Jawab kertas periksa tak habis – Sinar Harian


Jawab kertas periksa tak habis

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Disember 2012
Jawab tak habis
Karthi Keyan menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

SUNGAI PETANI – Waris kepada pelajar sebuah sekolah di sini mendakwa anaknya tidak dibenarkan terus menjawab kertas Matematik Tambahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 20 November lalu selepas dibawa menerima rawatan ke klinik akibat sakit.

Karthi Keyan, 52, mendakwa, anaknya, Yunishaa, 17, tidak diberi kebenaran meneruskan peperiksaan selepas dirawat kerana dikatakan tidak membawa pengawas pengiring ketika keluar dari dewan.

Menurutnya, dalam kejadian 20 November lalu, dia menerima panggilan daripada seorang guru memaklumkan anaknya yang sedang mengambil peperiksaan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah.

“Mereka memaklumkan ambulans akan membawanya ke hospital dan saya diminta ke hospital. Bagaimanapun, selepas itu saya menerima panggilan sekali lagi menyatakan anak saya sudah sembuh dan sedang meneruskan peperiksaan,” katanya.

Kerana bimbang kesihatan anak, dia terus ke sekolah. Namun 15 minit kemudian, dia dimaklumkan sekali lagi anaknya muntah dan diminta membawa anak ke klinik swasta, kerana diberi masa sejam untuk meneruskan peperiksaan Matematik Tambahan Kertas 1.

“Namun, sebaik selesai rawatan, saya terus bawa Yunishaa ke sekolah tetapi ketika itu kertas peperiksaan sudah dikemas dan anak saya tidak dibenarkan menyambung kertas peperiksaan walaupun guru sekolah beberapa kali menghubungi pengawas peperiksaan untuk kebenaran.

“Pada jam 2 petang, saya terus berjumpa dengan ketua pengawas tetapi dimaklumkan tidak dapat meneruskan peperiksaan dengan alasan keluar dari dewan peperiksaan tanpa diiringi pengawas peperiksaan,” katanya.

Karthi Keyan berkata, perkara itu tidak dimaklumkan sebelum membawa anak ke klinik dan kecewa dengan tindakan itu.

Katanya, dia merujuk kepada beberapa pihak berhubung masalah itu.

Laporan juga dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berhubung kejadian.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, pihaknya akan meneliti kes berkenaan dan siasatan akan dijalankan berhubung perkara berkenaan.

83 murid keracunan makanan – Sinar Harian


83 murid keracunan makanan

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 September 2012
Ahmad
Ahmad masih keletihan akibat keracunan selepas minum susu kotak di sekolah, semalam.

MUAR – Seramai 83  murid Sekolah Rendah Kebangsaan Parit Setongkat, Jalan Salleh di sini mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan dalam kejadian pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.30 pagi, iaitu kira-kira setengah jam selepas sekumpulan murid berkenaan diberikan minuman susu kotak secara percuma pada waktu rehat dan kemudiannya mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah.

Difahamkan daripada kira-kira 950 murid di sekolah berkenaan yang diberikan susu tersebut, hanya 83 murid yang melibatkan murid darjah satu hingga darjah enam mengalami keracunan makanan.

Sekumpulan kakitangan Pusat Kesihatan daerah dikejarkan ke sekolah berkenaan untuk merawat murid-murid yang terlibat dengan  memberikan suntikan dan ubat kepada mereka yang ditempatkan dalam bilik Kemahiran Hidup.

Tinjauan Sinar Harian ke sekolah berkenaan mendapati kantin sekolah sedang dibersihkan dan kerja-kerja membuang bekalan susu  giat dijalankan.

Namun pihak sekolah enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut berusaha mendapatkan kenyataan dari Pusat Kesihatan Muar, namun  gagal kerana menyatakan kes tersebut masih dalam siasatan dan belum disahkan sama ada benar-benar disebabkan oleh susu kotak berkenaan ataupun sebaliknya.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 10, berkata, selepas setengah jam minum susu itu, tiba-tiba tekaknya berasa loya dan disertai sakit perut yang memulas.

Menurutnya, ketika itu dia berada dalam kelas untuk mengikuti sesi pembelajaran seterusnya.  Pada mulanya dia menyangka sakit biasa tetapi sakit itu  menyerang kali kedua hingga memaksanya berlari ke tandas.

“Dalam tandas saya muntah sebanyak tiga kali dan cirit birit dua kali. Saya berasa sangat lemah, namun tetap  menggagahkan diri masuk ke dalam kelas.

“Di dalam kelas beberapa rakan lain turut mengalami masalah yang sama sehingga memaksa guru membawa kami ke dalam bilik lain untuk rawatan,” katanya.

