Bakar bilik cikgu – Metro


Bakar bilik cikgu

Oleh ABD RAHMAN ADAM
abdulrahman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Seorang guru wanita kini hidup dalam ketakutan apabila bilik tidurnya di kuarters sebuah sekolah menengah di Long Miri, di sini, dipecah masuk penjenayah sebelum membakar tilam dan menggunting beberapa helai pakaiannya, Khamis lalu.

Kejadian disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah terbabit ketika membuat rondaan sebelum ternampak kesan umpil pada pintu kuarters guru berkenaan, jam 5 petang.

Menurut sumber, terkejut dengan kejadian itu, pengawal keselamatan berusia 30-an membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati pintu bilik tidur mangsa terbuka sebelum ternampak kesan tilam dibakar, manakala beberapa helai bajunya digunting.

Bagaimanapun, katanya, beberapa barangan berharga milik mangsa dan dua bilik lain di rumah itu tidak diusik.

 
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan khianat itu pada awal pagi untuk mengelak kehadirannya disedari, ditambah dengan kawasan kuarters yang sunyi kerana kebanyakan guru pulang ke kampung halaman sempena cuti sekolah.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Baling sabit elak kena rogol – Kosmo


Baling sabit elak kena rogol

 

Oleh AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

 

NADIA menunjukkan parang yang ditinggalkan perompak ketika memecah masuk rumah neneknya di Teluk Intan Sabtu lalu.

 

TELUK INTAN – Tindakan berani seorang gadis melawan seorang perompak dengan membaling sabit ke arah suspek bukan sahaja dapat menyelamatkan maruahnya daripada dinodai malah berjaya membuatkan lelaki itu bertempiaran lari.

Kejadian pukul 7.30 malam di di sini pada Sabtu lalu berlaku ketika gadis yang dikenali sebagai Nadia, 14, didatangi perompak bersenjatakan parang panjang ketika berada di dalam rumah bersama neneknya.

Mengimbau semula kejadian itu, Nadia memberitahu, sebelum kejadian, neneknya sedang membaca surah Yasin selepas mengerjakan solat Maghrib di ruang tamu manakala dia berada di dalam bilik.

Ahli keluarganya yang lain keluar ke bandar Teluk Intan untuk membeli barangan keperluan.

Siti Nadia bersekolah di Selangor dan datang ke sini kerana cuti sekolah.

“Tiba-tiba saya terdengar nenek menjerit meminta tolong. Sebaik keluar, saya ternampak seorang lelaki sedang mengacu parang ke arah nenek.

“Penjenayah kemudiannya meminta saya menanggalkan pakaian dan kata mahu rogol saya jika nenek enggan menyerahkan gelang dan cincin emas yang dipakai,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1205&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2E8L2BtC5
Hakcipta terpelihara

Niat murni bapa bertukar tragedi – Sinar Harian


Niat murni bapa bertukar tragedi

SAPINAH AB GHANI
3 Disember 2012
Niat murni bapa bertukar tragedi
Ramli (empat, kanan) sayu melihat jenazah Mohamad Fikri di Klinik Kesihatan Balai, Bachok sebelum dihantar ke HRPZ II untuk bedah siasat, kelmarin.

KOTA BHARU – Niat murni seorang bapa memberi pendedahan fardu ain bertukar tragedi apabila menerima khabar kematian anak lelakinya selepas lemas ketika mandi di Pantai Senak di sini, kelmarin.

Ramli Isnin, 53, berkata, anak bongsu daripada lapan beradik itu dihantar mengikuti program di masjid berhampiran rumah mereka sebagai mengisi masa lapang sempena cuti sekolah.

“Pengajian tersebut selama tiga minggu, dan akan berakhir 6 Disember nanti,” katanya kepada media ketika ditemui di Klinik Kesihatan Balai, Bachok, di sini, kelmarin.

Ramli berkata, kali terakhir dia berjumpa Mohamad Fikri yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Langgar Khamis lalu, sebelum anaknya menyuarakan hasrat untuk pulang ke rumah.

“Saya nasihatkan agar menghabiskan program tersebut tambahan ia hanya berbaki seminggu, dia akur,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui Mohamad Fikri dibawa ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan daripada rakannya memaklumkan kejadian itu kira- kira jam 4 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat sebelum disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Mohamad Fikri antara 21 pelajar yang sedang mengikuti Kem Motivasi Solat, Program Penghayatan al- Quran dan Sunah di Masjid Pasir Lada, Pasir Hor bermula 18 November hingga 6 Disember dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Senang, Telipot malam kelmarin.

Manakala, tiga lagi rakannya yang nyaris lemas dalam kejadian itu, Muhammad Noriman Mat Fadzli, 15, dihantar ke HRPZ II, selain Mohd Faiz Abdul Majid, 13, dan Ahmad Mohd Syed, 12, dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk rawatan lanjut kini dilaporkan stabil.

Kelas Bahasa Inggeris sempena cuti sekolah di Terengganu – Bernama


Kelas Bahasa Inggeris sempena cuti sekolah di Terengganu

21 November 2012

KUALA TERENGGANU – Pusat Bahasa Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu mengadakan program Bahasa Inggeris dalam musim cuti sekolah ini.

