Had Sekolah Cina: MCA Bidas Dong Zong Kerana Ia Telah Jadi Sejarah – mStar


Had Sekolah Cina: MCA Bidas Dong Zong Kerana Ia Telah Jadi Sejarah
Oleh CHRISTINA TAN

LABIS: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membidas tindakan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) yang membangkitkan tentang dakwaan perjanjian pada 1960-an antara parti dan kerajaan untuk mengehadkan bilangan-bilangan sekolah Cina bebas.

“Dong Zong mengatakan tentang isu ini bagi menakutkan masyarakat Cina supaya mereka membenci MCA dan Barisan Nasional.

“Mereka mengharapkan orang Cina tidak akan menyokong kita,” katanya.

Beliau berkata, walaupun MCA tidak sempurna, tetapi parti itu sedang melakukan usaha yang terbaik untuk pendidikan Cina.

Sebagai contoh, Dr Chua berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai sistem pendidikan Cina yang lengkap dari peringkat sekolah rendah sehingga ke universiti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bagi bangunan dua tingkat yang mempunyai 12 bilik darjah di SJK (C) Karas di sini, Sabtu.

Dr Chua berkata, sama ada perjanjian itu pada tahun 1960-an itu wujud atau tidak adalah tidak penting lagi kerana ia telah menjadi sejarah.

“Negara memerlukan bakat lebih tiga bahasa untuk meningkatkan jumlah dagangan dan jumlah dagangan antara Malaysia dengan negara-negara yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa utama mereka adalah kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Itulah sebabnya kita perlu melatih lebih ramai untuk fasih dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Mandarin,” katanya.

“Hari ini, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan China dan jumlah dagangan antara kedua-dua negara telah mencedah AS$100 bilion (RM318 bilion),” katanya.

Tiada Perjanjian Hadkan Bilangan Sekolah Cina – Dr Chua – mStar


Tiada Perjanjian Hadkan Bilangan Sekolah Cina – Dr Chua
Oleh LIM WEY WEN

KAJANG: MCA membidas Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia atau Dong Zong yang tidak henti-henti membuat dakwaan mengenai perjanjian pada tahun 1995 antara parti itu dengan kerajaan mengehadkan bilangan sekolah bebas Cina.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri dua kali bagi membincangkan isu tersebut dan memberi jaminan bahawa tiada perjanjian seumpama itu.

“Saya percaya ia merupakan cubaan untuk menjejaskan reputasi MCA,” kata beliau kepada pemberita di majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Kajang 2 di sini, Jumaat.

MCA jumpa TPM berhubung kekurangan guru – Bernama


MCA jumpa TPM berhubung kekurangan guru

19/02/2012 5:11pm

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi berhubung isu kekurangan guru di sekolah vernakular Cina.

Beliau berkata, data mengenai jumlah guru sekolah SJK(C) yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran mungkin tidak menggambarkan kekurangan yang sebenar.

“Sehingga hari ini, masalah itu masih wujud. Saya akan berjumpa Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyddin Yassin untuk membincangkan perkara ini kerana kami mahu ia diselesaikan segera,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, dilaporkan bahawa sekolah rendah Cina menghadapi kekurangan hampir 2,000 guru di seluruh negara.

Isu itu pertama kali ditimbulkan sebelum sesi persekolahan bermula awal tahun ini dan Kementerian Pelajaran dilaporkan berusaha menangani masalah itu.

Hari ini, kekosongan jawatan di sesetengah sekolah telah diisi tetapi masalah baru timbul berikutan guru-guru yang dihantar ke sana tidak memahami bahasa Cina. – BERNAMA

RM2.5 juta bina SMJK Chong Hwa – Utusan


RM2.5 juta bina SMJK Chong Hwa

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa Jalan Gombak di sini bagi pembinaan bangunan baru sekolah tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah meluluskan model pembangunan projek bagi menggantikan bangunan sekolah yang sudah lama.

“Peruntukan yang diberikan itu merupakan sebahagian daripada sumbangan kerajaan melalui Belanjawan 2012 untuk sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Sebagai Ah Jib Gor (abang), saya nak beri angpau kepada sekolah ini sebagai sumbangan ikhlas kepada rakyat,” katanya semasa melawat sekolah berkenaan dalam Program Turun Padang ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Timbalannya, Datuk M. Saravanan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Pengerusi BN Wangsa Maju, Datuk Mohd. Shafei Abdullah.

Najib turut mengumumkan sambutan baik masyarakat Cina terhadap akaun laman sosial Facebook bahasa Cinanya iaitu ‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud Abang Najib mempunyai 12,000 pengikut selepas tiga hari dibuka.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sokongan berterusan daripada rakyat penting untuk memastikan program transformasi yang dirancang kerajaan dilaksana dalam usaha negara mengejar status negara maju.