Jerebu: Ibu bapa dibenarkan tak hantar anak ke sekolah – Bernama


Jerebu: Ibu bapa dibenarkan tak hantar anak ke sekolah

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun – Ibu bapa dibenar tidak menghantar anak-anak ke sekolah jika bimbang kesihatan mereka berikutan jerebu yang melanda sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, pihak sekolah hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu.

“Ibu bapa diminta merujuk kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan status sekolah anak-naka mereka terutama di kawasan yang terlibat,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dalam kenyataan di sini hari ini.

Sekolah-sekolah diarahkan tutup hari ini iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka serta daerah Muar, Ledang dan Segamat di Johor, Port Dickson di Negeri Sembilan dan Kuantan di Pahang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini bahawa sekolah-sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka ditutup esok memandangkan keadaan jerebu bertambah buruk.

Muhyiddin berkata, walaupun sekolah-sekolah dalam kawasan jerebu kritikal dan yang bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi paras bahaya telah ditutup, murid-murid dinasihatkan supaya tidak mendedahkan diri di kawasan terbuka.

“Dalam hal ini kerjasama ibu bapa perlu supaya dapat mengawasi pergerakan anak-anak mereka sepanjang tempoh itu,” katanya.

Murid-murid juga dinasihatkan sentiasa memakai penutup hidung dan minum banyak air, manakala pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran, katanya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa jerebu untuk mengetahui status terkini jerebu di kawasan masing-masing.

Katanya, semua pengarah pelajaran negeri hendaklah sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkuasa di peringkat masing-masing mengenai keperluan penutupan sekolah serta pelaksanaan sebarang aktiviti melibatkan murid.

Muhyiddin juga meminta pihak sekolah mematuhi arahan surat siaran dari semasa ke semasa sama ada untuk menutup sekolah dengan serta merta, menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah atau menghentikan semua aktiviti kokurikulum dengan kadar segera bagi menjamin kesihatan murid. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_38/Jerebu-Ibu-bapa-dibenarkan-tak-hantar-anak-ke-sekolah#ixzz2X8n3ep33
© Utusan Melayu (M) Bhd

110 sekolah di Segamat diarah cuti esok – Bernama


110 sekolah di Segamat diarah cuti esok

 0  0 Google +0  0  0

JOHOR BAHRU: Sebanyak 110 buah sekolah rendah dan menengah di Segamat diarahkan bercuti esok selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu mencapai tahap berbahaya 400.

Pengarah Pelajaran negeri Mohd Nor A Ghani berkata arahan itu membabitkan 39,681 pelajar dan 3,418 guru. 

Arahan bercuti sejak Jumaat lalu bagi 117 sekolah di Kluang dan 175 sekolah di Batu Pahat yang membabitkan 134,872 pelajar masih belum ditarik balik, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Arahan itu turut dipanjangkan kepada 171 sekolah kebangsaan dan 40 sekolah menengah di daerah Muar dan Ledang, membabitkan 76,400 pelajar serta 6,846 guru berikutan pengisytiharan darurat akibat jerebu di kawasan berkenaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata 300 sekolah di Kota Tinggi, Pontian dan Pasir Gudang yang diarahkan bercuti Jumaat lepas akan dibuka semula esok selepas IPU mencatatkan bacaan yang bertambah baik.

 

Pejabat pelajaran daerah dan sekolah sudah diarah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa atau penjaga agar semua 187,590 pelajar berkenaan kembali ke sekolah esok. 

Bagaimanapun katanya aktiviti di luar kelas masih tidak dibenarkan sementara pelajar, terutama yang mempunyai penyakit asma dan jantung dinasihatkan memakai topeng hidung dan mulut. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/23

SEKOLAH DITUTUP SEHINGGA JAM 12.00 TENGAHARI DI JOHOR AKIBAT JEREBU


SEKOLAH DITUTUP SEHINGGA JAM 12.00 TENGAHARI DI JOHOR AKIBAT JEREBU

21 June 2013

Sekolah ditutup sehingga jam 12.00 tengahari di Johor akibat jerebu:

(1) Daerah Muar 40 SM (33,331 murid) 171 SR (39,580 murid).

(2) Daerah Batu Pahat 31 SM (37,167 murid) 144 SR (45,440 murid).

(3) Daerah Pasir Gudang 35 SM (49,419 murid) 70 SR (68,618 murid)

(4) Daerah Pontian 15 SM (15,616 murid) 82 SR (18,201 murid).

(5) Daerah Kota Tinggi 12 SM (7,321 murid) 10 SR (4,648 murid).

Jumlah sekolah ditutup 600 (319,341 murid)

76,940 pelajar di Muar diarah bercuti – Utusan


76,940 pelajar di Muar diarah bercuti

 

NUSAJAYA 20 Jun – Seramai 76,940 murid dan pelajar di daerah Muar diarahkan bercuti serta-merta mulai hari ini berikutan masalah jerebu yang semakin meruncing hari ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, arahan tersebut membabitkan 211 buah sekolah rendah dan menengah selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 383 setakat pukul 11 pagi ini.

Menurut beliau, arahan bercuti tersebut adalah bagi mengelakkan para pelajar dan murid di daerah itu berdepan masalah kesihatan kerana jerebu kini sudah mencecah tahap bahaya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130620/dn_24/76940-pelajar-di-Muar-diarah-bercuti#ixzz2Wk3ySntR
© Utusan Melayu (M) Bhd