpisah yang dibuat Aida sebelum dia mengambil keputusan mendirikan rumah tangga bersama Arifin Abdullah, 38, dan dikurniakan seorang anak berusia dua tahun.

* Dapatkan Sinar Harian edisi hari ini untuk laporan-laporan menarik

Kenal emosi melalui lukisan – Kosmo


Kenal emosi melalui lukisan


 

BUKAN mudah bagi Andrew Lau, 17, bersosial seperti remaja lain pada usianya. Jika remaja lain sudah mengenal erti berdikari dan bergerak sendiri, Andrew pula masih ditemani ibunya, Jackie Liew, 49, walau ke manapun dia pergi dan walau apapun aktivitinya.

Andrew adalah remaja lelaki istimewa. Hidup sebagai penghidap autisme dan bersikap hiper aktif memberi cabaran kepada Jackie kerana ibunya itu seolah-olah melayan seorang anak kecil.

Ramai kanak-kanak mahupun remaja atau dewasa mengalami masalah seperti Andrew tapi mereka kurang diberi perhatian atau tidak didedahkan dengan peluang.

Hal itu bagaimanapun tidak terjadi pada Andrew. Jackie bukan sahaja memberi sepenuh perhatian kepada anaknya, malah masa, tenaga dan wang telah dikorbankan demi cahaya mata tercintanya itu. Lebih istimewa, Jackie berjaya menyerlahkan bakat Andrew sebagai pelukis.

Kini, hasil seni lukisan Andrew telah dipamerkan dalam dua buah pameran seni dan dia berjaya menjual lebih 20 buah lukisan sewaktu pameran dan lebih banyak dalam acara jualan langsung.

Pertama kali Jackie mengenal pasti kebolehan Andrew adalah ketika anaknya berusia empat tahun. Pada masa itu, dia baru sahaja mengetahui tentang masalah autisme yang dialami Andrew.

Bagi kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, mereka mungkin merasakan bahawa masa depan anak mereka tidak menentu. Begitupun, Jackie dan suaminya mengambil iktibar untuk berkorban apa sahaja demi Andrew, khususnya untuk mencungkil bakatnya.

Ketika di tadika selepas empat bulan, semua kanak-kanak boleh menulis angka, tetapi Andrew tidak dapat menulis walaupun nombor ‘2’.

“Kami mendapati dia tidak boleh menulis kerana angka tersebut mempunyai lengkungan yang baginya sukar. Detik itu, saya mendapat tahu kekurangan Andrew.

“Saya mengambil iktibar melatihnya menggunakan jam, iaitu saya melukis gambar jam dan menulis semua angka menggunakan titik. Saya kemudiannya melatih Andrew menyambungkan titik-titik itu sehingga membentuk nombor,” kata Jackie.

ANDREW khusyuk melukis saat ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Usaha Jackie sangat berkesan apabila Andrew berjaya menulis angka ‘2’ dan seterusnya, sehingga angka ’12’.

“Malah, ketika di sekolah, apabila guru tadika minta tulis huruf F untuk gambar rajah bunga, Andrew pula sudah pandai mengeja keseluruhan ejaan bunga dalam bahasa Inggeris. Ketika itu saya sedikit lega,” kata Jackie yang tidak jemu membimbing Andrew ke tahap kemahiran kanak-kanak normal.

Semasa belajar di sekolah rendah, Jackie memastikan anaknya dibekalkan dengan kertas kajang kosong yang banyak kerana Andrew dilihat kerap melukis ketika waktu senggang antara mata pelajaran.

“Dia juga suka melihat jam cuckoo (merujuk kepada jam dinding klasik dengan rekaan burung kecil yang keluar berkicau mengikut masa tertentu) di pusat-pusat beli-belah.

“Jika kami bersiar di pusat beli-belah Mid Valley, dia akan berlari ke kedai menjual jam untuk melihat burung tersebut setiap jam. Itu menjadi satu tabiat yang pada awalnya sangat merimaskan saya,” katanya yang mempunyai beberapa jam dinding yang dirosakkan oleh Andrew sebaik sahaja dibeli.

