Samsor sanggup ‘korban’ kereta demi selamatkan murid – Kosmo


Samsor sanggup ‘korban’ kereta demi selamatkan murid

SAMSOR menunjukkan keretanya yang rosak teruk akibat banjir di Serdang semalam.

 

SERDANG – Seorang guru Sekolah Kebangsaan Seri Serdang (SKSS) di sini sanggup ‘mengorbankan’ kenderaannya demi menyelamatkan nyawa 30 pelajar dalam kejadian banjir kilat di sini kelmarin.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Samsor Asrul Saad, 34, berkata, ia bermula apabila hujan lebat selama dua jam yang bermula sejak pukul 4.30 petang.

“Pada mulanya saya berniat hendak bawa kereta saya ke tempat selamat apabila melihat air mulai naik tetapi selepas melihat anak-anak murid saya dalam ketakutan saya membatalkan niat itu,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Samsor kemudiannya bertindak memindahkan semua murid ke tingkat atas bangunan tiga tingkat itu ekoran bimbang keselamatan mereka.

Bagaimanapun, tindakannya menyebabkan kenderaan pelbagai guna jenis Proton Exora yang dibelinya dua tahun lepas rosak teruk akibat banjir.

Cemas sejam terperangkap – Sinar Harian


Cemas sejam terperangkap
NUR SHARIEZA ISMAIL
6 Ogos 2012

Keadaan di luar lif ketika anggota bomba dan penyelamat datang untuk menyelamatkan mangsa.
SEREMBAN – “Saya terpaksa menenangkan anak saya yang ketakutan,” kata Salimin Ali, 42, mangsa yang terperangkap dalam lif di Terminal 2, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa bersama dua anaknya berusia 6 dan 9 tahun terperangkap hampir satu jam selepas lif di bangunan pasar raya berkenaan terhenti tiba-tiba.

Menurut Salimin, dia bersama anaknya pergi ke pasar raya itu untuk membeli barangan keperluan rumah.

“Kami naik lif bermula tingkat tiga. Ketika ingin turun ke tingkat bawah, secara tiba-tiba lif terhenti di tingkat dua.

“Ketika itu, saya memang berasa amat cemas bersama dua anak saya. Tetapi nasib baik dalam lif itu ada tingkap besar di belakang, membolehkan saya melambai kepada orang ramai untuk meminta pertolongan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa meyakinkan anaknya yang ketakutan dengan berbual-bual memberitahu mereka akan diselamatkan tidak lama lagi.

“Apabila melihat kehadiran anggota bomba yang datang untuk menyelamat kami, barulah anak saya mula berasa lega.

“Ini adalah kali pertama kejadian sebegini berlaku kepada. Selepas ini, mungkin saya dan anak-anak akan gunakan tangga sahaja kerana trauma,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Ehsan Sukardi berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rahang, Seremban dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Selamatkan ibu bapa daripada rentung – Utusan


Selamatkan ibu bapa daripada rentung

PEKAN 16 Julai – Demi kasih dan sayang kepada ibu bapanya, seorang remaja berusia 16 tahun sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meredah api yang marak untuk membawa keluar kedua-dua mereka yang terbakar.

Kejadian berlaku pukul 2.30 pagi ini semasa rumah keluarga itu di Kampung Cenderawasih terbakar.

Mohd. Amri Abu Bakar, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan, ketika menceritakan detik cemas itu memberitahu, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap sebelum terdengar jeritan ibunya, Faidah Talib, 35, dan bapa tirinya, Abdul Karim Mohamad, 39.

Menurutnya, dia kemudian melihat kepulan asap keluar dari bilik tidur ibu bapanya sebelum menendang pintu berkenaan.

“Selepas pintu terbuka, saya lihat ayah sedang terbakar dari paras pinggang hingga ke bawah manakala ibu pula terbakar hampir seluruh badan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.