Keluarga restu remaja nikah gadis 13 tahun – Berita Harian


Keluarga restu remaja nikah gadis 13 tahun

2012/11/22 – 03:43:17 AM Oleh Azahar HashimCetakEmel Kawan
Kulim: “Daripada buat maksiat, lebih baik kami kahwin,” demikian kata Mohd Fahmi Alias, 17, yang berhasrat berkahwin dengan seorang budak perempuan yang baru mencecah usia 13 tahun.

Walaupun menyedari hasratnya itu mungkin dibantah termasuk menimbulkan andaian kurang menyenangkan, namun bagi Mohd Fahmi pernikahannya dengan Nor Fazira Saad dianggap sebagai langkah terbaik bagi mereka berdua.

“Saya sudah sedia memikul tanggungjawab untuk bergelar suami. Saya percaya kami boleh berdikari dan saya akan tumpukan kepada perniagaan keluarga untuk menyara hidup kami berdua.

“Saya tidak kisah apa pandangan masyarakat terhadap kami berdua kerana yang penting keluarga di kedua-dua belah pihak sudah bersetuju,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam.

Katanya, mereka akan melangsungkan majlis perkahwinan di kediamannya pada 24 November ini.

Ditanya mengenai masa depan Fazira, Fahmi berkata beliau tidak akan menghalang kalau Fazira ingin melanjutkan pelajaran selepas berkahwin dan ia bergantung kepada kemahuan pasangannya itu.

Fazira berkata, usianya bukan penghalang menjadi dan sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.
“Kami sudah dapat restu kedua ibu bapa kami dan saya kini banyak menerima tunjuk ajar keluarga Fahmi yang sememangnya memahami kesulitan dialami saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim, Azmi Ahmad, mengesahkan waris gadis berkenaan membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah Daerah mengikut Enakmen Keluarga Islam 2008 (Pindaan) Negeri Kedah.

Bapa mohon di mahkamah untuk kahwinkan anak enggan pulang rumah – Bernama


Bapa mohon di mahkamah untuk kahwinkan anak enggan pulang rumah

21 November 2012

KULIM – Seorang bapa terpaksa merayu kepada Mahkamah Syariah supaya meluluskan perkahwinan anak gadisnya berusia 12 tahun yang enggan pulang ke rumah tetapi mahu tinggal di rumah teman lelakinya.

Pembantu Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim Azmi Ahmad berkata peristiwa itu berlaku kira-kira dua minggu lalu dan gadis itu dan teman lelakinya berusia 19 tahun akan mendirikan rumah tangga bulan depan.

“Gadis itu baru sahaja mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala pasangannya pula menganggur tetapi ibu bapa mereka bersetuju pasangan itu dinikahkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kem Bina Generasi al-Quran di Masjid Al-Ittihad, Sungai Kob dekat sini hari ini.

Azmi yang mewakili Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim melancarkan program tersebut berkata waris gadis berkenaan telah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah Daerah sebagai mematuhi Enakmen Keluarga Islam 2008 (Pindaan) Negeri Kedah.

“Bagi pihak perempuan yang berumur di bawah 16 tahun yang mahu bernikah dan lelaki pula yang berusia di bawah 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah melalui enakmen tersebut,” katanya yang juga Ketua Bahagian Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim.

Azmi berkata kes itu julung kali berlaku sejak berpuluh tahun beliau berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam di Kedah.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Kem Bina Generasi al-Quran 1434 Hijrah Abdul Rahim Omar, berkata seramai 105 peserta yang berusia sembilan hingga 15 tahun dari Sungai Petani, Yan, Seberang Perai dan Pulau Pinang menyertai kem selama sebulan itu bermula hari ini hingga 20 Dis.

Katanya peserta yang tinggal di asrama dikenakan yuran penyertaan RM300 seorang manakala yang berulang-alik pula RM200 bagi tempoh sebulan itu.

Mereka terdiri daripada 70 peserta lelaki dan 35 perempuan yang akan diasuh selaras dengan modul yang telah disusun atur.

Abdul Rahim berkata dua masjid iaitu Masjid Al-Ittihad, Sungai Kob dan Masjid Al-Mujahiddin, Batu Puteh di sini terbabit dalam penganjuran berkenaan. – Bernama