Dasar pendidikan negara akan terus dipertahan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani plak pada majlis perasmian Kolej Komuniti Seberang Jaya di Permatang Pauh. – Foto Bernama
BUTTERWORTH – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan berganjak daripada mempertahankan Dasar Pendidikan Negara selagi masyarakat perlu kepada kemudahan pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri berkata komitmen berterusan kerajaan sejak dari dulu itu adalah semata-mata untuk memastikan setiap warga Malaysia tidak terlepas daripada memperoleh peluang untuk terdidik dengan ilmu pengetahuan yang berguna.
Menteri Pelajaran itu berkata dalam arus dunia yang makin mencabar, kerajaan sedar tidak ada yang lebih tinggi untuk seseorang itu dihormati selain ketinggian ilmu pengetahuan yang diperoleh.
“Maka, sejak dahulu lagi kita dapat lihat setiap perdana menteri memberi tumpuan khusus pada bidang pendidikan, tujuannya adalah untuk meningkatkan darjat rakyat denganĀ membekalkan ilmu pengetahuan kepada mereka tanpa meminggirkan mana-mana kaum.
“Komitmen kerajaan BN menyediakan segala keperluan supaya setiap warga menjadi anak-anak yang terdidik dengan ilmu pengetahuan perlu dihargai kerana kita sedar tuntutan kepada masyarakat berilmu adalah lebih hebat di masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Murni, Sungai Dua di sini hari ini.
Hadir sama isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow.
Timbalan Perdana Menteri berkata sedar negara kini berada di ambang pembangunan luar biasa dan akan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi tujuh tahun lagi, kerajaan BN memperuntukkan RM36 bilion kepada sektor pendidkan sebagai usaha menyediakan modal insan yang cemerlang bagi memenuhi tuntutan sebuah negara maju.
Katanya lebih 10,000 sekolah juga telah dibina dengan keupayaan menampung 5.4 juta pelajar, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada 465,000 guru yang sedang berkhidmat di seluruh negara ketika ini.
“Jadi, dalam tempoh untuk sampai ke tahun 2020 dan bagi memastikan usaha serta agenda yang dirancang dan sedang dilaksanakan berjalan lancar kita perlu mempertahankan kerajaan sedia ada,” katanya dan disambut laungan kerajaan BN oleh tetamu yang memenuhi tiga khemah panjang yang disediakan.
Muhyiddin berkata dalam usaha memenuhi seluruh kehendak masyarakat, termasuk di Sabah dan Sarawak tentu ada sedikit kelemahan di pihak kerajaan tetapi ia telah ditampung dengan pelbagai manfaat yang diperoleh serta dinikmati rakyat kini.
Beliau berkata aspek pendidikan yang baik, keamanan terjaga dan keharmonian kaum yang terbela di bawah kerajaan BN tidak harus diganti dengan mencuba sesuatu yang baharu yang belum tentu sepertimana yang diinginkan.
“Bila semua sudah baik dan berjalan lancar, kenapa perlu ditukar, kita juga dapat lihat gelombang biru berada di mana-mana di Pulau Pinang dan arus itu dijangka terus meningkat dan yakin akan terus memuncak pada (hari pengundian) 5 Mei depan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan pembangunan dan infrastruktur SMK Desa Murni adalah amatĀ luar biasa yang perlu dilihat penduduk setempat sebagai sumbangan besar kerajaan pusat kepada mereka.
Dibina dengan kos RM18.2 juta pada pertengahan tahun 2007, SMK Desa Murni yang terletak kira-kira 10km dari bandar Kepala Batas merupakan antara bangunan sekolah yang tertinggi di negara ini.
Mula beroperasi pada Ogos 2010, sekolah itu mempunyai satu blok sembilan tingkat, satu blok tujuh tingkat dan satu blok tiga tingkat yang dilengkapi kemudahan lif. – Bernama