Pengecualian cukai pendapatan ke atas bonus beri kesan kepada pendapatan negara – KSN – Bernama


Pengecualian cukai pendapatan ke atas bonus beri kesan kepada pendapatan negara – KSN

PUTRAJAYA 17 Okt.- Tindakan mengecualikan cukai pendapatan ke atas bonus yang diterima penjawat awam boleh memberi kesan terhadap hasil pendapatan negara, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Ini kerana, jika dilaksanakan, pekerja sektor swasta juga berhak ke atas pengecualian itu sekaligus memberi kesan kepada hasil cukai negara, katanya.

“Pengecualian cukai pendapatan itu juga tidak memberikan manfaat kepada penjawat awam yang berpendapatan kurang daripada RM2,700 yang sememangnya tidak membayar cukai,” katanya pada majlis perjumpaan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan kepimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini, hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121017/dn_35/Pengecualian-cukai-pendapatan-ke-atas-bonus-beri-kesan-kepada-pendapatan-negara—KSN#ixzz29cnWg3X4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs mohon bonus dikecuali cukai – Bernama


Cuepacs mohon bonus dikecuali cukai

1 Oktober 2012
logo cuepacs
Cuepacs

 

KUALA LUMPUR – Cuepacs memohon agar bonus kepada penjawat awam pada  Disember dan Januari ini, dikecualikan daripada cukai pendapatan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penjawat awam sememangnya amat menghargai keputusan kerajaan memberi bonus satu setengah bulan, iaitu yang terbaik pernah diberikan setakat ini.
“Kalau boleh dipertimbangkan, berilah bonus yang ‘solid’,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentang Belanjawan 2013 yang bertema ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ di Dewan Rakyat, mengumumkan pemberian bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam, dengan bonus setengah bulan sudah diberikan Ogos lepas.
Sementara itu, merujuk pengumuman Perdana Menteri berhubung peruntukan RM1.9 bilion kepada Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara bagi memulakan inisiatif membina 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan strategik, Omar berkata, pihaknya menyambut baik langkah itu kerana dapat membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya meminta kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara bagi memastikan inisiatif itu dapat memberi nikmat paling maksimum kepada orang ramai.
Omar juga berharap pihak yang terbabit dengan inisiatif perumahan itu dapat memberi pinjaman 100 peratus kepada pembeli, iaitu pembeli tidak perlu membayar 10 atau 20 peratus daripada harga rumah.
Katanya, selain itu, kerajaan perlu memastikan pembeli adalah dari kalangan mereka yang belum memiliki kediaman sendiri, dan unit rumah tersebut pula diharap dapat disiapkan sepenuhnya sebelum dijual. – Bernama

Bajet: 170,000 tidak perlu lagi bayar cukai pendapatan – Bernama


Bajet: 170,000 tidak perlu lagi bayar cukai pendapatan

28 September 2012

KUALA LUMPUR – Kira-kira 170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan berikutan penurunan kadar satu mata peratusan bagi golongan tersebut mulai tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penurunan kadar cukai itu akan menguntungkan kumpulan dengan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 hingga RM50,000.

Beliau berkata langkah itu akan turut memberi manfaat kepada pembayar cukai sedia ada untuk menikmati penjimatan bayaran cukai mereka.

“Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan RM5,000 akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga RM425 seorang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di
sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan telah menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan dua rebat cukai yang menjadikan hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

Pada masa ini, kadar cukai pendapatan individu pemastautin adalah progresif iaitu antara kosong peratus hingga 12 peratus ke atas pendapatan bercukai RM2,500 hingga RM50,000.

Najib berkata kerajaan turut mencadangkan penurunan kadar cukai pendapatan koperasi antara satu hingga tujuh mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai.

“Dengan ini seramai tujuh juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata bakal haji yang mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh mengeluarkan simpanan dari Akaun Dua masing-masing bagi menampung kekurangan kos tambang ke tanah suci Mekah.

“Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga RM3,000,” katanya. – Bernama

Peruntukan hampir semua kementerian dinaikkan dalam Bajet 2013: Ahmad Husni – Bernama


Peruntukan hampir semua kementerian dinaikkan dalam Bajet 2013: Ahmad Husni

08/09/2012 – 17:22:48 PMCetakEmel Kawan
IPOH: Secara keseluruhannya, peruntukan kepada hampir semua kementerian akan dinaikkan menerusi Bajet 2013 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen, 28 September ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, Kabinet meluluskan draf Bajet 2013 yang dibentangkan kepada jemaah menteri pada mesyuaratnya Rabu lalu dan pihaknya sudah meneliti satu persatu perbelanjaan kesemua kementerian.

“Kita sudah meminta bantuan Bank Dunia dan di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik… kita telah meneliti perbelanjaan (kementerian) satu persatu.

“Jadi, asasnya, kesemua kementerian akan mendapat peruntukan dan hanya satu atau dua akan berkurangan berikutan inisiatif rasionalisasi,” katanya ketika menghadiri jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pasar raya borong Mydin di Gugusan Manjoi di sini, hari ini.

Berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan sejak tahun lalu, antaranya mengenai cukai, cukai pendapatan dan cukai korporat, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan perkara itu.

“Tetapi, kita tidak berhasrat untuk meningkatkan kadar cukai,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan kepada kementerian akan dibantu oleh peningkatan jumlah hasil kerajaan.
“Seperti yang saya kata, di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik, kami sudah melakukan kajian indeks perolehan, khususnya mengenai cukai pendapatan di mana kita mengkaji kelemahan dan kita percaya, ia akan terus menyumbang kepada pendapatan tinggi bagi negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tiga parameter asas kepada bajet itu pertamanya kerajaan perlu memastikan adanya lebihan kos operasi yang bermakna hasil perlu melebihi perbelanjaan, keduanya pertimbangan terhadap dasar fiskal iaitu pengurangan defisit dan ketiga nisbah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) perlu dikekalkan di bawah 55 peratus.

Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan terus menyasarkan pengurangan defisit dalam Bajet 2013 berbanding tahun sebelum ini.

“Mengenai nisbah hutang berbanding KDNK, 55 peratus adalah paras berhemah tetapi kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk membayar balik hutang berkenaan,” katanya.

Defisit fiskal negara bagi 2011 menurun kepada 5.0 peratus daripada KDNK, berbanding jangkaan 5.4 peratus ketika pembentangan bajet itu.

Defisit kerajaan Persekutuan bagi 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK. – BERNAMA