Resolusi mantapkan sistem pendidikan negara – Bernama


Resolusi mantapkan sistem pendidikan negara
21 Ogos 2013
  • Abu Shah
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bersikap tegas dalam mempertimbangkan desakan dan tuntutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak tertentu yang menyentuh sistem pendidikan negara, menurut seorang tokoh akademik.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata ini penting bagi memastikan permintaan berkenaan adalah selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan mematuhi Akta Pendidikan 1996.

Langkah ini perlu demi kepentingan negara, perpaduan kaum dan masa depan generasi akan datang, kata beliau yang mempengerusikan bengkel prakongres perdana pendidikan kebangsaan bertajuk ‘Sistem Pendidikan Berkesan Pembina Peradaban dan Nilai Budaya’ di sini hari ini.

Bengkel berkenaan merumuskan tujuh resolusi, yang akan dibentangkan pada Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan, 27 Ogos ini.

Resolusi yang digariskan antaranya adalah melihat kepada objektif pendidikan, menyokong penuh Pelan Pembangunan Pendidikan, menolak desakan yang tidak menyokong Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 serta penekanan kepada standard nasional, peranan guru dan memperkasa sekolah kebangsaan.

Menjelaskan lanjut resolusi berkenaan, Ibrahim berkata dasar pendidikan negara mesti melihat kembali kepada matlamat utama iaitu membentuk perpaduan kaum bermula di peringkat sekolah.

Mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan, penambahbaikan perlu dilakukan dan beberapa kelemahan perlu diteliti serta diperbetulkan di samping melakukan pemantauan terhadap sistem pendidikan, katanya.

“Mesti ada satu jentera pelaksanaan yang mantap untuk pastikan pelaksanaan dijalankan dengan sesungguhnya tanpa mengingkari Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Ibrahim berkata dalam memartabatkan sistem pendidikan negara, kerajaan tidak boleh sentiasa bertolak-ansur dengan pihak tertentu kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Katanya kerajaan juga tidak perlu terlalu mengikut standard pendidikan antarabangsa kerana di peringkat nasional, negara mempunyai acuan tersendiri bagi menyelesaikan masalah dalam pembangunan pendidikan negara.

Kerajaan perlu memperkasa sekolah kebangsaan supaya ia lebih menarik minat semua kaum demi mencapai matlamat pendidikan negara untuk membentuk perpaduan di peringkat akar umbi, katanya. – Bernama

Manfaatkan Hari Terbuka Kementerian Pelajaran – Bernama


Manfaatkan Hari Terbuka Kementerian Pelajaran

5 Oktober 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi

MARAN – Masyarakat diminta memanfaatkan sepenuhnya Hari Terbuka Kementerian Pelajaran yang akan dianjur mengikut zon bulan ini untuk memberi pandangan berhubung sistem  pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd PuadZarkashi berkata kementerian itu akan menggunakan forum tersebut untuk mengumpul input Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 sebelum dibentang ke Kabinet pada Disember ini.

“Kita memberi ruang kepada rakyat, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan lain termasuk parti pembangkang untuk beri pandangan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Anak Yatim Sekolah Menengah dan Rendah Daerah Maran, di sini hari ini.

Katanya dasar pendidikan negara memerlukan transformasi kerana keupayaan dan kebolehan daya berfikir pelajar masih lemah dan jauh ketinggalan berbanding negara lain di rantau Asia.

Berdasarkan keupayaan pelajar negara ini menjawab soalan tidak berkaitan peperiksaan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa baru-baru ini, Malaysia menduduki tangga ke-55 dari 77 negara yang mengambil bahagian, katanya.

Malah kata Puad, kedudukan negara jauh ketinggalan berbanding pelajar China, Hong Kong dan Singapura.

Beliau berkata keupayaan berfikir pelajar di negara ini dikategori lemah kerana sistem pendidikan lebih ke arah peperiksaan. – Bernama