Jadikan 2013 sebagai tahun senyum: CUEPACS – Bernama


Jadikan 2013 sebagai tahun senyum: CUEPACS

2013/02/15 – 11:13:05 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan penjawat awam menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang penuh dengan senyuman.

Presidennya, Datuk Omar Osman membuat saranan itu kerana mendapati budaya senyum masih kurang diamalkan dalam kalangan penjawat awam terutama semasa melayani pelanggan.

“Sudah banyak kempen senyum ini diadakan di mana-mana tempat namun kesedaran menerapkan budaya senyum ini masih rendah terutamanya semasa dalam situasi melayan pelanggan.

“Kalau boleh pagi-pagi datang kerja jangan bawa masalah peribadi datang ke pejabat. Sebagai pekerja berkaliber kita mesti tunjukkan semangat dengan penuh keceriaan. Kita kena fikir semua orang ada masalah dan kalau kita bawa ‘mood’ ceria ke tempat kerja, produktiviti kerja pun meningkat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan harus memberikan penekanan kepada isu berkenaan dalam setiap mesyuarat supaya budaya itu dirasakan menjadi satu tanggungjawab kepada setiap kakitangan.

“Memang kita akui setiap jabatan mempunyai piagamnya tersendiri dan kandungan piagamnya ada yang menyatakan budaya ini namun pelaksanaannya tidak begitu rancak di kalangan kakitangan.

“Malah ada sesetengah kakitangan diwajibkan memakai tag lambang senyum di uniform mereka tetapi apabila lambang senyum itu sekadar dijadikan hiasan ia dilihat sebagai simbol semata-mata,” katanya.
Omar berkata, beliau pernah menerima beberapa aduan berkenaan sikap atau layanan sesetengah kakitangan kerajaan yang tidak memuaskan semasa mendapatkan perkhidmatan.

“Apabila mendapat aduan seperti itu saya rasa tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan dan pada pendapat saya kalau pekerjaan yang memerlukan kakitangan untuk berada di kaunter perlu diberikan kepada orang muda atau yang belum berkahwin kerana mereka mungkin tidak banyak masalah kekeluargaan lagi,” katanya.

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan juga boleh mengundang CUEPACS untuk memberi taklimat berkenaan budaya berkenaan kepada kakitangan masing-masing.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati orang ramai mempunyai pendapat tersendiri berhubung budaya senyum.

Seorang pelajar, Razlina Ahmat, 24, berkata beliau amat kecewa kerana masih ramai memandang remeh budaya senyum.

“Banyak saya lihat iklan mengamalkan budaya senyum di merata-rata tempat tetapi kebanyakan iklan hanya menjadi bahan bacaan semata-mata. Tidak salah jika kita senyum pada orang lain kerana bukan sahaja nampak manis malah akan mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Pekerja swasta, Ismadi Adnan, 26, berpendapat seseorang profesional seharusnya tidak membawa masalah di rumah ke tempat kerja.

“Saya akui semua orang mempunyai masalah tersendiri namun sebagai seorang yang profesional mereka mestilah pandai membezakan antara masalah peribadi dan tempat kerja,” katanya. – BERNAMA

Ali Rustam: Jangan biar anak tidak belajar di rumah – Bernama


Ali Rustam: Jangan biar anak tidak belajar di rumah

2 Januari 2013

MELAKA – Ibu bapa perlu proaktif memantau pembelajaran anak semasa di rumah jika mahu mereka menjadi seorang yang berjaya pada masa hadapan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau menasihati ibu bapa tidak membiarkan guru sahaja mendidik anak, sebaliknya mereka perlu sokong dan datang ke sekolah untuk libatkan diri dalam kegiatan seperti sukaneka atau aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

“Bila anak-anak habis sekolah kena tanya apa dia belajar di sekolah, kena ‘check’ kerja sekolah dia, jangan biar sahaja anak kita main sahaja tak belajar di rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kira-kira sejam di Sekolah Kebangsaan Datuk Demang Hussin, Bukit Katil di sini bagi meninjau sesi baharu persekolahan di sekolah itu.

