Tiada Sebab Penjawat Awam Tukar Kerajaan – Cuepacs – mStar


Tiada Sebab Penjawat Awam Tukar Kerajaan – Cuepacs

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Penjawat awam tidak mempunyai sebab untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pertukaran itu belum mampu menjanjikan kemajuan dan kestabilan negara, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.

Omar berkata hampir kesemua tuntutan mereka telah ditunaikan sekaligus membuktikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa peka dan dekat dengan penjawat awam.

“Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa.

“Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh Cuepacs kerajaan tolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Cuepacs bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Cidb di Cheras pada Khamis.

Menurutnya, sokongan hampir 1.4 juta orang penjawat awam dan 500 ribu pesara sentiasa tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib dan yakin perkara tersebut akan diterjemahkan di peti undi dalam Pilihan Raya 2013 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Saya yakin 1.4 juta penjawat awam bersama dengan hampir 500 ribu pesara Cuepacs akan sentiasa menyokong kerajaan sedia ada.

“Penjawat awam dan Cuepacs adalah tiang seri kepada kerajaan dan yakinlah sokongan mereka akan sentiasa utuh kepada kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga berucap semasa perhimpunan tersebut menggesa penjawat awam supaya memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan.

Beliau berkata kumpulan tersebut juga bertanggungjawab dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan kepada masyarakat serta kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan negara.

“Penjawat sektor awam adalah imej kerajaan, jadi mereka haruslah memainkan peranan yang penting dan berkesan terutamanya dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan,” katanya.

Guru mahu terlibat politik disaran letak jawatan – Bernama


Guru mahu terlibat politik disaran letak jawatan

5 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Guru yang mahu aktif dalam politik  disaran meletak jawatan bagi mengelak fokus mereka terganggu sewaktu sesi pembelajaran, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Zakariav Husin.

Beliau berkata JPNT tidak pernah menghalang mana-mana guru yang mahu meletak jawatan kerana berhasrat menceburi politik secara serius kerana tindakan itu lebih sesuai untuk kepentingan pelajar dan sektor pendidikan negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, secara umumnya di Terengganu tidak ramai guru yang mahu aktif dalam politik dan kalau ada pun sekadar memegang jawatan biasa di
peringkat cawangan.

“Sehingga kini, JPNT ada menerima kurang 10 permohonan rasmi daripada guru yang meminta kebenaran untuk memegang jawatan dalam parti politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Refleksi Pendidikan bersama 500 guru di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua guru di Terengganu agar sentiasa menyokong dasar kerajaan dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tidak sesuai jika kita sebagai penjawat awam tetapi menyokong pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan apa sahaja usaha dilakukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata JPNT turut memantau prestasi semua guru di negeri ini agar mereka sentiasa memberi khidmat terbaik demi memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata Terengganu menerima 20 guru Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) pada tahun ini berbanding 17 pada tahun lalu
yang diharap mampu meningkatkan penguasaan bahasa utama dunia itu di kalangan pelajar di negeri ini.

Namun, kataya, jumlah itu masih belum mencukupi dan kerajaan negeri akan mencari guru ETA dari negara lain selain Amerika, mungkin dari Australia. – Bernama

Politik di luar sekolah – Metro


Politik di luar sekolah

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: “Tak salah guru nak berpolitik, tetapi biar ia dilakukan di luar waktu sekolah,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya sebahagian besar guru menyokong pembangkang.

Beliau berkata, guru jangan terlalu asyik berpolitik sehingga anak didik di sekolah terabai dan menjadi mangsa taksub guru berkenaan.
Menurutnya, walaupun tiada halangan untuk mereka bergiat aktif dalam bidang berkenaan, ada beberapa garis panduan dan ketetapan perlu dipatuhi bukan saja sebagai pendidik, tetapi lebih besar sebagai penjawat awam.

 

“Kerajaan tidak menghalang, malah membenarkan mana-mana guru terutama yang berijazah bukan saja untuk bergiat aktif, tetapi turut dibolehkan memegang jawatan dalam politik.
“Namun, dua tanggungjawab terbabit tidak boleh dicampur aduk. Ini bermakna setiap urusan berkaitan politik perlu dipastikan tidak dibawa ke kawasan sekolah kerana khuatir ia menjejaskan keutamaan terhadap kualiti pendidikan,” katanya selepas ditemui sempena Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Ke-18 dan Persidangan Perwakilan Kakitangan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ke-30, di sini, semalam.
Pada majlis konvensyen tahunan bertemakan ‘Guru Besar Inovatif’ itu, ia dihadiri 417 guru besar dan pengetua daripada seluruh negara. Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Dun Kasa.

 

 

Mohd Puad berkata, tiada sebab individu berkenaan perlu berpolitik di sekolah sehingga menyebabkan pelajar menjadi mangsa dan lebih penting, guru perlu faham dasar kerajaan terutama kedudukan mereka sebagai penjawat awam.
Katanya, beliau yakin guru hari ini matang dan diharap pembabitan guru berkenaan dalam politik tidak mewujudkan suasana perpecahan terutama di kalangan warga pendidik dan pelajar di sekolah.