Kurangkan aktiviti luar rumah, cuaca panas, elak strok matahari – Pakar – Bernama


Kurangkan aktiviti luar rumah, cuaca panas, elak strok matahari – Pakar

KUALA LUMPUR 14 Mei – Orang ramai terutama kanak-kanak dinasihat mengurangkan aktiviti di luar rumah semasa cuaca panas sekarang bagi mengelakkan terkena sunstroke atau strok matahari yang menyebabkan seseorang pengsan.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. H. Krishna Kumar berkata, keadaan itu berlaku antaranya disebabkan panas matahari yang menyerap cairan daripada badan mengakibatkan mereka mengalami dehidrasi.

“Walaupun minum banyak air tetap tidak digalakkan melakukan aktiviti di luar rumah kerana air lebih cepat terserap melalui peluh yang dihasilkan.

“Lebih teruk jika terjadi kepada kanak-kanak kerana sistem pertahanan tubuh mereka tidak sekuat golongan dewasa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr. Krishna menasihatkan, kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah menggunakan payung bagi mengelakkan mereka berasa lemah akibat cuaca panas yang seterusnya akan mengganggu pembelajaran.

Pakar perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. David Quek Kwang Leng menyarankan, penghidap penyakit berbahaya seperti diabetes, jantung dan buah pinggang berunding dengan pakar masing-masing bagi mengetahui cara penjagaan diri semasa cuaca panas.

“Mereka yang normal dan menghidap penyakit serius mempunyai kondisi badan yang berbeza. Maka penjagaan diri mereka juga harus lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata, jika kebiasaannya masyarakat perlu minum seliter air setiap hari, ketika cuaca panas orang ramai disaran minum antara satu setengah dan dua liter termasuk pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak.

Katanya, selain kerap mandi untuk menyejukkan badan, penggunaan krim pelindung cahaya matahari juga dapat membantu melindungi kulit daripada terbakar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130514/dn_21/Kurangkan-aktiviti-luar-rumah-cuaca-panas-elak-strok-matahari—Pakar#ixzz2TFkOtv5L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar hidu debu setiap hari – Sinar Harian


Pelajar hidu debu setiap hari

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2012
hidu debu

GELIGA – Ibu bapa dan penduduk meminta pihak kontraktor yang melakukan kerja pembersihan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga agar tidak meninggalkan sisa selut yang telah dikorek dari dalam longkang bagi mengelakkan masalah debu.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Geliga Baru, Zulkarnean Zubir yang mewakili penduduk mendakwa, disebabkan pihak kontraktor melakukan kerja mudah dengan meninggalkan sisa selut menyebabkan sisa berkenaan mengalir ke kawasan pintu pagar sekolah selepas hujan.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan itu dilakukan sebelum sesi persekolahan 2012 iaitu pada awal Januari lalu.

“Apabila cuaca panas selut yang telah merebak ke kawasan hadapan sekolah iaitu di hadapan pintu pagar keluar sekolah menyebabkan berlakunya masalah debu terutama apabila ada kenderaan keluar masuk sekolah.

“Disebabkan itu juga pintu pagar keluar terpaksa ditutup kerana dipenuhi selut tebal. Malah ketika sesi persekola­han­ baru dibuka Januari lalu, ada kereta guru terperangkap dalam selut ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Akibat hanya satu pintu pagar digunakan, menurutnya, pintu pagar utama menjadi sibuk kerana menjadi laluan masuk dan keluar pada satu-satu masa.

Zulkarnean berkata, lebih parah apabila cuaca hujan, air akan bertakung di hadapan sekolah berkenaan menyebabkan pelajar dan seluruh warga sekolah tidak selesa.

“Selain tidak selesa, masalah debu ini juga dikhuatiri boleh mengganggu kesihatan pelajar yang setiap hari terpaksa menghidu debu,” katanya.

Sehubungan itu, pihak berkenaan diharap dapat memastikan kawasan longkang dibersihkan sepenuhnya.

“Kita juga harap pihak berwajib dapat menaik taraf jalan di bahagian pintu keluar SMK Geliga agar ia lebih tinggi sepertimana jalan di pintu pagar masuk. Kita juga minta disediakan sebuah lagi hentian bas untuk kegunaan pelajar SMK Geliga ini. Dengan pelajar sekarang
berjumlah 1,500 orang hentian bas sedia ada tidak mampu menampung keperluan pelajar,” katanya.