Belasah enggan jadi gengster – Metro


Belasah enggan jadi gengster

 621  24 Google +1  0  1

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Puteri Nabiha Raja Ayub

Sungai Buloh: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun kini bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, selepas dibelasah sekumpulan tujuh rakan sebaya yang bersenjatakan besi dan kayu di depan sebuah kafe siber di Damansara Damai dekat sini, Isnin lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Oii Boon King, dibelasah kumpulan terbabit dipercayai kerana menolak pelawaan mereka untuk menganggotai satu kumpulan gengster.

Menurut abang ipar mangsa yang juga saksi kejadian, Benny Chong, 35, adiknya dibelasah kumpulan terbabit tanpa belas kasihan selama lebih 10 minit.

“Mereka (kumpulan remaja) membelasahnya menggunakan besi dan kayu. Dia kini masih koma dan sedang dirawat di HSB,” katanya memberitahu, Boon menerima 30 jahitan di kepala selain mengalami keretakan di tangan kiri dan kaki kanan.

FotoRAKAMAN CCTV menunjukkan Boon dibelasah kumpulan berkenaan.

Menurut Benny yang ditemui di HSB di sini, semalam, kira-kira seminggu sebelum kejadian, Boon menolak pelawaan kumpulan terbabit untuk menganggotai satu kumpulan gengster dan mengesyaki ia adalah motif serangan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/07

Remaja lelaki sedih kehilangan Khadijah – Kosmo


Remaja lelaki sedih kehilangan Khadijah

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki yang mendakwa kekasih Siti Khadijah Muhammad, 16, yang ditemui mati terjatuh dari sebuah apartmen di Desa Pandan di sini tidak dapat menerima hakikat dia sudah kehilangan gadis itu.

Menerusi laman Twitter miliknya, remaja berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Farid itu melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat berjumpa mangsa sebelum gadis itu meninggal dunia.

Remaja lelaki yang tinggal di Damansara Damai, Petaling Jaya itu turut mendakwa, ibu dan seorang adik perempuan mangsa menjadi punca gadis itu nekad keluar daripada rumah melalui tingkap.

Antara petikan yang ditulis dalam Twitter remaja lelaki itu: “Aku hidup sekarang sampai mati aku takkan maafkan korang berdua ****. Kalau korang bagi dia keluar aku rasa dia masih ada lagi.”

Selepas mendapat maklumat kekasihnya mati terjatuh daripada apartmen, remaja lelaki itu terus pergi Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur untuk menatap wajah kekasihnya itu.

Mengikut Twitter itu lagi, remaja berkenaan meluahkan, air matanya tidak berhenti mengalir selepas menatap wajah gadis pujaannya yang sudah tidak bernyawa di hospital.

Pada sebelah petang, remaja lelaki itu mengemas kini Twitter miliknya lagi dengan memberitahu, dia yang tiada wang memberanikan diri menaiki teksi ke rumah arwah kekasihnya untuk sama-sama membaca surah Yasin.

Sampai di apartmen tersebut, remaja itu memberitahu, dia bernasib baik kerana keluarga kekasihnya membayar wang tambang teksi.

Kemas kini pada pukul 8.30 malam tadi pula menyebut, dia berasa bersalah kerana kematian Khadijah dianggap mempunyai kaitan dengan dirinya.

“Aku rasa serba salahlah, dia meninggal sebab aku. Dia sanggup buat macam itu semata-mata nak jumpa dengan aku.”

Tinjauan Kosmo! di akaun Twitter remaja itu pada pukul 8.47 malam tadi mendapati akaun tersebut dibanjiri ucapan takziah pengikutnya yang berjumlah 3,390 orang yang rata-ratanya melahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa dan remaja lelaki itu.

Remaja itu bagaimanapun gagal dihubungi Kosmo! bagi mendapatkan komen mengenai kejadian itu.

Sementara itu, laman Facebook dan Twitter milik Khadijah sudah ditutup oleh keluarga mangsa.

Pencuri cilik kantoi – Sinar Harian


Pencuri cilik kantoi

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 November 2012
Pencuri cilik kantoi
Ketiga –tiga suspek kini direman untuk siasatan lanjut berhubung kecurian motosikal di apartmen berkenaan

PETALING JAYA – Usia masih di bawah umur tetapi sudah berani mencuri motosikal, bagaimanapun kegiatan licik tiga remaja terbabit tumpas selepas mereka diberkas penduduk Apartmen Saujana Damansara, Damansara Damai, malam kelmarin.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen berkenaan, Nazriey Ismail berkata, kesemua pencuri cilik itu ditahan selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka melarikan sebuah motosikal milik penduduk di salah sebuah blok di situ.

Menurutnya, seorang daripada suspek berusia 14 tahun tinggal di kawasan berkenaan manakala dua lagi rakannya berusia 12 dan 15 tahun tinggal di Kampung Kubu Gajah.

