Ponteng sekolah teman ibu – Sinar Harian


Ponteng sekolah teman ibu
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Ogos 2013
 
  • Ponteng sekolah teman ibuSaupi menyampaikan sumbangan hari raya kepada Rohana yang terlantar sejak beberapa bulan lalu.
< 1 / 1 >

BACHOK – Penderitaan dialami seorang pesakit kanser hati turut dirasai sembilan anaknya yang bergantung hidup kepadanya sebelum ini.

Apabila Rohana Ishak, 41, terlantar di hospital dan rumah sejak beberapa minggu lalu, lima anaknya yang masih bersekolah menerima tempias dan tidak ke sekolah untuk menemani ibu mereka.

Rohana seorang ibu tunggal sejak dua tahun lalu, mempunyai sembilan anak berusia di antara empat hingga 21 tahun dan lima daripadanya masih bersekolah.

Pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor yang prihatin mengenai ketidakhadiran murid sebelum ini, membuat siasatan dan mendapati ibu kepada Alif Mustakimi, 12; Roshamimi, 9; dan Siti Rosyamiza Ilyane, 7, terlantar sakit.

Pihak sekolah dan guru besarnya, Abdull Aziz Nor serta Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid kemudian menziarahi keluarga tersebut untuk menyampaikan sumbangan.

Rohana mewakili keluarganya mengucapkan terima kasih di atas kunjungan dan sumbangan pihak sekolah yang prihatin terhadap nasib keluarganya.

“Dalam keadaan macam ini, tak banyak yang kami boleh buat. Makan pun kadang-kadang tak ada beras. Bukan semua kita ceritakan pada orang, kami tanggung sendiri saja.

“Terima kasih kepada pihak SK Beris Panchor yang sudi datang lawat kami dan berikan sumbangan. Ini sumbangan pertama kami dapat, sebelum ini kami memang tak pernah dapat perhatian mana-mana pihak,” katanya.

6 Ogos lalu, Sinar Harian menyiarkan penderitaan keluarga ini yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM450 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk keluarga mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Agrobank, Rohana Ishak 2-00-6631-00025 606-2 atau menghubunginya di nombor 014-8216357.

Selepas 22 tahun, guru Kemas johan qariah tilawah al-Quran Kelantan – Utusan


Selepas 22 tahun, guru Kemas johan qariah tilawah al-Quran Kelantan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

RADZIAH Ibrahim (dua dari kiri) muncul johan qariah Tilawah Al-Quran Negeri Kelantan Kali ke-56 di Kota Bharu malam tadi. Beliau adalah johan qariah yang pertama selepas 22 tahun peserta wanita dilarang oleh kerajaan Pas Kelantan daripada menyertai tilawah di negeri itu. – UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD

KOTA BHARU 5 April – Seorang guru al-Quran Kemas, Radziah Ibrahim, mencipta sejarah menjadi qariah pertama dari Kelantan dalam tempoh 22 tahun ini, dan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan Mei ini selepas dinobatkan sebagai johan qariah Tilawah al-Quran Negeri Kelantan Ke-56 malam tadi.

Sebelum tempoh itu, kerajaan Pas Kelantan melarang wanita menyertai tilawah al-Quran di negeri itu.

Radziah, 50, yang mewakili daerah Bachok menduduki tempat pertama dengan markah 76.65 peratus, manakala naib johan pula disandang Munirah Kasim, 46, dari Tanah Merah dengan markah 76.32 peratus dan tempat ketiga Che Minah Awang, 59, dari Kota Bharu mendapat markah 75.49 peratus.

Sementara johan qari pula disandang Zulkifli Haron, 54, dari Pasir Mas dengan markah 80.49 peratus; naib johan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri, 29, dari Pasir Puteh dengan markah 79.83 peratus dan tempat ketiga Mohd. Nazri Daud, 33, Tumpat dengan 78.99 peratus.

Johan kedua-dua kategori membawa pulang sebuah motosikal Modenas tajaan Mydin Holdings, wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing memperoleh wang tunai RM4,000 dan RM3,000, piala iringan serta sijil penyertaan.

Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada majlis di Dewan Utama, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini malam ini. Turut berangkat adalah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Seramai 21 peserta iaitu 11 qariah dan 10 qari menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-56 yang berlangsung sejak 1 April lalu.

Radziah ketika ditemui berkata, beliau sangat bersyukur kerana sudah menanti begitu lama peluang untuk mewakili negeri sendiri di peringkat kebangsaan sejak berkecimpung dalam bidang ini dari usia muda lagi.

Beliau yang pernah ‘dilamar’ mewakili negeri Pahang pada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan tahun 2003 berkata, inilah masanya untuk qariah Kelantan bangkit kembali setelah peluang mereka ditutup begitu lama.

“Saya pernah berpeluang bertanding mewakili daerah dua kali di peringkat negeri sebelum larangan kepada qariah, selepas itu keadaan menjadi suram dan akibatnya qariah tidak lagi bersemangat untuk terus menumpukan belajar taranum,” katanya.

