Superman kantoi ketika asyik beraksi
9 Disember 2012

Empat remaja yang ditahan selepas melakukan aksi ‘superman’ di Lebuhraya Besraya, awal pagi semalam.
SERDANG – Lagak superman dipertontonkan empat remaja kepada pengguna Lebuhraya Besraya dekat sini, tidak bertahan lama apabila mereka berjaya dicekup Cawangan Unit Khas Trafik Bukit Aman awal pagi semalam.
Difahamkan, kesemua mereka dikatakan menunggang motosikal dengan membuat aksi ’zig-zag’ dengan tangan dipemegang manakala kedua-dua kaki dibaringkan di atas tempat duduk motosikal belakang.
Kesemua yang mendakwa melakukan perlumbaan haram secara suka-suka itu juga dikatakan menunggang dengan laju sehingga menimbulkan ketakutan kepada pengguna jalanraya lain berdekatan stesen Komuter Serdang, di sini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kesemua remaja itu akhirnya kecundang apabila berjaya diberkas ketika pemantauan dan risikan khas dibuat dalam Ops Samseng Jalanan, semalam.
Menurutnya, remaja berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun itu dari sekitar Serdang dan Seri Kembangan termasuk seorang yang masih di bangku sekolah.
Katanya, mereka yang ditahan sebelum itu membuat aksi superman dari kilometer 1.8 hingga kilometer 2.6 sebelum diekori anggota yang melakukan risikan.
“Dengan bantuan sembilan anggota, keempat-empat remaja yang kesemuanya mempunyai lesen memandu berjaya ditahan selepas diekori.
“Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menunggang motosikal dengan aksi bahaya, melulu dan boleh mendatangkan kecederaan kepada diri sendiri serta pengguna jalanraya lain,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang pergelutan ketika remaja berkenaan ditahan dan kesemuanya dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan selanjutnya.
Abd Razak dalam pada itu mengingatkan penunggang motosikal supaya menunggang kenderaan mereka mengikut undang-undang supaya tidak menimbulkan ketakutan kepada pengguna jalanraya lain.
Katanya, sekiranya dicekup dan didapati bersalah tidak akan terlepas dengan tindakan undang-undang.