Salah pelajar, bukan sekolah – Kosmo


Salah pelajar, bukan sekolah

MAHADZIR memujuk Muhammad Faiz supaya tabah dalam pertemuan
di rumah mereka di Bukit Beruntung semalam.

 

KUALA LUMPUR – Siasatan Jabatan Pelajaran Selangor mendapati dakwaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung, Rawang bahawa dia dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin sebagai tidak berasas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, apa yang sebaliknya berlaku ialah pelajar itu, Muhammad Faiz Mahadzir tidak hadir ke sekolah pada hari pertama peperiksaan itu kelmarin.

Katanya, pelajar itu juga tidak hadir ke sekolah untuk beberapa hari sebelum itu.

“Pihak sekolah tidak menghalang pelajar itu menduduki peperiksaan.

“Rekod sekolah menunjukkan dia tidak hadir pada hari pertama peperiksaan walaupun Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SUP) telah memaklumkan kepada pelajar untuk hadir,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan bapa pelajar itu, Mahadzir Mokhtar, 42, yang mendakwa sewaktu Muhammad Faiz datang ke sekolah pada Isnin lalu, guru besar sekolah tersebut telah meminta anaknya itu supaya tidak menduduki UPSR atas alasan dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sekolah berkenaan.

Muhammad Faiz kemudian dikatakan merajuk sehingga tidak mahu ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Selasa lalu walaupun selepas puas dipujuk oleh bapanya.

Mahadzir kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa serta Pejabat Pelajaran daerah Hulu Selangor.

Abd. Ghafar menjelaskan, pihaknya setakat ini menerima sembilan aduan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan UPSR, namun siasatan mendapati kesemuanya tidak berasas.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Pelajar tidak dibenar ambil UPSR – Kosmo


Pelajar tidak dibenar ambil UPSR

MAHADZIR (kiri) membawa pulang anaknya, Muhammad Faiz selepas dilarang menduduki UPSR di SK Taman Bunga Raya (1), Bukit Beruntung, Rawang semalam.

 

RAWANG – Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung di sini mendakwa telah dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula semalam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi dan imej sekolah tersebut.

Bapa pelajar berkenaan, Mahadzir Mokhtar, 42, berkata, dia amat terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan guru besar sekolah itu bahawa anaknya, Muhammad Faiz, 12, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.

“Saya telah menghubungi pihak sekolah semalam (kelmarin) untuk bertanyakan status UPSR anak saya dan berkesempatan berbual dengan salah seorang guru dan kemudian disambungkan kepada guru besar terbabit namun jawapan yang diberikannya itu cukup mengejutkan,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut semalam.

Tambah Mahadzir, pada hari yang sama, anaknya juga telah menemui guru besar berkenaan dan diberitahu tidak perlu hadir ke sekolah.

Disebabkan sikap guru besar tersebut, anak ketiganya itu katanya, enggan hadir menduduki UPSR meskipun telah beberapa kali dipujuk.

“Perkara ini jelas menafikan hak anak saya menduduki UPSR namun lebih mengecewakan adalah sikap guru besar tersebut yang seolah-olah anak saya sahaja yang akan menjejaskan imej sekolah berkenaan.

“Saya akui Muhammad Faiz kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghadapi beberapa masalah termasuk masalah kesihatan namun itu tidak boleh dijadikan alasan melarangnya daripada menduduki UPSR,” tegasnya.

Kecewa dengan insiden tersebut, Mahadzir yang juga seorang perunding tuntutan di sebuah firma guaman telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa dan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim ketika dihubungi memberitahu, beliau telah dimaklumkan berkenaan isu tersebut tetapi masih menunggu laporan lanjut mengenainya.

Pada tahun lepas, lima pelajar dari Sekolah Kebangsaan Teluk Sara, Baling, Kedah dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas.

Kejadian yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, Sarawak apabila tiga orang pelajar telah dilarang untuk mengambil peperiksaan tersebut.