Program yang memasuki tahun ketiga ini menyediakan kelas pertama dari 18 hingga 29 Nov manakala kelas kedua bermula 2 hingga 13 Dis.

Penolong Pengurus Pusat Bahasa Terengganu, Norrinal Othman berkata empat kelas dibuka iaitu dua kelas bagi murid sekolah rendah dan dua kelas untuk pelajar sekolah menengah.

“Kita masih membuka penyertaan. Setiap kelas dihad kepada 30 orang pelajar. Tenaga pengajarnya terdiri dari pensyarah berpengalaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelas yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 1 tengah hari turut menyediakan makan.

Yuran yang berpatutan dikenakan. – Bernama

Tarik kanak-kanak – Sinar Harian


Tarik kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
Tarik kanak-kanak
Kanak-kanak bawah umur menghabiskan masa di pusat Internet terbabit.

KLANG – Rakus ingin mengaut keuntungan cepat, sebuah pusat Internet di sini menawarkan kadar bayaran RM1 sejam bagi permainan Internet baru bagi menarik ramai pelanggan khususnya kanak-kanak.

Strategi tersebut ternyata berkesan apabila hasil tinjauan Sinar Harian di situ mendapati ramai kanak-kanak berusia tujuh sehingga 15 tahun memenuhi pusat terbabit.

Difahamkan, pusat Internet terbabit dipercayai baru seminggu beroperasi dan dilihat menjadi tumpuan pelajar sekolah sebaik tamat sesi persekolahan atau mereka yang ponteng.

Menurut sumber, premis berkenaan pernah diperiksa oleh Majlis Perbandaran Klang dan pemiliknya hanya menunjukkan lesen yang difotostat ketika diminta.

Difahamkan, pemiliknya juga tidak menampal sebarang arahan berkenaan larangan kepada pelajar beruniform sekolah dan mereka di bawah umur memasuki premis tersebut.

Orang awam yang hanya ingin dikenali sebagai Zulkifli Aladin berkata, dia khuatir dengan kewujudan pusat Internet itu yang bakal menjadi lokasi lepak bagi kanak-kanak.

Menurutnya, terdapat segelintir daripada golongan tersebut menghabiskan banyak masa di situ dan tidak mengulang kaji pelajaran.

“Saya harap pihak berkuasa dapat bertindak tegas dalam perkara ini supaya pengusaha tidak sewenangwenangnya melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Malah ibu bapa juga seharusnya memantau anak sepanjang masa supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah apatah lagi ketika tiba musim cuti sekolah,” katanya.

Zulkifli berkata, pusat Internet atau kafe siber kini banyak dibuka kerana mendapat permintaan tinggi khususnya daripada golongan remaja, justeru, dia menggesa PBT dan pihak berkuasa lain memantau lambakan pusat tersebut.

Noraini kini bercakap dialek Kuala Terengganu pula – Sinar Harian


Noraini kini bercakap dialek Kuala Terengganu pula
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Jun 2012

Noraini bekerja di kilang papan pada masa cuti sekolah untuk membantu keluarganya.
BESUT – Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah di Alor Lintang, Noraini Ismail, 17 yang pernah menggemparkan negara kerana berkebolehan bertutur bahasa Korea dan Mandarin satu masa dulu kini masih belum boleh bercakap loghat daerah.

Pelajar perempuan itu dikatakan boleh bertutur pelbagai bahasa asing yang tidak pernah dipelajarinya selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 13 Januari lalu.

Lebih aneh, walaupun sudah tidak boleh bertutur bahasa Korea mahupun Mandarin, tetapi dia masih belum bertutur bahasa ibundanya iaitu loghat Kelantan sampai ke hari ini.

Noraini berkata, cuma bezanya sekarang dia tidak lagi bercakap bahasa baku pelat Cina sebaliknya sekarang bercakap dialek bahasa Malaysia.

“Lidah saya langsung tidak boleh bercakap loghat Kelantan termasuk ingin menyebut perkataan Emok (emak). Hanya perkataan Ayoh (ayah) yang saya boleh sebut,” katanya yang juga tiba-tiba sahaja turut bertutur loghat Kuala Terengganu untuk tempoh seminggu sebelum ini.

Gadis sunti ini ditemui di tempat kerjanya di sebuah kilang papan di Kampung Seri Medang tidak jauh dari rumahnya.

Dia melakukan kerja memotong kayu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang hanya ketika musim cuti penggal persekolahan dengan pendapatan RM30 sehari.

“Saya tidak suka duduk diam dan kalau kerja di sini ketika cuti, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga terutama bapa saya yang bekerja di tempat sama,” katanya yang setakat ini sudah jarang mengalami masalah sakit kepala kronik kesan kemalangan seperti sebelum ini.

Noraini berkata, dia sudah biasa bekerja di kilang papan itu sepanjang musim cuti sekolah sebelum ini.

Walaupun kerja itu kelihatan berat dan dia mengakui ada kalanya badannya sakit-sakit kerana perlu mengangkat kayu sebelum dipotong, tetapi dia gembira dengan apa dilakukannya.

Noraini yang sudah ke sekolah selepas beberapa bulan tidak dapat meneruskan pelajaran akibat kemalangan itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.