‘Dakwa segera suspek kes Saiful’ – Berita Harian


‘Dakwa segera suspek kes Saiful’
Oleh Adha Ghazali dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2011/04/07

KETUA Wanita Umno Arau, Datuk Mastika Junaidah Husin (tengah) melawat Hazirah (dua dari kiri) di rumahnya di Arau, semalam.

KETUA Wanita Umno Arau, Datuk Mastika Junaidah Husin (tengah) melawat Hazirah (dua dari kiri) di rumahnya di Arau, semalam.

Ibu angkat budak maut dibelasah guru sekolah agama harap perbicaraan dipercepat

KANGAR: Ibu angkat murid Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee yang mati selepas dipukul guru sekolah agama persendirian di Jejawi dekat sini, Ahad lalu, mahu kes itu diselesaikan segera.

Hazirah Chin, 38, juga mahu suspek yang bertanggungjawab menyebabkan kematian pelajar itu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.“Pemergian Saiful Syazani yang lebih mesra dengan panggilan ‘Ustaz Saiful’ amat memilukan, apatah lagi bagi saya dia sudah kami anggap seperti keluarga dan seolah-olah anak sendiri yang tiada bezanya dengan empat anak kandung saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, Saiful Syazani tinggal bersama keluarga Hazirah di Kampung Hutan Buluh, Jejawi, selepas kematian ibu kandungnya, Jahiyah Che Amat, sejak enam tahun lalu.

Dalam pada itu, polis kini dalam proses akhir menyiapkan kertas siasatan berhubung kes Saiful Syazani.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya, berkata kertas siasatan kes sudah siap, tetapi ada beberapa pindaan yang perlu dilakukan untuk membantu memantapkan lagi kes pendakwaan.
“Saya tidak dapat ulas mengenai lebih kerana khuatir akan mengganggu siasatan, apatah lagi dalam keadaan kes yang dianggap kontroversi.

“Saya yakin pindaan ke atas kertas siasatan akan selesai selewat-lewatnya dalam tempoh dua atau tiga hari lagi. Selepas itu kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dipertimbangkan, sebelum pendakwaan dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, polis mengesahkan kematian Saiful Syazani berpunca daripada ‘hypoxic seculae’ atau kekurangan oksigen pada otak yang disebabkan oleh tekanan benda lembut pada leher.

Di KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyuarakan rasa kesal dengan kematian Saiful Syazani dan menyifatkan kejadian menimpanya kejam dan tidak berperikemanusiaan, selain bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia khususnya mengikut Artikel 37 Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC).

Justeru, Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam, memohon semua pihak supaya menghormati dan mengulangi desakan terhadap kerajaan untuk menguatkuasakan Akta Kanak-kanak 2001 dalam memastikan perlindungan dan pembangunan yang khusus dalam memastikan perkara itu tidak lagi berlaku.