Kira-kira 200 pelajar tahun satu memulakan persekolahan mereka di sekolah itu hari ini. – Bernama

Baling sabit elak kena rogol – Kosmo


Baling sabit elak kena rogol

 

Oleh AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

 

NADIA menunjukkan parang yang ditinggalkan perompak ketika memecah masuk rumah neneknya di Teluk Intan Sabtu lalu.

 

TELUK INTAN – Tindakan berani seorang gadis melawan seorang perompak dengan membaling sabit ke arah suspek bukan sahaja dapat menyelamatkan maruahnya daripada dinodai malah berjaya membuatkan lelaki itu bertempiaran lari.

Kejadian pukul 7.30 malam di di sini pada Sabtu lalu berlaku ketika gadis yang dikenali sebagai Nadia, 14, didatangi perompak bersenjatakan parang panjang ketika berada di dalam rumah bersama neneknya.

Mengimbau semula kejadian itu, Nadia memberitahu, sebelum kejadian, neneknya sedang membaca surah Yasin selepas mengerjakan solat Maghrib di ruang tamu manakala dia berada di dalam bilik.

Ahli keluarganya yang lain keluar ke bandar Teluk Intan untuk membeli barangan keperluan.

Siti Nadia bersekolah di Selangor dan datang ke sini kerana cuti sekolah.

“Tiba-tiba saya terdengar nenek menjerit meminta tolong. Sebaik keluar, saya ternampak seorang lelaki sedang mengacu parang ke arah nenek.

“Penjenayah kemudiannya meminta saya menanggalkan pakaian dan kata mahu rogol saya jika nenek enggan menyerahkan gelang dan cincin emas yang dipakai,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1205&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2E8L2BtC5
Hakcipta terpelihara

Pelajar tingkatan 4 jadi penagih – Sinar Harian


Pelajar tingkatan 4 jadi penagih

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 November 2012
dadah
Remaja 16 tahun yang baru disingkirkan dari persekolahan ditahan polis kerana dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

PULAU SERAI – Tiga remaja belasan tahun termasuk seorang daripadanya pelajar sekolah menengah ditahan polis dekat sini, petang kelmarin kerana dipercayai terlibat penyalahgunaan dadah.

Tembelang tiga remaja ini terbongkar setelah mereka datang ke satu port berdekatan sebuah bangunan kedai untuk mendapatkan bekalan dadah daripada pengedar.

Bagaimanapun, tindakan mereka akhirnya memakan diri sendiri apabila kedatangan mereka sudah ditunggu pihak polis yang memasang perangkap selepas menahan seorang rakannya yang dipercayai menjadi pembekal utama dadah tersebut.

Suspek, masing-masing berasal dari Sura Jetty dan Kampung Bemban itu difahamkan baru beberapa bulan terlibat dengan dadah jenis pil kuda dan mereka dikatakan mendapat bekalan bahan larangan itu daripada seorang pelajar sekolah menengah yang menjadi pengedar kecil-kecilan.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek termasuk salah seorang daripadanya yang mengaku anak pesara kerajaan berpakaian seragam didapati positif dadah jenis methampethamine.

Remaja yang bersekolah di tingkatan empat, di salah sebuah sekolah menengah di daerah ini juga turut disahkan positif dadah jenis methapethamine dan dia dipercayai mendapat bekalan dadah berkenaan dengan harga RM25-RM30 sebiji bagi tujuan melepaskan gian.

Tak sempat hadiri temuduga – Sinar Harian


Tak sempat hadiri temuduga

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Oktober 2012
Mayat mangsa dibawa ke HT untuk bedah siasat. Gambar kecil: Shahideen.
Mayat mangsa dibawa ke HT untuk bedah siasat. Gambar kecil: Shahideen.

REMBAU – Hasrat seorang remaja untuk menghadiri temuduga di salah sebuah stesen minyak di Jalan Utama Seremban-Tampin hari ini (semalam) hancur berkecai apabila terbabit dalam kemalangan maut di kilometer empat, Jalan Pedas-Kundur-Linggi, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi itu, mangsa, Wan Mohammad Shahideen Wan Majid, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave maut di tempat kejadian selepas merempuh seekor kerbau.

