PPPM rangka kerja majukan pendidikan – Metro


PPPM rangka kerja majukan pendidikan

 0  1 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah rangka kerja menyeluruh kerajaan dalam usaha memajukan sistem pendidikan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Beliau yang menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyifatkan segala inisiatif digariskan PPPM tidak mengetepikan mana-mana pihak, sebaliknya ia dihasilkan menerusi cadangan rakyat Malaysia sendiri.
“Seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara ini dan ia secara jelas meletakkannya sebagai bahasa pengantara di sekolah. “Ini juga secara tidak langsung menjadikan bahasa Malaysia sebagai keutamaan dalam sistem pendidikan.

 

“Bagaimanapun, tidak pula kerajaan mengabaikan pembelajaran bahasa lain apabila bantuan terus disalurkan khususnya kepada sekolah vernakular yang menjadikan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tentangan segelintir pihak terhadap pelaksanaan PPPM yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada kumpulan tertentu dan sukar diikuti.
Sementara itu, Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil Jabatan Perdana Menteri merangkap Panel Penilai Bebas PPPM, Prof Dr N S Rajendran berkata, dasar pendidikan sedia ada tidak pun diusik dalam penggubalan PPPM malah diterima sejak sekian lama justeru isu PPPM tidak memberi manfaat kepada golongan tertentu tidak sepatutnya timbul.

 

Menurutnya, semua pihak harus memberi peluang kepada kerajaan melaksanakan PPPM kerana pelan itu juga dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Sebelum PPPM dimuktamadkan, kerajaan mengambil kira pandangan 10,000 rakyat untuk dipertimbangkan. Ahli panel PPPM juga diwakili semua kaum.

 

“Menerusi laporan penilaian tahunan yang dijanji kerajaan dikongsi bersama mengenai dapatan pelaksanaan, kita masih ada peluang untuk melakukan penambahbaikan secara bersama dan mengiringi usaha menaikkan industri pendidikan Malaysia ke tahap lebih membanggakan,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan kenyataan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh yang menegaskan terus menerajui pelaksanaan PPPM biarpun mendapat tentangan serta berkemungkinan dikenakan tindakan undang-undang oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong).
Presiden Dong Zong, Yan Sin Tian, pada 2 September lalu menyatakan tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/12

‘Depoliticise’ pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia: Najib – Bernama


‘Depoliticise’ pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia: Najib

11/09/2012 – 13:54:00 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata pemimpin semua peringkat perlu berani ‘depoliticise’ (mengetepikan politik dari) bidang pendidikan dan membuat keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk tujuan populis.

Perdana Menteri berkata perkiraan pendidikan adalah perkiraan nasional dan bukannya partisan kerana ia bermatlamat memastikan setiap anak Malaysia mampu merealisasikan potensi kurniaan Tuhan yang dimiliki mereka.

Katanya sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia sentiasa menangani isu pendidikan sebagai isu langkau politik dengan terus memperuntukkan jumlah yang signifikan untuk sektor itu dalam bajet negara, termasuk pada 2012 yang memperuntukkan RM37 bilion.

“Iltizam kewangan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat komited bagi menjadikan pendidikan sebagai suatu bidang keutamaan negara.

“Kita bukan sahaja melihat dari segi kuantitatif tetapi juga kualitatif, serta pastikan setiap ringgit duit pembayar cukai digunakan sebaik mungkin agar negara dan rakyat mendapat ‘value for money’,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Najib berkata, era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir, dan kini sedar bahawa harapan masyarakat terhadap keberkesanan dasar pendidikan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi menghadapai cabaran abad ke-21 semakin meningkat.

“Masyarakat sekarang lebih peka dengan pembangunan yang melanda sekitar dunia. Jangkaan mereka terhadap pendidikan adalah tinggi, mereka mengharapkan pulangan yang menguntungkan iaitu dengan anak-anak mereka menjadi seorang yang berguna,” katanya.
Najib berkata harapan kerajaan ialah setiap anak-anak di negara ini mempunyai akses yang sama dalam pendidikan yang berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

“Kerajaan akan berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik untuk setiap rakyat. Inilah tanggungjawab kita. Setiap dekad kemerdekaan menyaksikan cabaran pendidikan yang bersifat bitara.

