Pesara tentera didakwa cabul, cedera anak – Utusan Malaysia


Pesara tentera didakwa cabul, cedera anak

MELAKA 11 Mei – Seorang pesara tentera, Azleen Ahmad (gambar) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan mencabul dan mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya yang berusia 14 tahun.

Bagi tuduhan pertama di hadapan Hakim Abu Bakar Katar, lelaki berusia 44 tahun itu didakwa mencabul kehormatan anaknya itu di bilik belajar rumahnya di Taman Terendak Permai, Sungai Udang pada pukul 8 malam, 4 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripadanya.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, kerana mendatangkan kecederaan ke atas mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Di mahkamah berasingan, tertuduh dihadapkan di hadapan Hakim Zaharah Hussain atas tiga pertuduhan mencabul mangsa di rumah yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu masing-masing didakwa dilakukan di ruang tamu, di bilik tidur dan di ruang makan antara pukul 11.30 pagi, Mac 2010 hingga 7 malam, 4 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin awalnya mencadangkan tertuduh tidak dibenar ikat jamin memandangkan mangsa ialah anak kandungnya.

Bagaimanapun jika mahkamah cenderung memberikan ikat jamin, beliau mencadangkan jaminan RM15,000 bagi dua tuduhan di hadapan Abu Bakar dan RM20,000 bagi tiga tuduhan di hadapan Zaharah.

Peguam Markhan Singh yang mewakili tertuduh pula memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan mangsa tinggal bersama bapa saudaranya di Masjid Tanah yang terletak kira-kira 12 kilometer dari rumah tertuduh di Sungai Udang.

Abu Bakar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 manakala Zaharah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan. Kes disebut semula 15 Jun ini.