Manakala, rakan mangsa, Mohd Firdaus Azrizan, 17, yang menunggang motosikal Honda EX5 di belakangnya pula dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut bapa mangsa, Wan Majid Wan Musa, 49, ketika kejadian, dia yang sudah nyenyak tidur terperanjat apabila rakan anaknya datang ke rumah di Taman Pedas Perdana dan memaklumkan anaknya maut dalam kemalangan berhampiran taman
berkenaan.

“Saya dan isteri kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tidak menyangka pertemuan selepas Maghrib tadi (kelmarin) merupakan pertemuan terakhir kami dengan anak ketiga kami ini.

“Isteri saya sehingga kini masih bersedih dan sepatutnya hari ini (semalam) arwah menghadiri temuduga kerja pertamanya.

“Sebelum ini dia hanya mengikut saya bekerja dan menyimpan hasrat untuk membuka bengkel di rumah setelah habis mengikuti pelajaran di GiatMara Linggi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Bagi abang mangsa, Wan Shahrin Wan Majid, 22, adiknya itu memang seorang yang pendiam tetapi sangat ringan tulang sekiranya diminta untuk membantu sesiapa sahaja termasuk saudara-mara yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Malah, adik saya ini juga tidak kuat makan nasi dan mampu bertahan lebih dua hari dengan hanya makan roti sahaja.

Bagaimanapun, sebelum kejadian, rakan-rakannya yang turut sama makan di deretan kedai berhampiran Kolej Komuniti Rembau terperanjat apabila adik mampu menghabiskan dua pinggan nasi.

“Tidak sangka perubahan itu membawa petanda adik akan pergi selamanya meninggalkan kami semua.

Jenazah arwah akan dikebumikan di Kampung Semerbok iaitu kampung sebelah mak kami,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa dan rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas makan malam bersama rakan-rakan lain.

Sarapan terakhir – Metro


Sarapan terakhir

Laporan DJ DOLASOH
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LENGGONG: “Tiada perubahan pelik, sebaliknya saya terkejut apabila melihat dia menghabiskan tiga bungkus nasi lemak pagi semalam (kelmarin) biarpun sebelum ini jarang bersarapan pagi.

“Saya tidak menyangka perilaku itu menandakan arwah akan pergi buat selama-lamanya,” kata Noraini Abdul Kadir, 47, ibu kepada Mohd Aiman Izuddin Abd Raman, 12, yang lemas di Sungai Perak, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, Mohd Aiman bersama lima rakannya berusia antara lapan hingga 15 tahun mandi di sungai itu selepas solat Jumaat sebelum dihanyutkan arus deras.

 

Bagaimanapun, empat rakan mangsa menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing manakala seorang lagi, Mohd Izuddin Shuid, 11, sempat berpaut pada akar kayu di tebing sungai.
Mayat Mohd Aiman yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Temelong, di sini, ditemui terdampar di beting pasir di tengah-tengah Empangan Kenering berhampiran Kampung Pulau Cheri oleh seorang nelayan, jam 7 pagi semalam.
Anggota mencari dan penyelamat terpaksa menutup sementara empangan itu pagi semalam bagi memudahkan operasi mengesan mangsa.

 

 

Noraini yang ditemui semalam berkata, selepas selesai makan tengah hari kelmarin, arwah meminta izinnya untuk mandi di sungai bersama beberapa rakan.
Beliau berkata, dia dan suami, Abd Raman Adam, 62, tidak membenarkannya pergi kerana arwah tidak pandai berenang, selain keadaan arus sungai deras dan berbahaya sejak tiga hari lalu.

 

“Bagaimanapun, selang sejam kemudian, seorang penduduk datang ke rumah dan memaklumkan arwah lemas ketika mandi di sungai,” katanya.

Pelajar dibelasah senior – Sinar Harian


Pelajar dibelasah senior

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Pelajar dibelasah senior
Pandangan hadapan sekolah menengah yang dikesan berlakunya kes seorang pelajar tingkatan empat dibelasah lapan senior, malam Sabtu lalu.

