Campak anak dari tingkap – Metro


Campak anak dari tingkap

Oleh ABD RAHMAN ADAM
abdulrahman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Sepasang suami isteri nekad mencampak dua anak ke luar menerusi tingkap pada ketinggian dua meter bagi menyelamatkan mereka daripada rentung ketika kediaman mereka di Kampung Pasir Lutong, di sini, terbakar malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 12.15 tengah malam ketika pasangan terbabit, Dublin Simon, 35, dan isterinya Devi Patrick, 22, tidur sebelum didatangi seorang jiran yang mengetuk dinding bertalu-talu memaklumkan rumah mereka terbakar.
Menceritakan kejadian itu, Devi berkata, sebaik terjaga, dia melihat api menjulang di bahagian siling manakala asap memenuhi ruang tamu rumah.

 

“Saya mengejutkan suami lalu kami mencapai dua anak berusia antara tiga dan sembilan tahun lalu mencampak dari tingkap bahagian dapur sebelum saya dan suami melompat menyelamatkan diri.
“Kami terpaksa berbuat demikian kerana api merebak cepat. Saya terkejut sebaik keluar dari bilik tidur mendapati api membakar keseluruhan ruang tamu selain siling rumah.
“Ketika itu, saya dan suami hanya memikirkan keselamatan dua anak selain seorang anak saudara berusia setahun yang ketika itu tidur,” katanya.

 

 

Menurutnya, sebelum kejadian, dia tinggal bersama seorang adik ipar serta isteri dan dua anaknya, masuk ke bilik tidur masing-masing jam 9 malam.
“Ketika kejadian kami tidur sebelum isteri adik ipar terjaga apabila terdengar ketukan bertalu-talu sambil berkali-kali memanggil nama kami.

 

“Namun, apabila semua terjaga, api membakar hampir keseluruhan ruang tamu rumah. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya yang cedera di kaki akibat terpijak bara.
Dalam pada itu, seorang jiran hanya mahu dikenali sebagai Yot, 36, berkata ketika kejadian, dia bersama suaminya berbual di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan teriakan seorang jiran.
“Sebaik membuka pintu, saya terkejut mendapati api membakar ruang tamu rumah mangsa sebelum saya bersama suami mengetuk dinding dan memanggil mereka bagi menyelamatkan diri.
“Keadaan api marak menyebabkan semua mangsa terpaksa keluar dari tingkap bahagian dapur tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga dan dokumen penting,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Miri berkata, sebaik menerima panggilan jam 12.26 tengah malam, tiga jentera termasuk dua daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bersama 15 anggota dikerah ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba, api merebak ke keseluruhan rumah diperbuat daripada kayu dan pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengawal keadaan.
“Kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu rumah terbabit sebelum merebak ke bahagian lain. Punca kebakaran serta jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20