“Sebagai sebuah negara, kita telah berjaya menangani cabaran pendidikan yang dihadapi, era awal kemerdekaan telah menyaksikan bagaimana kita menangani masalah buta huruf, diikuti cara kita menangani era ekonomi berasaskan pertanian dan kemudiannya perindustrian,” katanya. – BERNAMA

PERUBAHAN TEMPAT BICARA PROFESIONAL KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BIL.4 TAHUN 2012


PERUBAHAN TEMPAT BICARA PROFESIONAL KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA BIL.4 TAHUN 2012

Dengan segala hormatnya surat Bahagian Pendidikan Guru KPM(BPG)9097/7/1/2 Jld.3(57) bertarikh 9 Mei 2012adalah dirujuk. Program yang dicadangkan di Bilik Seminar Aras 2, Blok E8, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan telah dipindahkan seperti ketetapan di bawah :

Tarikh    : 25 Mei 2012 (Jumaat)
Masa     : 9.00 pagi hingga 11.00 pagi ( 8.45 pagi – pendaftaran )
Tempat : Bilik Seminar, Aras 5, Blok E13,
Bahagian Pendidikan Guru,
Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya.

Masyarakat Cina desak Kerajaan Negeri lulus sekolah persendirian – Sinar Harian


Masyarakat Cina desak Kerajaan Negeri lulus sekolah persendirian

ASWANY OMAR
21 Mei 2012
Masyarakat Cina desak Kerajaan Negeri lulus sekolah persendirian
Peserta perhimpunan menandatangani poster menuntut pembinaan sekolah menengah persendirian Cina.

KUANTAN – Perhimpunan aman masyarakat Cina di Padang Kemunting, semalam, bertujuan mengumpul 5,000 tandatangan bagi memohon Kerajaan Negeri meluluskan sebuah sekolah menengah persendirian Cina di Pahang.

Perhimpunan kira-kira dua jam anjuran Gabungan Dong Lian Pahang itu turut disokong MCA dan Gerakan.

Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah-sekolah Cina Pahang, Lim Chin Chee berkata, ibu bapa melihat sekolah itu satu keperluan untuk pendidikan anak mereka.

Menurutnya, hasrat menubuhkan sekolah menengah persendirian Cina itu disokong rakyat seluruh negara kerana pengajarannya mementingkan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

“Justeru, sekolah itu turut menggalakkan bangsa lain mendapat pendidikan di situ jika ia menjadi kenyataan.

“Kita suda membuat permohonan sejak lebih 20 tahun lalu, tetapi sehingga kini belum dapat kebenaran kerajaan, sedangkan tidak ada akta yang melarang penubuhan sekolah menengah persendirian,” katanya ketika berucap pada perhimpunan itu di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Gong Seong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye dan Ketua MCA Bahagian Kuantan, Datuk Ti Lian Ker.

Chin Chee berkata, dasar pendidikan negara harus dikaji semula supaya ia boleh dipelbagaikan.

Seperti contoh katanya, membenarkan penubuhan lebih banyak sekolah pilihan kepada rakyat untuk memilih pendidikan paling sesuai.

“Hanya Pahang yang tidak ada sekolah persendirian sedangkan sebanyak 60 sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara dibina setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Semambum, Pang Tsu Ming tidak mahu perkara itu dipolitikkan pihak tertentu.

Beliau berkata, MCA sentiasa menyokong masyarakat Cina meningkatkan pendidikan melalui pelbagai cara.

“Secara peribadi, kita menyokong penubuhan sekolah menengah persendirian Cina ini kerana mampu membantu meningkatkan pendidikan negara jika mendapat kelulusan kerajaan,” katanya.

Guru setuju – Metro


Guru setuju

Oleh NORDIANA SHAFIEE
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Sejak Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) dilancarkan 29 April lalu oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, ia mula mendapat respons positif masyarakat, khususnya golongan pendidik yang menyambut baik usaha kerajaan mendapatkan idea melalui sesi dialog dan persidangan meja bulat bertujuan membaiki sistem pendidikan negara.

