CCTV cegah ponteng sekolah – Sinar Harian


CCTV cegah ponteng sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Januari 2012

RAWANG – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan belakang sekolah antara langkah yang akan diambil untuk mengatasi masalah ponteng sekolah dan pencerobohan orang luar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Rawang (Semekar), Mohd Saufi Shafie berkata, perancangan tersebut dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

Menurutnya, usaha tersebut dicadangkan ibu bapa dan pihak sekolah selepas selepas menerima banyak aduan kehilangan, kerosakan harta sekolah dan masalah disiplin pelajar.

“Pemasangan CCTV dibuat sebagai komitmen kita memastikan sekolah sentiasa selamat dan meyakinkan kepada ibu bapa bahawa PIBG sentiasa komited dalam menjaga kebajikan sekolah dan pelajar.

“Kita juga akan menaikkan infrastruktur dan prasarana yang dirasakan perlu untuk pembangunan pelajar dari semasa ke semasa,” katanya sewaktu mempengerusikan mesyuarat PIBG Kali Ke-32 SMK Rawang, kelmarin.

Selain itu katanya, PIBG sedang giat mengumpul dana berjumlah RM200,000 untuk memasang bumbung tempat perhimpunan.

“Setakat ini pihak sekolah hanya dapat mengumpul dana RM40,000 dan memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk memulakan projek tersebut.

“Pelan struktur bangunan telah dihantar kepada Jabatan Pelajaran Selangor dan masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Pelajaran untuk kelulusan dan dijangka diperoleh Februari ini,” katanya.

Justeru itu katanya, untuk merealisasikan pembinaan bumbung itu, PIBG bersama sekolah merencanakan pelbagai projek untuk mengutip dana.

“Kita merancang untuk mengadakan karnival dan program yang membolehkan kutipan dibuat selain mengedarkan borang sumbangan kepada orang perseorangan.

“Mesyuarat juga sebulat suara untuk meminta setiap ibu bapa menyumbang RM30 dan dijangka dapat mengutip melebihi RM80,000,” katanya.