Begitupun, Jackie mendapati, Andrew mampu memindahkan visual yang diminatinya itu ke atas kertas lukisan. Dia banyak menggunakan pen dakwat dan cat air untuk melukis jam dinding kegemarannya itu selain gambar binatang.

Tidak mahu kemahiran itu menjadi sia-sia, Jackie menghantar Andrew ke kelas seni selepas sesi sekolah sehingga ke hari ini.

“Saya agak terkejut kerana hasil karya pertama Andrew ketika menyertai kelas seni itu ialah Menara Berkembar Petronas. Saya dapati dia juga suka pada seni bina bangunan,” ujarnya.

JAM dinding klasik kegemaran Andrew sering menjadi subjek utama dalam lakarannya.

 

Jackie bagaimanapun tidak menyimpan lukisan pertama anaknya itu kerana ia telah dimiliki doktor gigi Andrew sendiri yang merupakan seorang pengumpul kerja seni anak-anak istimewa seperti Andrew.

Menjaga kata-kata

Ketika diminta melukis untuk memberi aksi kepada jurugambar, Andrew yang lebih fokus terhadap komputer enggan bekerjasama. Setelah dipujuk Jackie, barulah dia bersetuju.

“Saya tidak boleh menggunakan perkataan tertentu kepadanya. Seperti tadi, untuk anda mengambil gambar, saya terpaksa meminta masa sedikit untuk memberi arahan secara lembut kepadanya. Saya mengubah kepada ‘Andrew tolong Mama..’,” katanya.

Menurut Jackie, menjaga anak yang menghidap autisme seperti Andrew, dia cuba untuk tidak menggunakan kata-kata arahan yang mengejut mahupun berjanji kosong.

“Jika dia mahukan sesuatu atau mahu pergi ke sesuatu tempat, saya tidak boleh kata ‘nanti’ atau ‘esok-esok sajalah’. Andrew mahu saya tetapkan hari dan waktu yang jelas serta tepat,” kata Jackie.

Ternyata Jackie ialah seorang ibu yang melengkapkan dirinya dengan maklumat. Dia memahami sepenuhnya gerak-geri, lisan dan emosi Andrew bagi memastikan dia tidak memberontak seperti yang lazimnya menjadi tabiat penghidap autisme.

Bermula dengan menggunakan pen dakwat dan cat air, Andrew kini mula menggunakan cat akrilik seperti yang dipelajari di kelas seninya. Begitupun, dia hanya dapat menyampaikan mesej sesebuah lukisan jika dia benar-benar melibatkan diri sepenuhnya.

“Jika tidak, lakarannya menjadi tidak kemas dan tidak seperti kemampuan sebenarnya. Apabila dia melukis, saya boleh mengagak emosinya,” kata Jackie.

Mahu anaknya berdikari dan mempunyai skil kehidupan yang pelbagai, Jackie aktif melibatkan diri dalam pelbagai program dan kelas kemahiran untuk anak istimewa.

Ternyata, bukan sahaja Andrew mengalami perubahan dalam hidupnya, malah Jackie sendiri mengakui sudah memiliki kemahiran, keberanian dan kekuatan yang terbit dalam dirinya sendiri sepanjang menjaga Andrew. Ibu tabah itu kini sudah cekap memandu berbanding dahulu yang sering saja tidak yakin dan takut sesat jalan. Semuanya demi anak yang disayanginya.

“Saya amat bernasib baik kerana saya mempunyai rakan-rakan, jiran dan kenalan yang sangat baik. Mereka sanggup menunjuk ajar dan membantu saya.

“Salah seorang daripada mereka ialah guru tuisyen Andrew yang sedia mengajar komputer kepadanya selepas ramai yang menolak untuk mengajar anak saya,” katanya.

