Rakam gambar tanpa anak bongsu – Metro


Rakam gambar tanpa anak bongsu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA TINGGI: “Saya tak sangka kelakuan pelik mereka merakam gambar bersama pada Aidilfitri lalu tanpa kehadiran anak bongsu, Ammar Haziq, 3, petanda mereka empat beranak bakal meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri.

“Ini kerana empat beranak berkenaan maut dalam kemalangan pagi tadi (semalam), manakala Ammar Haziq masih kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Mersing akibat cedera di kepala dan badan,” kata Rafidah M Yusof, 36.
Adik kepada arwah Abdullah M Yusof itu berkata, kali terakhir dia berjumpa abangnya Aidilfitri lalu di rumah keluarga di Blok 19, No 446 Felda Air Tawar 5.

 

“Saya diberitahu, arwah yang juga anak keempat daripada 10 beradik mengunjungi rumah ibu untuk membaiki lampu minggu lalu.
“Malangnya, saya tak sempat bertemunya kerana ada urusan lain. Tanpa diduga, perjumpaan pada Aidilfitri lalu adalah kali terakhir kami bertemu.
“Apabila dilihat semula gambar keluarganya yang dirakamkan, keempat-empat mereka didapati bergambar bersama kecuali Ammar dan ia mungkin petanda anak bongsu mereka bakal ditinggalkan,” katanya ketika ditemui di Felda Air Tawar 5, di sini, semalam.

 

 

Katanya, arwah abangnya bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Johor Bahru dan tinggal di Taman Daiman, Kota Tinggi.
Menurutnya, keluarganya terkilan dengan kejadian menimpa arwah kerana tidak tahu perancangan mereka ke Jengka, Pahang, untuk menghantar adik bongsu kakak iparnya mendaftar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

“Jam 9 pagi tadi (semalam), kami menerima panggilan menyatakan abang mengalami kemalangan dan meninggal dunia.
“Lebih mengejutkan apabila diberitahu, kakak ipar yang bertugas sebagai guru Bahasa Melayu (BM) di Sekolah Menengah Tun Habab, di sini, dan dua anak mereka turut maut,” katanya.
“Kami pasti merindui arwah kerana sikapnya yang ikhlas, rajin dan gemar membantu adik-beradik serta berharap roh mereka dicucuri rahmat,” katanya.
Katanya, mereka kini berharap Muhammad Ammar yang kini dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pulih secepat mungkin.
Abdullah dan dua anaknya yang meninggal dunia, Muhammad Aiman Syakirin, 8 dan Maisarah, 4, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 5, manakala jenazah isterinya Samsiah Maidin, 37, dan kakaknya, Noraini, 41, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 3.
Sementara itu, ibu Samsiah, Minah Ismail, 60, berkata, sempena cuti sekolah dia mengajak mangsa sekeluarga menghantar adik bongsu Samsiah yang akan mendaftar masuk ke UITM Jengka, Pahang.
“Bagaimanapun, hasrat kami tidak kesampaian dan terpaksa menguruskan pengebumian jenazah dua anak, seorang menantu dan dua cucu,” katanya.