TELOK AIR TAWAR – Gara-gara dikatakan bersikap kasar dan enggan mengikut arahan, seorang pelajar di sebuah sekolah asrama di sini, dibelasah sekumpulan senior sehingga hampir pengsan dan lebam seluruh badan, malam Sabtu lalu.

Pelajar tingkatan empat jurusan elektrik itu berkata, kejadian pada jam 10 malam itu bermula apabila dia enggan mengikut arahan beberapa pelajar senior yang mendiami asrama itu supaya lebih menghormati mereka.

“Saya sememangnya dikenali sebagai seorang pelajar yang tidak suka bercampur dengan pelajar lain melainkan dengan rakan rapat sahaja.

“Mungkin sikap saya itu tidak disenangi senior yang terdiri daripada pelajar tingkatan lima, termasuk kalangan mereka yang mendiami asrama menyebabkan saya ‘dibuli’ mereka,” katanya.

Menurut pelajar berkenaan, ketika tidur malam Jumaat lalu, dia didatangi lapan pelajar mengelilingi katilnya sebelum mereka bertindak membelasahnya.

Katanya, pada waktu itu, dia nekad mempertahankan diri dengan melawan balik, namun disebabkan bilangan mereka ramai, dia terpaksa menahan sakit apabila ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi.

“Akibat terkena pukulan di kepala dan pinggang, saya hampir pengsan dan mengalami kesakitan teramat, namun bernasib baik apabila rakan sebilik berjaya meleraikan mereka.

“Bimbang sesuatu lebih buruk, saya menghubungi ibu yang tinggal di Bertam, Kepala Batas memintanya datang ke sekolah dan membawa saya pulang,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, akibat kejadian berkenaan, beberapa bahagian badannya lebam dan mengalami kesakitan serta terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas.

“Saya bukan sahaja trauma dan sakit, tetapi juga tidak dapat hadir ke sekolah sejak semalam kerana bimbang keselamatan diri. Namun, hasil perbincangan dengan ahli keluarga, kami bersetuju tidak membuat laporan polis dan memanjangkan kes ini,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang dihubungi berkata, mereka sekeluarga enggan memanjangkan kes itu berikutan pelajar senior berkenaan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa terdekat.

“Kita tidak mahu menjejaskan persiapan mereka menduduki peperiksaan itu tetapi berharap kejadian ini tidak akan berulang lagi.

“Tambahan pula sebahagian besar daripada mereka menghubungi saya meminta maaf dan menyesali tindakan dilakukan terhadap anak saya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Seberang Perai Utara, Jamil Mohamed yang dihubungi mengakui kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana menyerahkan kepada pihak sekolah menanganinya, termasuk mengenakan hukuman setimpal jika pelajar senior terbabit didapati bersalah.

Pelajar cedera dipukul senior – Sinar Harian


Pelajar cedera dipukul senior

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 September 2012

REMBAU – Hanya kerana bergurau di dalam surau selepas solat isyak, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah berasrama di daerah ini mengalami kecederaan dipercayai dipukul dua senior tingkatan lima sekolah sama, malam Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dan rakannya juga berusia 13 tahun dipercayai dipanggil dua senior berkenaan untuk masuk ke bilik dorm bagi memilih untuk melakonkan watak bertumbuk atau ditumbuk.

Menurut sumber, sebaik sahaja diarahkan untuk memilih watak itu, mangsa dan rakannya sepakat memilih watak bertumbuk sebelum melakonkannya.

“Bagaimanapun, salah seorang senior berkenaan tidak berpuas hati lalu memukul mangsa sehingga cedera di bahagian mata sebelah kanan dan betis sebelah kanan.

“Manakala, seorang lagi senior memukul mangsa dengan menggunakan penyapu. Malah, mangsa juga diugut akan dibelasah sekiranya memberitahu pihak sekolah berhubung insiden berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sumber berkata, pada keesokan harinya iaitu kira-kira jam 11.30 pagi, warden sekolah berkenaan menghubungi bapa mangsa untuk menyatakan anaknya mengalami kecederaan dan lebam-lebam.