BANGUNAN, jam cuck-koo dan haiwan antara subjek pilihan lukisan oleh Andrew.

 

Cuba memahami

Guru tuisyen yang dimaksudkan Jackie itu ialah Kho Kim Fui, 38. Dia bertanggungjawan mengajar Andrew set skil seperti menaip dan menggunakan komputer, bermain permainan serta menghantar e-mel.

“Apabila saya melihat Jackie hilang arah, saya pula merasakan Andrew bukan sukar diuruskan,” kata guru Matematik dari pusat tusyen Sinaran Matahari, Jalan Ipoh itu.

Walaupun tiada asas dalam penjagaan anak istimewa, pendekatan yang dilakukan Kim Fui adalah bersabar dan cuba memahami. Dia membimbing akademik Andrew sejak remaja itu berusia sembilan tahun.

“Pada saya, dia normal, cuma sukar meluahkan emosi dan perlahan sedikit penerimaannya,” katanya.

Walau bagaimanapun, kini Andrew dikatakan banyak berubah dan lebih baik dari segi pembelajaran dan respons dalam menerima arahan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2HGADu5wI
Hakcipta terpelihara

Dua beradik masuk tahun 1 – Metro


Dua beradik masuk tahun 1

Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG: Kehadiran dua beradik, Nor Iriyana dan Mohammad Irfan Mohammad Izran yang memulakan sesi suai kenal tahun satu di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari di sini, semalam mencuri perhatian ibu bapa dan murid sekolah berkenaan, semalam.

Walaupun dilahirkan berbeza bulan, tetapi keakraban dua beradik itu yang lahir pada Januari dan Disember 2006 itu menyebabkan ramai ibu bapa serta guru menganggap mereka pasangan kembar.
Malah ibu bapa mereka, Mohammad Izran Zahrin, 34, dan Mazuin Irdawaty Razmisham, 32, terpaksa mengambil cuti kerana perlu menemani kedua-duanya apabila mereka tidak ditempatkan dalam satu kelas.

 

Menurut Mohamad Izran, mereka melakukan persiapan seminggu lebih awal dan semalam seawal jam 5 pagi mereka bangun bagi menyiapkan dua cahaya mata itu.
“Ini pengalaman pertama kami menguruskan persekolahan anak dan hari pertama sudah menjadi kenangan tidak dapat dilupakan apabila saya serta isteri terpaksa bangun awal menyiapkan dua anak ke sekolah.
“Biarpun pagi ini agak tidak terurus kerana perlu menyiapkan mereka dan menyediakan sarapan, saya bersyukur kerana semua berjalan lancar selepas kami sepakat mengambil cuti untuk menguruskan persekolahan mereka,” katanya yang tinggal di Taman Melati di sini.

 

 

Mazuin berkata, keadaan menjadi tidak menang tangan apabila Iriyana dan Irfan tidak ditempatkan dalam kelas yang sama menyebabkan dia dan suami terpaksa menemani mereka secara berasingan.
“Kami berdua terpaksa berulang-alik ke kelas Iriyana dan Irfan kerana perlu menguruskan beberapa dokumen mereka yang belum selesai, malah disebabkan dua orang sekali yang perlu diuruskan bermacam-macam perkara kena diselesaikan dan perlu mengambil masa.

 

“Kami bernasib baik kerana mereka tidak meragam apabila ditempatkan di kelas berasingan dan rasanya itu lebih baik kerana membantu mereka berdikari,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk membeli peralatan tulis, yuran pendaftaran mahupun pakaian kedua-dua anak mereka itu.
“Walaupun persiapan dilakukan dua minggu lebih awal sebelum sesi suai kenal, kami tetap berkejaran juga kerana kedua-dua mereka seperti kembar dan segala keperluan menjadi dua kali ganda.
“Tetapi mereka berdua begitu gembira serta tidak sabar ke sekolah dan sering bertanya bila sesi persekolahan akan bermula. Malah pagi ini (semalam) Iriyana dan Irfan begitu senang bangun berbanding ketika tadika dulu,” katanya.
Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Habibah Mohamed Mohyudin berkata, 488 murid tahun satu mendaftar di sekolah itu semalam selepas mendapat 800 permohonan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01

