Cuepacs mahu temui PM – Metro


Cuepacs mahu temui PM

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhasrat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyelesaikan kemelut berhubung skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Oktober lalu.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pertemuan itu akan diadakan esok bagi membincangkan isu berkenaan termasuk menjelaskan kepada Perdana Menteri mengenai kebimbangan kongres terhadap beberapa perkara yang dikatakan kurang jelas.
“Kami tidak menolak sepenuhnya skim itu sebaliknya ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan kerana terdapat kekeliruan berhubung opsyen ditawarkan. Secara keseluruhannya skim ini baik namun perlu ada beberapa penambahbaikan.

 

“Selain itu, kami tidak dijemput dalam perbincangan berhubung skim ini. Seharusnya pihak yang berkenaan mendengar pandangan kami sebelum melaksanakan skim ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam. Laporan sebelum ini menyatakan Cuepacs menggesa kakitangan awam tidak menandatangani surat opsyen penerimaan skim itu yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai awal tahun depan.
Dalam laporan itu, skim baru yang bertujuan mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi pada masa depan termasuk menawarkan pelbagai insentif kepada penjawat awam dikatakan mempunyai banyak kekeliruan.
Selain itu, katanya, pihaknya hanya dipanggil untuk taklimat skim itu dan kebanyakan perkara dalam SBPA tidak jelas sehingga menimbulkan kekeliruan.