Katanya lagi, selepas diberikan suntikan dan ubat oleh petugas kesihatan, keadaannya beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Ibu kepada Ahmad yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya mengalami keracunan makanan selepas  minum susu sebaik pulang daripada sekolah.

“Namun saya sangat bersyukur kerana dia selamat dan keracunan yang dialaminya tidak serius,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai ketika dihubungi berkata,  pihak sekolah perlu untuk memastikan semua bekalan makanan dan minuman di sekolah sentiasa bersih serta segar.

“Masalah keracunan makanan ini mesti diselesaikan segera kerana ia melibatkan kanak-kanak.

“Kanak-kanak memerlukan persekitaran sekolah dan suasana pembelajaran yang selesa untuk supaya tumpuan terhadap pelajaran tidak terjejas,” katanya

83 murid SK Parit Setongkat keracunan susu 1Malaysia – Utusan


83 murid SK Parit Setongkat keracunan susu 1Malaysia

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MUAR 27 Sept. – Seramai 83 murid Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat di sini mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan selepas meminum susu kotak 1Malaysia di kantin sekolah tersebut hari ini.

Kejadian tersebut membabitkan murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam yang mengadu mengalami simptom itu selepas minum susu kotak berkenaan sebelum menerima rawatan daripada kakitangan Pusat Kesihatan Muar. – UTUSAN

Kementerian Kesihatan jamin susu 1 Malaysia selamat diminum – Bernama


Kementerian Kesihatan jamin susu 1 Malaysia selamat diminum

20 Mei 2012
Datuk Seri Liow Tiong Lai
Datuk Seri Liow Tiong Lai

BENTONG – Pelajar dan rakyat negara ini tidak perlu bimbang mengenai kualiti susu yang dibekalkan ke sekolah menerusi Program Susu 1Malaysia kerana minuman itu dijamin selamat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu sentiasa melakukan pemantauan menerusi Jabatan Keselamatan Makanan, bagi memastikan susu yang dibekalkan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, tempat penyimpanan yang tidak sesuai di sekolah mungkin menjadi punca kualiti sesetengah susu yang dibekalkan terjejas sehingga menyebabkan pelajar mengalami cirit-birit, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

“Pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran sedang bekerjasama untuk menangani masalah ini terutamanya bagi menyediakan tempat penyimpanan susu yang lebih selamat di sekolah,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Karnival
Jelajah Sihat Peringkat Kebangsaan.

Beliau mengulas kes beberapa pelajar di negeri ini mengalami cirit-birit, dipercayai selepas meminum susu di bawah Program Susu 1Malaysia.

Mengulas lanjut, Liow berkata secara keseluruhannya kes keracunan makanan murid sekolah rendah akibat susu 1Malaysia adalah kecil berbanding yang disebabkan oleh penyediaan makanan kurang bersih di kantin.

Mengenai perkara berbeza, Liow berharap pihak berkuasa tempatan memastikan kutipan sampah dibuat mengikut jadual bagi membantu menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Katanya usaha membasmi wabak denggi di seluruh negara belum mencapai kejayaan sekalipun pelbagai usaha dilakukan agensi kerajaan termasuk kementeriannya.

“Kes denggi negara kita sehingga hari ini telah mencecah 9,500 kes yang mengakibatkan 20 kematian berbanding 7,800 dalam tempoh yang sama tahun lalu yang mencatatkan 12 kematian.

“Bagi memerangi denggi tahun ini, Kementerian Kesihatan akan melancarkan kempen yang bertemakan ‘Tiada Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes, Tiada Denggi’,” katanya.-Bernama

Pelajar maut akibat keracunan – Utusan


Pelajar maut akibat keracunan

 

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

 

MUAR 9 April – Seorang kanak-kanak tujuh tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas memakan nasi lemak dibeli di sebuah pasar malam di Tangkak dekat sini pada Isnin lalu.

Fakhira Batrisya Zainal Abidin, murid tahun satu dari Taman Wawasan Tangkak, dikatakan memakan nasi lemak yang dibeli bapanya, Zainal Abidin Alami, 35, daripada seorang peniaga di sebuah pasar malam dekat Taman Tangkak Jaya pada 31 Mac lalu.

Berikutan itu, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik serta ahli keluarganya mengalami cirit-birit sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia pada pagi 2 April lalu.

Bapa saudara mangsa, Mohammed Fadzir Moktar, 27, berkata, bapa mangsa merupakan pensyarah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang membeli nasi lemak berkenaan dan membawanya pulang untuk dimakan bersama keluarganya.