Tiga beradik kembali sekolah – Sinar Harian


Tiga beradik kembali sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Mei 2013
Tiga beradik kembali sekolah
Tanaletchumy (kiri) mendengar luahan Sharifah Nora selepas ketiga-tiga anaknya kini kembali bersekolah selepas berhenti sejak setahun lalu.

PORT DICKSON – Keperitan hidup sebuah keluarga di Kampung Gelam, yang tidak mampu menghantar tiga daripada empat anaknya ke sekolah sejak setahun lalu berakhir selepas mendapat perhatian daripada calon Barisan Nasional (BN) Dun Port Dickson, Dr P Tanaletchumy.

Tanaletchumy berkata, selepas mengetahui masalah keluarga itu, beliau terus menghubungi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam.

“Hari ini (semalam) semua urusan bersama sekolah sudah dilakukan dan Isnin depan mereka boleh bersekolah semula sementara barang keperluan seperti uniform dan kasut sekolah akan sediakan,” katanya.

Menurutnya, hatinya tersentuh dengan kesempitan hidup keluarga tersebut kerana dia juga datang daripada keluarga sederhana.

“Saya juga dibesarkan dalam keluarga yang susah tetapi saya yakin, jika tiga beradik ini mempunyai semangat kental dan ada pihak memberi sokongan, mereka mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada tiga beradik tersebut, Sharifah Nora Mohd Saad, 27, berkata, dia sangat terharu dan gembira kerana anak-anaknya diberikan peluang untuk bersekolah.

“Terima kasih diucapkan kepada Dr Tana (Tanaletchumy) yang sudi membantu kami,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di Palong, Jempol, namun berpindah ke Bangi pada 2011.

“Ketika itu, suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anak-anak masih bersekolah di asrama Rumah Titian Kasih, Titiwangsa.

“Namun atas kesempitan hidup kami tidak dapat membayar rumah yang disewa dan terpaksa menumpang di rumah emak di Setapak kira-kira sebulan sebelum mengambil keputusan berpindah ke kawasan kampung,” katanya.

Sharifah Nora berkata, pada 2012, anak-anaknya yang bersekolah di Titian Kasih keluar dari rumah kebajikan berkenaan.

“Baru-baru ini, ada juga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat datang mengambil maklumat keluarga dan berharap bantuan akan segera diluluskan,” katanya yang sarat mengandung enam bulan.

Katanya, dia yang tidak bekerja hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, Hanip Hassan, 45, yang bekerja sebagai penjaga tandas awam di Stesen Bas Port Dickson.

Senyuman guru besar – Metro


Senyuman guru besar

 2  0 Google +0  1  0

Banyak kejayaan dicatat Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Batu Pekaka, Kuala Ketil yang disifatkan antara sekolah tertua di Daerah Baling sejak berwajah baru pada 2004.

Usaha baikpulih yang dijalankan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menelan belanja RM1 juta itu memberi keselesaan kepada 230 murid sekolah yang beroperasi sejak 1948.
Senyuman terukir di wajah Guru Besar, D Subramaniam, ketika menceritakan wajah baru sekolah yang memberi kesan besar kepada semangat murid, guru dan ibu bapa.

 

“Pembinaan dua bangunan baru memberi keselesaan dan kemudahan kepada murid kerana lebih selamat berbanding bangunan diperbuat daripada papan yang kini dijadikan bilik kaunseling, pemulihan dan sumber manusia serta bilik Bahasa Inggeris Khas Self Access Learning (SAL),” katanya.
Nama sekolah berkenaan semakin harum apabila menjadi satu-satunya sekolah terbaik antara 10 sekolah jenis kebangsaan (T) dalam daerah Baling, Kedah berikutan pencapaian dalam akademik dan ko-kurikulum yang membanggakan.
Sekolah paling tua di daerah berkenaan dibina di atas tanah berkeluasan 5.3 hektar untuk memenuhi keperluan pendidikan kepada anak pekerja ladang terutama getah dan sawit.

 

Banyak sejarah dicatatkan sekolah itu kerana ia adalah satu-satunya sekolah Tamil yang mempunyai bilangan murid paling ramai sejak ditubuhkan hingga sekarang berbanding sekolah Tamil yang lain iaitu kurang 50 murid.
Subramaniam berkata, sekolah terbabit melahirkan ramai cendiakawan termasuk bekas Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Paul Mony selain doktor, peguam dan ahli perniagaan berjaya.

 

Beliau berkata, terbaru calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, M L Maran juga adalah bekas pelajar sekolah berkenaan.
“Kita juga berasa bangga apabila murid mampu mencapai kelulusan 100 peratus dalam subjek seperti Bahasa Inggeris, matematik, sains dan Bahasa Melayu (Pemahaman) pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tetapi mereka hanya mencapai 60 peratus bagi Bahasa Melayu (Penulisan).
“Malah, terdapat antara seorang hingga dua murid berjaya memperolehi keputusan 7A pada setiap tahun sejak 2005 lalu, tetapi pencapaian mereka semakin baik apabila lima murid mencatat keputusan cemerlang 7A tahun lalu.
“Ini membuktikan pencapaian murid sekolah ini meningkat dari tahun ke tahun. Selain itu, dua bekas murid yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil berjaya mencapai keputusan 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, 112 murid murid yang belajar di sekolah itu menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kerana hidup miskin kerana ibu bapa bekerja di ladang.
“Selain itu, empat orang murid menerima bantuan melalui e-kasih kerana kehidupan keluarga mereka berada di bawah paras kemiskinan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Murali Raj, 36, berkata sokongan kerajaan dan ibu bapa menjadikan sekolah berkenaan terpilih sebagai sekolah cemerlang termasuk dalam akademik dan sukan.
Menurutnya, keprihatinan kerajaan tanpa meminggirkan bantuan kepada sekolah Tamil membuktikan arus kemajuan bergerak seiring dengan kemajuan negara bagi memastikan anak berketurunan India tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, September tahun lalu ketika membentangkan Bajet 2013 mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk penambahbaikan prasarana sekolah.
Sebanyak RM900 juta disalurkan kepada sekolah di bawah KPM manakala RM100 juta untuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Sekolah yang terbabit dalam bantuan berkenaan termasuk sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sekolah berasrama penuh.
Ia bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa kepada murid dan guru.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/30

Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan – Bernama


Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan

28 Ogos 2012
JERANTUT – Seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram.

Pemimpin utama sebuah parti baru itu bersama anak lelakinya yang berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki.

Mereka dibebaskan semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim, mangsa, 15, melahirkan seorang bayi lelaki tiga hari lepas di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kedua-dua suspek, bapa dan anak itu bagaimanapun dibebaskan semalam atas jaminan pihak polis,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, suspek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon Barisan Nasional. – Bernama