Cef Liza tinggalkan dunia perguruan kerana minat masakan – Sinar Harian


Cef Liza tinggalkan dunia perguruan kerana minat masakan
HASLIZA AR KAMALUDIN
28 Ogos 2012

Muka depan edisi terbaru majalah MIDI.
MIDI – Dapatkan isu 15 Ogos 2012 di pasaran!
TIDAK ramai tahu bahawa wanita ini merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah pendidikan khas pada awalnya. Namun atas rasa cinta yang mendalam terhadap dunia masakan sejak kecil lagi, membuatkan dia nekad meninggalkan dunia perguruan yang disertai lebih 20 tahun lamanya.

“Ramai terkejut apabila mengetahui saya mengambil cuti tanpa gaji bagi mendalami dunia masakan ini di luar negara. Namun ketika itu memang minat mengatasi segala-galanya.

Dengan izin dan restu suami dan anak-anak, saya berkelana ke luar negara hampir lima tahun lamanya bagi mengejar apa yang saya cita-citakan selama ini,” ujar Azizah Liza Che Long kepada majalah MIDI.

Nyata percaturan yang dibuat oleh wanita yang lebih dikenali sebagai Cef Liza Zainol dalam kalangan masyarakat hari ini tidak meleset. Malah kehadirannya mengisi posisi cef selebriti dilihat begitu bertepatan.

“Jika sebelum ini memasak merupakan minat yang tidak terhingga pada saya, kini ia menjadi sumber rezeki utama. Lebih-lebih lagi setelah saya membuat keputusan bersara awal, iaitu pada usia 45 tahun. Bukan tidak mahu lagi berkhidmat pada masyarakat, tetapi bagi saya berkongsi ilmu masakan ini bersama masyarakat juga merupakan sesuatu yang bermanfaat.

“Di samping itu, saya ingin memberi kesenangan buat keluarga kerana kenangan gaji yang berbaki hanya RM17.50 setelah ditolak cuti tanpa gaji sebelum ini sentiasa segar dalam ingatan. Atas sebab itu jugalah kami sekeluarga sepakat berhijrah ke Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, bermula dengan kedai kek di bawah tangga, saya kini sudah mampu memiliki sebuah akademi kulinari sendiri,” katanya penuh bermakna sambil tersenyum.

Dia yang berasal dari Sungai Petani, Kedah mengakui, bidang masakan bukanlah suatu bidang yang boleh dipandang remeh. Katanya, banyak liku terpaksa ditempuhi sebelum sampai ke tahap ini. Selain modal, dia juga perlu bersaing dengan ramai tukang masak yang tumbuh bak cendawan ketika ini.

“Begitu pun saya bersyukur kerana masyarakat hari ini semakin dapat membezakan tukang masak berpengetahuan dengan tukang masak berpengalaman,” ujarnya yang pernah mengikuti kursus membuat dan menghias kek, menghias pastri, royal aising dan membuat coklat hingga ke United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Jakarta.

Berkat usaha gigihnya hampir 10 tahun dalam bidang ini juga, Cef Liza kini memiliki Akademi Kulinari Cef Liza yang diusahakan bersama anak-anak. Laman Cef Liza pula untuk mengajar memasak kepada yang berminat, manakala Studio Cef Liza menerbitkan rancangan-rancangan masakan.