Tendang pintu selamatkan anak – Sinar Harian


Tendang pintu selamatkan anak

ROSALWANI CHE SOH
1 Disember 2012
Tendang pintu
Keadaan premis makanan milik Ruzman yang musnah dalam kebakaran sehingga menyebabkan tiga premis berdekatan turut terbakar di bahagian atas kedai.

KOTA BHARU – Tindakan pantas seorang bapa menendang pintu bilik anak perempuannya yang sedang nyenyak tidur, berjaya menyelamatkan remaja itu dari kebakaran yang berlaku di empat deretan rumah kedai di Pasir Tumboh, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu hanya disedari peniaga kedai nasi terbabit, Ruzman Mahmood, 44, selepas ternampak asap dari tingkat atas rumah kedai itu.

Menurut Ruzman, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Izaifah Ismail, 42, serta ibunya Aslah Nasir, 65, sedang melayan pelanggan yang menjamu selera di premis itu, sehingga dikejutkan dengan asap tebal dari tingkat atas kedai.

“Saya mula teringat anak kedua saya, Nursyafiqa, 14, sedang nyenyak tidur di dalam biliknya, lalu saya terus menuju ke tingkat atas dengan membawa sebaldi air.

“Pada mulanya sepupunya sudah naik ke atas, namun akibat api yang begitu marak dan asap semakin tebal dia turun semula ke bawah. Melihatkan keadaan itu, saya memberanikan diri naik ke tingkat atas bagi mendapatkan anak saya yang masih terperangkap dalam biliknya,” katanya.

Ruzman berkata, selepas menghampiri bilik anaknya, api semakin marak dan berada betul-betul hanya beberapa meter dari kepalanya, namun dia tidak menghiraukan keadaan itu dan terus menerjah masuk ke dalam bilik anaknya.

“Saya tidak memikirkan tentang keadaan diri ketika itu, apa yang penting adalah keselamatan anak saya.

“Selepas menyimbah sebaldi air di luar pintu biliknya, lalu terus menendang dan mengheret anak keluar dari bilik sambil bergegas turun,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, sepanjang 16 tahun berniaga di premis miliknya sendiri, kejadian terbabit merupakan pengalaman pertama melibatkan kerugian yang besar dan dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

Sementara itu, menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Zaini Abidin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.30 pagi.

“Kebakaran melibatkan empat unit rumah kedai dan semasa anggota kami sampai, bangunan terbabit sudah pun musnah hampir 50 peratus,” katanya.

Guru wanita dipercayai dirogol rakan sekerja – Sinar Harian


Guru wanita dipercayai dirogol rakan sekerja
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad
SABAK BERNAM- Perubahan sikap seorang guru wanita yang menjadi pasif dan pendiam membongkar rahsia dia dirogol rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 5 pagi, 14 April lalu, mangsa yang baru bangun dari tidur diterkam suspek berusia 37 tahun di ruang tamu rumahnya sebaik sahaja dia membuka pintu.

“Suspek seorang guru sekolah rendah bertindak menerkam dan merogol mangsa yang ketika itu bersendirian di rumah.

“Bagaimanapun tiada ugutan yang dibuat dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Noor Mushar, disebabkan kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun itu trauma dan berubah sikap menjadi pasif serta pendiam yang kemudiaannya perubahan itu disedari oleh suami mangsa.

“Mangsa yang pada mulanya takut menceritakan tragedi itu akhir terpaksa mengakui menjadi mangsa rogol selepas didesak berkali-kali oleh suaminya.

