JOHOR BAHRU: “Terima kasih kepada pihak sekolah yang mengutip derma untuk anak saya, Afis. Dengan bantuan ini dan doa semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan murid mudah-mudahan Afis selamat menjalani pembedahan jantung serta kembali bersekolah seperti biasa.
“Saya ingin sampaikan salam dan terima kasih daripada keluarga kami kepada semua dan mendoakan semoga Allah melindungi seluruh warga sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 1,” kata Mohd Puad Hamidun, 36, bapa kepada Muhammmad Nur Afis, 7, yang menderita sakit jantung disiarkan Harian Metro sebelum ini.
Puad berkata, kos pembedahan Afis menelan belanja sebanyak RM50,000 dan pelbagai pihak sudah menghubunginya menyampaikan hasrat memberikan bantuan.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak RM15,000 berjaya dikumpulkan hasil derma individu prihatin, sekolah dan ahli keluarga.
Katanya, terdapat agensi kerajaan yang sudah menghubunginya dan berjanji menyampaikan bantuan untuk menampung baki perbelanjaan belum mencukupi tetapi masih belum ada keputusan muktamad diperoleh daripada pihak berkenaan.
“Terima kasih tidak terhingga juga kepada akhbar Harian Metro yang menyiarkan berita kerana jika tidak susah untuk kami mendapatkan bantuan seperti apa yang kami dapat sekarang,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan di SK Taman Universiti 1 yang dihadiri seramai lebih 1,000 murid dan 86 kakitangan sekolah termasuk guru semalam.
Sementara itu, penderitaan murid tahun satu berkenaan mendapat simpati daripada pihak sekolah apabila berjaya mengumpul sebanyak RM8,000 menerusi sumbangan daripada seluruh warga sekolah.
Guru Besarnya, Tumirah Jemon berkata, pihak sekolah amat bersimpati dengan nasib menimpa Muhammmad Nur Afis, 7, yang disifatkan cerdik dan mempunyai masa depan cerah.
Menurutnya, pihak sekolah melancarkan tabung kutipan derma serta membantu mencari penaja terdiri daripada individu dan korporat.
“Terima kasih di atas segala sumbangan diberikan bagi meringankan beban keluarga Nur Afis yang mengalami sakit jantung dan bakal menjalani pembedahan pada 23 Februari ini di Institut Jantung Negara (IJN).
“Kami berharap adik Afis akan selamat menjalaninya dan kembali sihat ke pangkuan keluarga serta dapat bersekolah.
“Semoga berkat doa murid, guru, kakitangan dan semua pihak, semuanya berjalan lancar dan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menyangka murid berkenaan mengalami penyakit berkenaan kerana tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang kebiasaannya dilaporkan kepada pengurusan serta guru sekolah.
“Afis baru sebulan bersekolah di sini dan sebelum ini keluarganya menetap di Selangor. Sejak disiarkan akhbar Harian Metro pihak sekolah berusaha membantu sewajarnya dengan melancarkan tabung selain menulis surat kepada individu serta pihak korporat agar sudi menghulurkan sumbangan,” katanya.