Calon PMR yakin berbahasa Inggeris – Berita Harian


Calon PMR yakin berbahasa Inggeris

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@bharian.com.my
2012/05/10

Nurul Afizah

Nurul Afizah

“HADIAH paling istimewa sebelum pemergian ibu tersayang adalah pencapaian 5A dalam UPSR,” kata Nurul Afizah Mohd Khaidir,15, yang kematian ibu sejak dua tahun lalu ketika melahirkan adiknya.

Nurul Afizah yang sentiasa kelihatan tenang berkata, walaupun tanpa orang disayangi, dia teruskan perjuangan untuk mencapai kejayaan bergelar pelajar cemerlang di sekolahnya.

Dia yang ditemui ketika menghadiri Seminar Kecemerlangan PMR yang diadakan kerjasama Tabung Haji dan Berita Harian, baru-baru ini, berkata peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan pemahaman bagi subjek bahasa Inggeris.

“Selain subjek berkenaan, mata pelajaran kritikal seperti Sains dan Matematik juga diajar dengan baik selain diberikan tip menjawab soalan, penekanan kawalan emosi dan mental ketika menghadapi peperiksaan.

“Peserta tidak dikenakan bayaran, tambah pula saya ahli Kelab Tabung Haji (TaHa) turut menikmati kelebihan ini,” katanya ketika ditemui di Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Beliau berkata, kepetahan fasilitator berbicara dengan disertai unsur kelakar memberikan pengalaman menyeronokkan dan kesempatan mengikuti seminar itu menjadikannya dapat bertutur bahasa Inggeris dengan betul.

“Pada seminar ini, peserta diajar berkomunikasi dengan betul mengikut tatabahasa yang tepat,” katanya.
Nurul Afizah, pelajar di Kolej Abdillah, Siol Kandis, berkata pembacaan material dalam Bahasa Inggeris adalah strategi berkesan memantapkan kemahiran itu.

“Semua bahan bacaan berkaitan antaranya, akhbar, buku, risalah, majalah mahupun iklan memberi peluang kepada kita menguasai bahasa itu,” katanya.