“Mangsa ditemani suami kemudiaannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, kira-kira jam 2 petang, Ahad lalu,” katanya,

Berdasarkan laporan yang diterima, polis bertindak menahan suspek yang sudah berkahwin namun masih belum mempunyai cahaya mata itu di kediamannya di sekitar Sungai Besar kira-kira jam 10 malam, pada hari sama laporan dibuat.

“Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Sementara itu, katanya, orang ramai diminta segera membuat laporan dan tidak mendiamkan diri sekiranya menjadi mangsa jenayah.

“Laporan itu penting bagi memudahkan siasatan dijalankan dan membolehkan tindakan segera diambil ke atas penjenayah,” katanya.

Ayah lari, perbuatannya rogol anak sendiri diketahui isteri – Sinar Harian


Ayah lari, perbuatannya rogol anak sendiri diketahui isteri
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Julai 2012

Raja Shahrom
AYER KEROH – Seorang isteri masyarakat Orang Asli di sini terkejut apabila mengetahui anak gadisnya berusia 16 tahun 5 bulan berbadan dua hasil hubungan dengan suaminya sendiri.

Wanita berusia 35 tahun yang mempunyai empat cahaya mata itu hanya mengetahui mengenai bayi dikandung anak keduanya apabila membuat pemeriksaan di sebuah klinik
kesihatan dekat Alor Gajah, 28 Jun lalu.

Pemeriksaan itu dibuat selepas dia sering melihat kemerosotan tahap kesihatan anaknya, selain anaknya mengadu lemah badan.

Menurut sumber, kandungan yang sudah mencecah usia lima bulan itu diketahui adalah hasil hubungan mangsa dan bapanya sendiri selepas diminta memberitahu perkara sebenar.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, pihak klinik memaklumkan mangsa mengandung lima bulan, lalu ibu mangsa memaksa mangsa menceritakannya.

“Mangsa kemudian memberitahu telah beberapa kali dirogol bapanya iaitu suami kepada ibunya yang telah dua bulan tidak pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian
di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, mangsa dan ibunya mambuat laporan di Balai Polis Tebong, Alor Gajah pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa dirogol bapanya yang berusia 40 tahun dan sehingga kini polis masih cuba mengesan suspek yang dipercayai telah lari ke dalam hutan.

“Setakat ini polis telah meminta bantuan golongan Orang Asli, selain Tok Batin untuk mengesan suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Rogol, cabul murid dalam makmal – Kosmo


Rogol, cabul murid dalam makmal

 

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

 

MAHKAMAH Sesyen di Kota Bharu, Kelantan di dalam bangunan ini semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Hock Soon (gambar kecil) selepas didapati bersalah merogol dan mencabul seorang murid berusia 12 tahun tiga tahun lalu.

 

KOTA BHARU – Perbuatan jahat seorang guru sains dan bahasa Cina yang sanggup memperkosa serta mencabul seorang murid darjah enam berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Yek Hock Soon, 29, dari Sitiawan, Perak, didapati bersalah oleh Hakim Rofiah Mohamad selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Hock Soon yang telah berkahwin dan baru mendapat seorang cahaya mata dua bulan lalu dituduh merogol mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan di makmal sains sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh di antara pukul 8 pagi hingga 3 petang awal bulan Ogos 2009.

Dakwaan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara lebih 30 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan mangsa di tempat sama pada pukul 12.15 tengah hari 17 Ogos 2009 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, denda atau sebat.

Dalam penghakimannya, Rofiah mengatakan, dia mengambil kira kepentingan awam serta hubungan tertuduh dengan mangsa sebagai guru dan murid dalam menjatuhkan hukuman.

“Hubungan itu sepatutnya suci dan bertanggungjawab. Jenayah seperti ini penting untuk dibendung oleh perundangan.

“Selepas mendengar hujahan pihak pendakwa dan pembela, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol serta tiga tahun penjara dan dua sebat bagi kesalahan mencabul. Hukuman itu hendaklah dijalankan secara berasingan,” kata Rofiah.