Kini, Siri Jelajah Kajian Semula Pendidikan bergerak ke seluruh negara sejak awal bulan ini bermula di Putrajaya dan destinasi ketiganya ialah di Kedah yang diadakan di Dewan Konvokesyen Universiti al Bukhory, di sini, semalam, dan dijangka berakhir di Johor pada 14 Julai depan.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seberang Nyonya, di sini, Wan Ahmad Wan Dan, 57, berkata sesi dialog itu sangat relevan kerana memberi peluang kepada semua pihak, terutama waris, menyuarakan pendapat dan idea demi masa depan pendidikan negara.

 

Menurutnya, institusi pendidikan sentiasa berkembang mengikut perubahan semasa dan dasar pendidikan yang digubal sebelum ini juga sewajarnya dikaji semula berdasarkan keadaan itu.
Katanya, sesi dialog berkenaan dilihat menjadi kaedah sangat berkesan dan baik untuk mendapatkan maklumat daripada peringkat akar umbi.
“Waris juga tidak ketinggalan untuk terbabit dalam program ini apabila pendapat mereka turut diambil kira demi masa depan anak.

 

 

“Justeru, saya menyokong usaha mengubah corak pendidikan sedia ada kepada yang lebih baik untuk melahirkan pelajar berdaya saing dan berupaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.
“Langkah ini juga sangat telus, selaras dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengamalkan slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’,” katanya ketika ditemui di Majlis DNPN di sini.

 

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Kuala, Samsor Shahdan, 45, berkata program itu wajar mendapat sokongan semua pihak untuk menambah baik sistem pendidikan negara.
Beliau yang mengajar subjek Biologi berkata, sesi dialog itu satu usaha kerajaan yang inginkan sistem pendidikan negara mampu mencapai taraf antarabangsa dan dilihat meliputi sembilan aspek yang sangat sesuai, selaras dengan cabaran dihadapi dalam dunia pendidikan sekarang.
Sementara itu, Pengurus Projek Pejabat Pengurusan Projek Pencapaian dan Hala Tuju Pendidikan Kementerian Pelajaran, Dr Habibah Abd Rahim berkata, sembilan bidang keutamaan dibincangkan dalam DNPN.
Bidang itu ialah guru, kepemimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, kemahiran pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kecekapan dan keberkesanan sumber kementerian serta kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian kementerian.
Menurutnya, sesi dialog itu platform untuk perkongsian idea dan pandangan membabitkan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada KPM menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.
Katanya, matlamat DNPN adalah memberi peluang kepada rakyat menyuarakan pandangan ke arah transformasi pendidikan, selain membina kesedaran mengenai perancangan kementarian untuk membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.
“Dalam siri jelajah hari ini (semalam), 700 peserta membabitkan golongan pendidik dan waris diberi peluang meluahkan masalah dihadapi dalam institusi pendidikan sekarang.
“Input diterima akan menjadi asas pelan induk pendidikan untuk peningkatan sistem pendidikan Malaysia bagi jangka masa panjang iaitu untuk 15 tahun akan datang,” katanya.
Dr Habibah berkata, kerajaan serius untuk memperkasakan sistem pendidikan di negara ini supaya membolehkan pelajar bersaing di peringkat global dan mahu menyediakan pelajar untuk abad ke-21 dan mencapai tahap global pada masa akan datang.
Menurutnya, selain sesi jelajah yang diadakan di seluruh negara, orang ramai boleh menyampaikan pendapat menerusi http://www.edureview.my.

Tambah baik pendidikan ikut situasi global – Muhyiddin – Utusan


Tambah baik pendidikan ikut situasi global – Muhyiddin

ALOR GAJAH 11 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha kerajaan untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara bukan ingin menafikan dasar pendidikan yang telah dilaksanakan sejak berpuluh tahun lamanya.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian itu perlu dilakukan disebabkan situasi global semakin kompetitif yang memerlukan satu sistem pendidikan yang lebih menjamin masa depan.

”Kita percaya ada keperluan untuk kita melihat semula sistem pendidikan negara, apa yang dilakukan selama ini dan bagaimana hendak kita tentukan penambahbaikan.

”Usaha ini amat penting kerana dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang kita dapat menggunakan sistem pendidikan yang boleh melahirkan modal insan yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Golf Amal 1Malaysia anjuran Alumni dan PIBG Sekolah Tinggi Muar di Kelab Golf A’Famosa Resort di sini hari ini.