“Suspek  mengaku menyembunyikan motosikal di rumah rakannya selepas disoal siasat oleh anggota biro keselamatan yang bertindak menahannya ketika dia pulang ke rumah,” katanya.

Difahamkan, dua hari sebelum itu suspek ditahan pengawal keselamatan selepas membawa motosikal terbabit keluar namun mengaku ia kepunyaan abangnya.

Ketiga-tiga suspek kini direman untuk siasatan lanjut selepas mengaku terlibat mencuri motosikal tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan penangkapan ketiga-tiga suspek.

Katanya, mereka kini direman untuk siasatan lanjut selepas mengaku melakukan perbuatan jenayah terbabit.

Beliau berkata, ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak terutama ketika cuti persekolahan.

5 pencuri cilik kantoi – Sinar Harian


5 pencuri cilik kantoi

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 September 2012
5 pencuri cilik kantoi
Lima pencuri cilik yang ditahan selepas melarikan dua motosikal.

PETALING JAYA – Hasrat lima pencuri cilik bersiar menggunakan motosikal curi tidak kesampaian apabila mereka berjaya diberkas selepas motosikal ditungganginya kehabisan minyak.

Dalam insiden jam 6.30 petang kelmarin itu, kelima-lima pencuri berusia 12 tahun itu bertindak melarikan motosikal terbabit dari sebuah kafe siber di Damansara Damai dekat sini.

Ketua Biro Keselamatan Apartmen Idaman, Azmi Ardi berkata, kelima-limanya ditahan ketika mereka sedang cuba menghidupkan enjin motosikal jenis Kriss di bahu jalan.

“Motosikal yang dilarikan itu adalah milik seorang daripada anggota biro keselamatan Apartmen Idaman.

“Sebaik mendapat maklumat mengenai kehilangan itu, kami menyebarkan berita berkenaan kepada penduduk di kawasan lain dan ia berjaya ditemui setengah jam kemudiannya,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat, kelima-lima murid darjah enam itu mengaku ada mencuri sebuah lagi motosikal pada hari sama yang disembunyikan di dalam semak.

“Memandangkan ke semua mereka bawah umur, pihak biro telah memaklum dan memanggil ibu bapa untuk mengambil anak-anak masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ke semua pemilik telah dihubungi untuk menuntut motosikal untuk  masing-masing.

Dijual rakan untuk melacur – Metro


Dijual rakan untuk melacur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dia bukan saja ‘dijual’ rakan baiknya, malah dipaksa melacur sejak empat bulan lalu.

Jika mangsa enggan melakukan perbuatan keji itu, dia akan dipukul ibu ayam berusia awal 40-an selain dikurung dan tidak diberi makan serta minum.
Mangsa yang tidak tahan menanggung derita seksaan itu terpaksa akur arahan sindiket pelacuran terbabit selain menanti peluang melarikan diri.

 

Remaja itu mendakwa dia dibawa ke hotel di seluruh negara mengikut permintaan pelanggan selain dibayar RM200 hingga RM500 mengikut perkhidmatan diberikannya. Selain hotel di ibu kota, mangsa pernah dibawa ke hotel di Pulau Pinang, Genting Highlands dan Johor, oleh sindiket pelacuran yang mengawasi setiap pergerakannya.
Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri daripada sindiket pelacuran itu pada jam 7 pagi, 8 Januari lalu, sebelum membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini, Rabu lalu.
Menceritakan semula kejadian berkenaan, sumber polis berkata, mangsa yang berasal dari Melaka meninggalkan rumahnya pada jam 8 malam, 18 Ogos tahun lalu, selepas diperdaya rakan perempuannya untuk ke ibu kota.

 

 

“Rakan baik mangsa yang berusia 20-an menawarkan pekerjaan kepada mangsa selain berjanji mengahwinkannya.
“Lelaki yang dijanjikan untuk dikahwinkan dengan mangsa dikenali mangsa kerana mereka pernah berjumpa pada majlis kenduri di Ayer Keroh, Melaka, Ogos tahun lalu,” katanya. Menurutnya, mangsa kemudian dibawa menaiki sebuah Proton Wira bersama lima wanita lain yang tidak dikenali.

 

“Mangsa dan beberapa wanita itu dihantar ke sebuah flet di Damansara Damai. Tiga hari kemudian, mangsa dibawa ke sebuah hotel di Jalan Ipoh sebelum diarahkan melacur.
“Tersentak dengan itu, mangsa berkeras dan cuba melawan menyebabkan dia dipukul seorang wanita dipercayai ibu ayam. Dia juga tidak diberi makanan mahupun minuman,” katanya.
Sumber itu berkata, difahamkan, selepas dua kali cubaan melarikan diri gagal, remaja terbabit mencuba sekali lagi pada 8 Januari lalu dan berjaya.
Katanya, mangsa membuat laporan polis mengenai nasib itu dan difahamkan, dia kini berlindung di rumah keluarganya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.