Cekal seorang guru – Sinar Harian


Cekal seorang guru

M FEISAL NORAWI
21 Januari 2013
Cekal seorang guru
Mohd Jasmin (tengah) berbual bersama Saifuddin sambil diperhatikan Normah ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, kelmarin

TEMERLOH – Hanya semangat kental sebagai pendidik banyak membantu seorang guru berulang-alik ke sekolah sejauh 11 kilometer setiap hari walaupun disahkan menghidap penyakit saraf atau lebih dikenali sebagai ‘Prolapse Intervertebral Disc’ (PID).

Mohd Jasmin Jamaluddin, 40, sepatutnya masih dalam tempoh cuti sakit seperti dinasihati pakar, tetapi semangat kuat menyebabkan dia melupakan sementara deritanya untuk terus mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, di sini.

Menceritakan detik awal perubahan hidupnya bermula 1 Julai 2012 apabila tiba-tiba diserang kesakitan amat sangat di bahagian paha kiri dan belakang badan ketika berada di rumahnya, dekat Taman Temerloh Jaya, di sini.

Menurutnya, tanpa sebarang petanda, dia diserang kesakitan amat sangat sehingga tidak mampu bangun, malah disentuh jiran-jiran yang cuba membantunya.

“Saya dibawa ke Hospital Temerloh dengan ambulans. Sampai di wad kecemasan, saya terpaksa disuntik morfin sebanyak empat kali untuk menahan sakit.

“Selepas disahkan menghidap PID, saya menerima rawatan selama 29 hari dalam wad, selain terpaksa pakai lampin pakai buang sebab terlalu sakit hingga tak sedar terkencing,” katanya semasa menerima lawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di SK Teluk Ira.

Walaupun menderita penyakit tidak pernah diketahui sebelum ini, Mohd Jasmin masih mendapat sokongan isteri, Rosliza Mohamed, 31, dan tiga anaknya yang masih kecil.

Menurutnya, jiwa sebagai pendidik menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pergi ke sekolah walaupun tempoh cuti sakitnya masih panjang.

“Saya tukar kereta dengan abang sebab keretanya gear automatik. Jadi senanglah saya memandu untuk berulang-alik ke sekolah walaupun jaraknya 11 kilometer dari rumah.

“Guru besar (Normah Hussein) sangat baik. Beliau tempatkan saya mengajar di makmal dan perpustakaan di tingkat bawah. Setiap kali subjek saya, murid-murid akan turun dari kelas dan belajar di bawah.

“Dulu saya ajar Bahasa Melayu, tetapi guru besar ringankan tugas saya dengan mengajar subjek elektif. Jadi ringanlah sikit beban saya,” katanya.

Walaupun mampu berulang-alik ke sekolah, Mohd Jasmin sedikit terkilan kerana terpaksa menangguhkan pengajian jarak jauh Program Pensiswazahan Guru di Institut Perguruan Lipis.

Menurutnya, hanya tinggal tiga tahun lagi dia akan menamatkan pengajiannya dan disebabkan masalah kesihatan, dia merayu kementerian menukarkan mata pelajaran Muzik diambilnya kepada Bahasa Melayu.

“Permintaan ini berikutan mata pelajaran Muzik memerlukan banyak latihan amali. Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan sekarang, saya rayu kementerian mempertimbangkan pertukaran subjek ini,” katanya.