Calon SPM maut kemalangan – Sinar Harian


Calon SPM maut kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2012
Calon SPM maut kemalangan
ARIFFIN

TAPAH – Perjalanan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan Buyong Adil, di sini, berakhir tragedi apabila terlibat dalam satu kemalangan maut di Kilometer 3.5 Jalan Tapah-Changkat Petai, Tapah Road, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan ke sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitenden Som Sak a/l Din Keliaw berkata, mangsa, Ariffin Ramli, 17, berasal daripada Kampung Batu 5, Tapah Road, menunggang motosikal jenis Yamaha.

Katanya, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Tapah Road ke Tapah secara tiba-tiba hilang kawalan setiba tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa ketika itu menunggang di selekoh lokasi kejadian dengan keadaan jalan basah kerana hujan dan mengakibatkannya terbabas.

Beliau berkata,  motosikal yang ditunggang terlanggar besi penghadang di tepi jalan dan  mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tapah bagi tindakan lanjut.

“Hasil bedah siasat mendapati  pelajar itu mengalami  kecederaan parah di  bahagian kepala.

“Jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Pihak kami menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan turut melawat keluarga mangsa di Hospital Tapah, di sini, semalam.

Calon SPM maut kemalangan – Sinar Harian


Calon SPM maut kemalangan

SITI NUR MAS ERAH AMRAN
10 September 2012
Calon SPM maut kemalangan
Nur Syazana
Calon SPM maut kemalangan
Ahli keluarga dan rakan-rakan menunggu di bilik mayat Hospital Balik Pulau.

BALIK PULAU – Seorang pelajar tingkatan lima maut dalam kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan awal pagi semalam.

Mangsa, Nur Syazana Azemi, 17  maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Difahamkan, mangsa dan seorang lagi penunggang lelaki berusia 40 an yang mengikuti dari arah belakang sebuah lori muatan ais cuba memotong lori tersebut di Bukit Belah.

Bagaimanapun, pemandu kereta yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba membuat brek mengejut sehingga menyebabkan keretanya melintang di tengah jalan.

Akibat rempuhan terbabit, lelaki tersebut terperosok di bawah lori manakala mangsa yang menunggang Honda EX5  terpelanting ke bahagian belakang kenderaan itu.

Nur Syazana yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian manakala lelaki terbabit hanya mengalami patah kaki dan tangan.

Mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desa Mutiara selepas bermalam di rumah rakannya di Bayan Lepas kerana mengikuti tuisyen bersama.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Mohd Hatta Mohd Zain berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan iaitu sebuah kereta, lori dan dua buah motosikal.

“Mayat pelajar perempuan itu dibawa ke Hospital Balik Pulau  untuk dibedah siasat dan kita akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, rakan karib mangsa, Amira Ayuni Mohd Kaharudin Ihsan, 17 berkata, Nur Syazana merupakan seorang yang amat periang.

“Kami mulai rapat sejak tingkatan tiga dan Jumaat merupakan kali terakhir kami berjumpa selepas selesai menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Semalam (kelmarin) sekolah ada buat jamuan Aidilfitri dan saya diberitahu yang arwah beria-ria mengajak rakan-rakan bergambar bersama. Saya tak sangka kejadian ini akan menimpa rakan baik sendiri dan berasa amat sedih,” katanya.