Bumbung asrama dibaik pulih – Sinar Harian


Bumbung asrama dibaik pulih

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Februari 2013
Bumbung asrama dibaik pulih
Zaifulbahri (tengah) menyempurnakan simbolik Majlis Penyerahan Kunci Projek Baik Pulih Bumbung Asrama sambil diperhatikan Zamri (kiri), di SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail.

PEDAS – Pelajar dan ibu bapa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Hassan Haji Sail, kini lega apabila kerja-kerja membaik pulih bumbung asrama sekolah berkenaan yang rosak dalam kejadian ribut pada penghujung Disember 2011 sudah siap sepenuhnya.

Jurutera Daerah, Zamri Mat Kasim berkata, sebagai langkah mengatasi masalah itu, pihak sekolah menempatkan pelajar dari tiga bilik asrama di kuarters guru bagi membolehkan mereka menjalani sesi persekolahan sepanjang tahun lepas.

“Bagi pihak JKR, mereka mengambil langkah awal dengan menutup atap yang bocor dengan kanvas pada 14 Februari tahun lalu dan akhirnya kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan di bawah Pakej Rancangan Khas (PRK).

“Kerosakan akibat ribut itu membabitkan kerja-kerja baik pulih bangunan asrama putri dan putra Block A & B; bangunan B, C, D dan lain-lain lagi yang mana ianya membabitkan peruntukan RM544,000,” katanya sempena Majlis Penyerahan Kunci Projek Baik Pulih Bumbung Asrama di Dewan SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, Azali Hashim dan Pengetua SMKA Dato’ Haji Hassan Haji Sail, Saiful Bahrin Abu.

Sementara itu, Zaifulbahri berkata, diharap warga sekolah terus meningkatkan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai aspek walaupun berhadapan bencana ribut.

“Walaupun begitu, pihak sekolah dapat menyediakan langkah tepat bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar dan dalam masa sama prestasi sekolah sebagai antara sekolah agama yang cemerlang tetap dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Trauma jejak kaki ke sekolah – Sinar Harian


Trauma jejak kaki ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Oktober 2012
Trauma jejak kaki ke sekolah
Siti Nor Fitrah berehat sambil menikmati hidangan selepas selesai menduduki kertas pertama peperiksaan PMR di Hospital Tampin, semalam.

Seorang calon PMR ambil peperiksaan di hospital atas nasihat pakar psikiatri

TAMPIN – Akibat penyakit dihadapinya, seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa mengambil peperiksaan berkenaan di Hospital Tampin, semalam.

Siti Nor Fitrah Ramli, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Haji Adnan (Duha), di sini, mengalami gangguan tekanan atau Traumatic Stress.

Dia dikesan mengalami penyakit itu sejak Jun lalu berbuat demikian atas nasihat pakar psikiatri hospital terbabit.

Menurut Siti Nor Fitrah, penyakit itu menyebabkan dia mudah pengsan sebaik tiba di sekolah.

Malah, katanya, dia pernah pengsan sebaik sahaja menjejak kaki ke pintu pagar sekolah.

“Sejak bulan Jun lalu, sudah tidak terkira berapa kali saya pengsan ke sekolah. Doktor memberitahu saya mempunyai perasaan ‘tidak boleh ke sekolah’.

“Penyakit ini membuatkan perasaan saya seolah-olah trauma dengan sekolah dan atas nasihat doktor Isnin lalu, kes saya dirujuk ke HT untuk membolehkan saya menduduki peperiksaan PMR di hospital, tanpa risiko untuk pengsan seperti di sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Tampin, semalam.

Siti Nor Fitrah juga akui sedih dan terkilan kerana tidak berpeluang untuk menduduki peperiksaan bersama rakan lain di sekolah, namun terpaksa akur.

“Bagaimanapun, saya akan cuba berusaha memberi terbaik bagi peperiksaan PMR ini walaupun persekitaran menduduki peperiksaan seperti ini tidak pernah sama sekali tergambar dalam fiki-ran saya selama ini,” katanya.

Siti Nor Fitrah merupakan seorang daripada 1,176 calon yang menduduki PMR di daerah Rembau, tahun ini.