Elak generasi buta huruf – Metro


Elak generasi buta huruf

Oleh Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seramai 43,973 kanak-kanak tanpa dokumen pada 2009 yang berusia antara 7 dan 17 tahun tercicir daripada mendapat pendidikan di negara ini.

Pegawai Penilaian Pemantauan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Nur Anuar Abdul Muthalib berkata, jumlah itu berdasarkan kajian dijalankan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Walaupun belum ada kajian terperinci dilakukan, Nur Anuar menganggarkan antara 3 dan 4 peratus atau lebih kurang 150,000 daripada 5 juta remaja di negara ini tidak bersekolah.

 

“Isu kanak-kanak tercicir daripada pelajaran ini terjadi hampir di seluruh negara dan kebanyakan daripadanya berlaku di Sabah.
“Apa yang menjadi masalah di Sabah cukup unik kerana ia berlaku disebabkan kemasukan pelarian perang dari Moro, Filipina pada 1974 dan mereka menetap lebih 35 tahun di sana.
“Dengan memegang kad IMM13, mereka dibenar tinggal dan bekerja di Sabah, tetapi tidak boleh mendapat pendidikan di sekolah kerajaan,” katanya kepada Harian Metro (HM).

 

 

Akhbar ini dalam laporan tiga hari sejak Ahad lalu dalam ruangan Wajah Kehidupan mendedahkan mengenai masalah dihadapi kanak-kanak di beberapa kawasan di Sabah.
Kanak-kanak berkenaan terbiar dan tidak bersekolah kerana pelbagai faktor antaranya bapa yang berkahwin kemudian meninggalkan isteri dan anak sebelum berpindah ke tempat lain dan berkahwin lagi dengan membiarkan anak begitu saja.

 

Menurut Nur Anuar, disebabkan terlalu lama tinggal di Sabah serta mahir berbahasa Melayu, sebahagian pelarian ini akhirnya diberikan status kerakyatan dan diiktiraf sebagai penduduk tetap seterusnya diterima sebagai rakyat di negara ini.
“Ini menunjukkan ada sebahagian daripada mereka berpeluang diberikan status kerakyatan mengikut syarat dan prosedur ditetapkan.
“Bayangkan pula jika kanak-kanak golongan ini yang buta huruf akibat tidak pernah mendapat pendidikan ketika usia muda, 30 tahun kemudian, mereka diterima sebagai rakyat tempatan, pasti ia menjadi satu beban kepada negara.
“Ia akan menyumbang kepada peningkatan peratusan buta huruf dan taraf hidup masyarakat yang rendah selain masalah sosial,” katanya.
Malah, menurutnya, disebabkan kesempitan hidup dan buta huruf, kanak-kanak itu juga mudah dieksploitasi pihak tertentu termasuk terdedah kepada bahaya, keganasan, pelacuran dan sebagainya.
Unicef menganggap setiap kanak-kanak di negara ini berhak mendapatkan pendidikan tanpa mengira status kerakyatan.
“Bagi mengurangkan kesan keciciran pendidikan, Unicef mengambil inisiatif membina sebuah sekolah khusus untuk kanak-kanak ini di Kampung Numbak, sebuah perkampungan atas air yang didiami golongan terbabit di Kota Kinabalu,” katanya.
Pembukaan sekolah pada Januari tahun lalu itu membolehkan 300 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun yang tidak memiliki dokumen serta keciciran pelajaran mendapat pendidikan.
Tambah Nur Anuar, projek yang mendapat kerjasama KPM dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah) mendapat sambutan 600 penduduk di kampung berkenaan.
“Pada awal pembukaan sekolah itu, dianggarkan hampir 90 peratus kanak-kanak terbabit tidak tahu membaca dan menulis. Bagaimanapun selepas 6 bulan, separuh daripada mereka sudah boleh membaca dan menulis.
“Berdasarkan sambutan termasuk kerjasama membina sekolah daripada penduduk di Kampung Numbak jelas menunjukkan mereka sebenarnya inginkan pendidikan, tetapi tidak berpeluang mendapatkannya disebabkan ketiadaan dokumen diri,” katanya.