Belanjawan 2012 pacu pendidikan negara, capai negara maju 2020 – Bernama


Belanjawan 2012 pacu pendidikan negara, capai negara maju 2020

2011/10/09

TEMERLOH: Pelbagai insentif untuk bidang pendidikan pada pembentangan Belanjawan 2012 diharap dapat memacu pendidikan negara lebih berdaya maju dalam usaha memantapkan modal insan untuk menuju negara maju 2020.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan membuktikan bahawa kerajaan sentiasa bersungguh-sungguh untuk memacu bidang pendidikan negara ini.

“Pelajar di institut pengajian tinggi, perlulah memanfaatkan segala peruntukan dan kemudahan yang disediakan kerajaan dan dalam menghadapi dunia yang mencabar. Kita memerlukan ilmu serta kemahiran yang luas dalam pelbagai bidang,” katanya selepas merasmikan Karnival Ikan Patin Temerloh, di sini.

Beliau berkata, Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat lalu itu, selain dilihat meringankan bebanan rakyat, ia juga secara tidak langsung akan memacukan kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, lulusan pengajian tinggi tidak seharusnya terlalu memilih pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Jika mereka bersedia menjalankan apa juga kerja, berinovasi, kreatif dan menggunakan segala ilmu, kepakaran dan latihan, ia boleh memberikan pendapatan lumayan.

“Tukang jahit dan pereka fesyen misalnya, mereka menggunakan kreativiti mereka untuk meraih pendapatan yang lumayan dan ada kalanya pendapatan mereka lebih tinggi dari golongan profesional,” katanya.
Ketika berucap di majlis berkenaan, Saifuddin berharap pengusaha ikan patin di daerah Temerloh bersatu dalam koperasi yang ditubuhkan baru-baru ini.

“Jika 120 penternak ikan patin di daerah ini bersatu dan menjadikan koperasi sebagai landasan untuk memasarkan ikan patin, maka masa depan ternakan ikan patin daerah ini akan lebih terjamin,” katanya. – BERNAMA