Johan qari, Zulkifli pula berkata, beliau gembira kerana akhirnya qariah dibenarkan untuk bertanding semula dan mendapat peluang yang sama dengan lelaki dan percaya perkembangan ini sudah tentu akan memberi motivasi kepada pelapis baru terutama di peringkat sekolah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130405/dn_02/Selepas-22-tahun-guru-Kemas-johan-qariah-tilawah-al-Quran-Kelantan#ixzz2Pa2Dq5gH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pencapaian calon SPM dapat semua A meningkat – Sinar Harian


Pencapaian calon SPM dapat semua A meningkat

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mac 2013

BACHOK – Keseluruhan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 meningkat apabila bilangan pelajar yang mencatat semua A juga bertambah dari 14 orang pada 2011 kepada 20 orang bagi 2012 sepertu yang diumumkan Khamis lalu.

Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid berkata, terdapat juga sekolah yang baru dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Golok turut mempunyai seorang pelajar yang mendapat 10A.

Calon SPM bagi 2012 ialah 2,800 berbanding 2011 seramai 2,828 bagi 18 buah sekolah menengah dalam PPD Bachok.

Menurutnya, pencapaian membanggakan itu membuktikan bahawa lokasi sekolah tidak mempengaruhi pencapaian pelajar sebaliknya usaha pelajar dan guru yang ingin mendapatkan yang terbaik dalam setiap cita- cita mereka.

“Peratus kelulusan am juga meningkat dari 91.91 peratus bagi 2011 kepada 93.61 bagi 2012. Tahun 2011 hanya empat buah sekolah dapat semua A iaitu SMK (Agama) Tok Bachok (tiga orang), SMK Bachok (empat orang), SMK Long Yunus (empat orang) dan SMK Beris Panchor (tiga orang).

“Tetapi tahun 2012 ia melibatkan SMKA Tok Bachok (tiga orang), SMK Bachok (lima orang), SMK Long Yunus (empat orang), SMK Badak (seorang), SM Teknik (seorang), SMK Puteri Saadong (seorang), SMK Sri Gunung (dua orang), SMK Seri Nipah (seorang), SMK Jelawat (seorang) dan SMK Kubang Golok (seorang),” katanya.

Beliau berkata, tiga buah sekolah yang lulus 100 peratus tahun 2012 sama seperti 2011 iaitu SMK Tok Bachok, SMK Dato Perdana dan SMK Bachok (tahun 2011 milik SM Teknik).

“Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dan kepada semua guru yang terlibat mendidik anak- anak Bachok hingga berjaya seperti hari ini. Bagi yang tidak berjaya saya jangan putus asa dan berusaha lagi pada tahun depan untuk mencapai kejayaan lebih baik.

“Saya harap mana- mana program yang bersesuaian yang dilaksanakan di peringkat sekolah tahun lalu, perlu dikaji semula tahun ini agar ia memberi impak maksima bagi pelajar,” katanya.

Keputusan SPM disampaikan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Mohd Faizul Yusoff kepada semua wakil sekolah terlibat.

Manakala, Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKA Tok Bachok, Datuk Dr Ilias Husain mengucapkan syabas di atas kejayaan pelajarnya yang berjaya mengekalkan prestasi cemerlang SPM 2012.

“Saya ucapkan tahniah kepada tiga pelajar cemerlang kami iaitu Nur Syafiqah Izzati Mohd Zaki, Razilan Abdullah dan Nur Ezah Azman yang masing- masing mencatat 11A. Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada calon SPM tahun ini untuk mengulangi pencapaian sama,” katanya.

Tiga sekolah lulus 100 peratus – Sinar Harian


Tiga sekolah lulus 100 peratus

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mac 2013
Tiga sekolah lulus 100 peratus
Saupi (dua, kanan) menyampaikan naskhah keputusan kepada wakil SMK Sri Gunung selepas pengumuman keputusan STPM di PPD Bachok, semalam.

BACHOK – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekolah dalam Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok meningkat 0.04 peratus dari 99.21 pada 2011 kepada 99.25 peratus tahun 2012.

Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid berkata, enam sekolah menengah terlibat dalam STPM dan tiga daripadanya mencatat kelulusan 100 peratus.

Menurutnya, tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak, SMK Dato Perdana dan SM Teknik Bachok.

“Bilangan calon STPM 2012 ialah 566 berbanding tahun 2011 iaitu 634 orang. Tahun ini Nilai Gred Purata Kumulatif (NGK) ialah 2.48 berbanding 2.61 tahun 2011.

“Manakala bilangan calon yang mencatat 5A ialah seorang dari SMK Sri Gunung iaitu Marahaini Nadzhirah Mohamed.

“Tujuh calon lain yang mendapat 4A ialah tiga dari SMk Sri Gunung, tiga dari SMK Long Yunus dan seorang dari SMK Badak,” katanya ketika sidang media di PPD Bachok, semalam.

Saupi mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mencatat kejayaan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, ini hasil kerja keras semua pihak termasuk bimbingan guru dan sokongan ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak mereka,” katanya.

Justeru, beliau berharap calon STPM tahun ini akan berusaha lebih kuat untuk mencapai kejayaan lebih baik sekurang-kurangnya mengekalkan prestasi sedia ada.

“Saya percaya setiap usaha pasti akan membuahkan kejayaan cemerlang untuk setiap yang rajin dan tawakal dalam mengejar ilmu.

“Dengan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan hari ini diganding pula dengan ilmu dan kemahiran yang ada pada setiap guru kita, saya percaya kejayaan ini juga mampu dikecap semua anak Bachok akan datang,” katanya.