‘Anak tertimbus, tersepit sekelip mata’ – Utusan


‘Anak tertimbus, tersepit sekelip mata’

2012/03/09

TANAH MERAH: “Ketika hujan lebat terdengar dentuman kuat dan dalam sekelip mata separuh badan anak saya tertimbus serta tersepit di pintu belakang rumah,” kata Raja Azlan Raja Hussin, 45, bapa kepada Raja Mohd Irfan, 13, yang maut dalam kejadian tanah runtuh di kuarters polis Jalan Belfields, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, Raja Azlan yang bekerja sebagai kakitangan awam di Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, berkata ketika hujan semakin lebat beliau mendapati sedikit lumpur sudah memasuki bahagian dapur belakang rumahnya.

Berikutan itu beliau meminta anak ketiga daripada lima beradik itu membantu mengemas barangan di dapur dan mengambil pakaian di jemuran.

“Ketika itu, tiba-tiba satu dentuman kuat kedengaran dan benteng di belakang rumah runtuh, tapi saya sempat mengelak bagaimanapun anak saya tertimbus walaupun jarak antara kami kurang satu meter.

“Saya menarik tangan Raja Mohd Irfan daripada runtuhan yang ketika itu sudah tertimbus paras dada hingga kepala tetapi tidak berjaya kerana bahu dan kepalanya tersepit di pintu dapur,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga isterinya di Kampung Bukit Merah di sini, semalam.

‘Dia ugut mahu bunuh Fifi saya’ – Kosmo


‘Dia ugut mahu bunuh Fifi saya’

KUALA LUMPUR – Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan seorang lelaki yang begitu gelisah dan takut apabila terpaksa menyaksikan leher anak sulung perempuannya diacukan pisau oleh seorang lelaki bogel untuk dijadikan tebusan selama enam jam semalam.

Kelibat Syafrudin Marlis, 47, yang sebelum itu tidak dipedulikan oleh masyarakat sekeliling tiba-tiba menjadi tumpuan apabila dia memperkenalkan diri kepada wartawan sebagai bapa Fifi Ramadhani, 10, iaitu kanak-kanak yang dijadikan tebusan itu.

Walaupun nampak tenang tetapi naluri kebapaan yang terbit dari hati kecilnya memaksa dia mengalirkan air mata sebelum dia sudi menceritakan kejadian yang mencemaskan itu.

“Saya sebenarnya memakai kaki palsu sebelah kanan selepas ia kudung beberapa lama dulu. Saya tidak mampu untuk melawan penculik yang memasuki rumah dan menjadikan Fifi sebagai tebusan.

“Ketika itu kami sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum lelaki itu menerjah masuk. Dia kemudian mengambil pisau di dapur lalu mengacukannya ke leher anak sulung daripada dua beradik itu,” ceritanya.