Rayu turun harga diesel – Sinar Harian


Rayu turun harga diesel
RAIHAM MOHD SANUSI
20 September 2013

KEMAMAN – Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia merayu kerajaan mengurangkan harga diesel bersubsidi untuk pengusaha bas kepada RM1.20 seliter, sama seperti dinikmati golongan nelayan.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, rayuan itu bagi membantu pengusaha bas dianggarkan antara 18,000 hingga 20,000 orang di seluruh negara selepas kenaikan harga diesel dan petrol RON95 bermula 3 September lalu.

“Jika kerajaan tidak boleh mengurangkan kepada RM1.20, kita akan mohon untuk memastikan pengusaha bas kekal menikmati harga RM1.48 sen seliter seperti sebelum pengurangan subsidi sebanyak 20 sen, berbanding RM1.68 seliter sekarang.

“Langkah ini bagi membela nasib pengusaha dan pemandu bas sekolah di negara ini,” katanya pada Majlis Perasmian Penubuhan Persatuan Pengusaha-pengusaha/Pemandu Bas Sekolah Daerah Kemaman di Balai Raya Bakau Tinggi, dekat sini.

Perasmian disempurnakan Ketua Jabatan Kenderaan Awam Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Negeri Terengganu, Abd Rashid Abdullah. Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha/Pemandu Bas Sekolah Daerah Kemaman,
Harun Salleh.

Dalam pada itu, Mohd Rofik meminta pengusaha dan pemandu bas sekolah tidak menaikkan harga tambang sehingga berakhirnya sesi persekolahan tahun ini bagi mengelakkan ibu bapa dan penjaga terbeban.

“Kali terakhir kadar tambang bas disemak pada 2009 dan sepatutnya sudah ada kenaikan harga tambang tahun ini.

“Insya-ALLAH, tahun hadapan akan ada kenaikan tambang. Bagaimanapun, tidak akan ada kenaikan harga tambang jika kerajaan putuskan harga diesel untuk pengusaha dan pemandu bas hanya RM1.20 seliter,” katanya.

Sementara itu, Abd Rashid pula berkata, Persatuan Pengusaha-pengusaha/Pemandu Bas Sekolah Daerah Kemaman adalah persatuan keempat ditubuhkan di negeri ini selepas Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.

Beliau turut menyarankan Persatuan Pengusaha-pengusaha/Pemandu Bas Sekolah Daerah Kemaman mewujudkan sebuah koperasi untuk menjana pendapatan sendiri, apatah lagi dengan kenaikan kos operasi akibat kenaikan harga bahan api.

Dipanah petir ketika pegang telefon bimbit – Sinar Harian


Dipanah petir ketika pegang telefon bimbit

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Aniq dipanah petir
Aniq Syazwan sambil diperhatikan bapanya (kanan) melakonkan semula bagaimana keadaan tangannya yang kaku selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan petir.
Aniq dipanah petir
Ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.

CHUKAI – “Waktu itu saya sedang caj telefon bimbit dan letakkannya atas paha sambil tangan diletakkan atas telefon itu namun tak semena-mena saya rasakan terkena renjatan elektrik lalu saya yang berada di atas katil dalam bilik tidur tercampak di tepi dinding dengan badan kaku serta kejang,” kata Aniq Syazwan Abu Bakar, 16.

Aniq Syazwan nyaris maut akibat panahan petir menyambar wayar elektrik hingga menyebabkan dia terkena renjatan dalam kejadian ketika hujan lebat dan kilat sambar menyambar kira-kira jam 8.12 malam di rumahnya di Taman Mawar 2, Jalan Tempurung, dekat sini, tiga hari lalu.

Pelajar tingkatan empat ini yang masih sedarkan diri sejurus renjatan itu hanya mampu membuka mata dan melihat kedua-dua tangannya bertukar menjadi biru kehitaman sebelum tidak sedarkan diri ketika kedua ibu bapanya memasuki bilik tidurnya.

“Semasa terkena renjatan itu saya lihat cahaya menyambar tangan lantas saya tercampak ke tepi dinding. Kejadian ini buatkan saya trauma dan serik untuk memegang telefon bimbit lagi semasa petir atau kilat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, bapa Aniq Syazwan yang juga kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, Abu Bakar Abdullah, 55, berkata, semasa kejadian dia sedang berwirid di ruang solat di rumahnya sebelum terdengar bunyi ‘prakkk’ lalu bekalan elektrik terpadam sebelum terdengar sayup-sayup anak bongsunya daripada lima beradik itu meraung kesakitan.

“Ketika itu terdetik di hati saya mungkin anak bongsu saya sudah meninggal. Lalu dalam keadaan gelap saya dapat capai telefon bimbit isteri sebagai sumber cahaya dan menuju ke bilik adik (nama panggilan untuk Aniq).

“Bila masuk ke biliknya, saya suruhnya mengucap kerana sangkakan keadaannya sudah tenat tapi Alhamdulillah waktu saya masuk ke dalam biliknya bersama isteri, Pasiah Hamzah, 51, dia masih sedarkan diri tetapi badannya kejang seperti robot sebelum kami menghantarnya ke Hospital Kemaman,” katanya sambil menganggap kejadian berkenaan satu keajaiban dan kebesaran Allah SWT kerana anaknya masih selamat.

Difahamkan akibat panahan petir itu, televisyen dan mentol di rumah dua jiran mereka turut meletup. Aniq Syazwan ditahan dalam wad selama dua hari kerana dikhuatiri kesan arus elektrik boleh memudaratkan otak dan jantungnya sebelum dibenarkan pulang petang kelmarin.