Menurutnya, bapa mangsa yang bergegas datang ke sekolah segera menanyakan anaknya perkara sebenar dan lama kelamaan, anaknya mengaku dirinya dipukul senior sekolah berkenaan.

“Malah, kejadian dipukul juga bukanlah kali pertama di mana sebelum ini dia pernah mengalami nasib sama tetapi tidak memberitahu bapanya, namun tidak ingat tarikh kejadian kali pertama itu berlaku.

“Bapa mangsa segera membawa mangsa ke hospital dan membuat laporan polis selepas pemeriksaan bagi tujuan keselamatan anaknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Demi nyawa ibu – Metro


Demi nyawa ibu

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
SIASAT…anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

IPOH: Demi menyelamatkan nyawa ibunya, seorang remaja lelaki menggadai nyawa apabila bergelut dengan bapa kandungnya sebelum ditembak dengan pistol sebanyak dua das oleh lelaki itu dalam kejadian petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang di Laluan Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat, di sini, mangsa, R Hariharen, 15, parah di kaki kirinya selepas ditembak dari dekat di pekarangan rumah mereka.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku selepas suspek yang berusia 40-an datang ke rumah yang didiami isteri dan empat anaknya itu dengan menaiki kereta.

Menurutnya, pasangan itu yang tidak lagi tinggal sebumbung bertengkar di hadapan rumah berkenaan dipercayai akibat perselisihan faham.

 

 

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12

Budak minta sedekah di bank – Sinar Harian


Budak minta sedekah di bank

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Kanak-kanak (dalam bulatan) ini meminta sedekah sehingga ke parkir kereta.
Kanak-kanak (dalam bulatan) ini meminta sedekah sehingga ke parkir kereta.

BAHAU – Tindakan empat kanak-kanak berumur antara 10 hingga 12 tahun yang berkeliaran sekitar kawasan sebuah perbankan di daerah ini sambil mengutip sedekah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat setempat.

Malah, difahamkan, kanak-kanak ini dipercayai turut memaksa mana-mana pelanggan bank berkenaan agar memberi wang sehingga mengekori mereka ke tempat parkir kereta.

Orang awam, Fauzi, 30-an berkata, dia sering melihat kanak-kanak itu pada waktu pagi dan petang.

“Mereka ini datang dalam waktu pejabat sekitar jam 9 pagi hingga 5 petang. Selagi mereka tidak dapat wang, mereka akan tunggu walaupun sekadar RM1.

“Keadaan ini sudah berlarutan hampir dua minggu dan tindakan mereka berkeliaran sekitar bank itu memang mengundang rasa tidak selesa,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kanak-kanak yang dimaksudkan itu ada datang ke bank itu kelmarin sebelum beredar  beberapa minit kemudian.

Namun hal itu tidak berlarutan begitu lama susulan ia dapat dihidu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah yang mendapat maklumat mengenai keluarga kanak-kanak berkenaan.

Pegawai JKM daerah, Mustafal Bakri Muhammad Yusof berkata, dia sudah menemui ibu dan nenek kanak-kanak itu kelmarin dekat kediamannya di sini.

Menurutnya, dua daripada empat kanak-kanak yang terlibat adalah anak mereka dan selebihnya anak rakan mereka.

“Namun, ibu kanak-kanak ini menjelaskan mereka tidak mengetahui anaknya meminta sedekah dan beranggapan anaknya itu ke sekolah.

“Bagaimanapun, isu itu dianggap selesai selepas kita meminta mereka memantau dan mengambil perhatian lebih mengenai kegiatan anak mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mustafal berkata, sekiranya ingkar, tindakan lebih tegas akan diambil agar isu itu tidak berlarutan.

“Saya mengingatkan agar semua ibu bapa dan penjaga dapat memantau kegiatan anak masing-masing bagi mengelakkan kes sama berlaku.

“Orang awam juga  diminta memaklumkan segera kepada kami sekiranya berlaku kes seperti itu,” katanya.