Lorong rahsia bolos diri – Metro


Lorong rahsia bolos diri

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Rumah yang dihuni suspek utama disyaki membakar Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang diserbu polis awal pagi kelmarin, didapati memiliki lorong rahsia di bahagian belakang yang dihadang zink dan dahan pokok serta ditaburi paku.

Rumah itu terletak di bahagian paling hujung dalam satu deretan mengandungi lima unit kediaman di kawasan rumah panjang di Setapak Jaya, di sini, diserbu polis jam 3.30 pagi kelmarin. Semalam, wartawan dan jurugambar Harian Metro berkesempatan meninjau rumah itu yang menjadi tempat persembunyian suspek berusia 18 tahun yang juga teman lelaki Nurul Firzanah sebelum dicekup bersama lima rakan berusia 18 hingga 20 tahun, empat daripadanya perempuan. Tinjauan mendapati lorong rahsia itu hanya selebar dua meter selain dibina zink sebagai penghadang, dipercayai untuk memudahkan mereka bersembunyi dan melarikan diri sekiranya diserbu polis.
Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Lee, 72, yang tinggal berhampiran rumah persembunyian itu berkata dia tidak mengenali suspek, namun menyedari lelaki itu sering datang ke rumah terbabit sejak dua bulan lalu.

 

“Setahu saya rumah itu dihuni seorang wanita bersama tiga anaknya kira-kira empat tahun lalu. Bagaimanapun, saya tidak rapat dengan mereka dan hanya bertegur sapa jika terserempak.
“Saya selalu lihat rumah itu sering didatangi ramai orang tak kira masa dan saya juga tak pasti apa pekerjaan wanita itu,” katanya.
Menurutnya, ketika serbuan polis awal pagi kelmarin, dia mendengar bunyi bising dan melihat banyak kereta polis namun dia tidak mengetahui apa sebab mereka ditahan.

 

 

“Saya cemas dan terkejut dengan bunyi bising. Apabila membuka pintu saya beberapa lelaki memberitahu mereka polis dan minta saya tidak takut. Saya kembali tenang dan masuk semula ke bilik untuk tidur,” katanya.

Dua beradik disuap pasir – Metro


Dua beradik disuap pasir
Oleh Ahmad Othman
metrojb@yahoo.com

LEBAM…kesan pukulan penyangkut baju oleh ibu tiri mereka.
KOTA TINGGI: Kepala disumbat dalam lubang tandas sebelum dipam, disuap nasi panas serta pasir antara deraan ibu tiri yang diterima dua beradik berumur tujuh dan 11 tahun di rumah mereka di sekitar bandar ini sejak Februari lalu.

Punggung serta tubuh dua kanak-kanak itu turut dipukul menggunakan penyangkut baju tanpa mengira masa oleh wanita berusia 30-an yang berkahwin dengan bapa mereka berumur 30-an penghujung tahun lalu.

Sepanjang dua minggu lalu, penderaan terhadap dua beradik itu dikatakan lebih teruk menyebabkan mangsa yang berumur 11 tahun sudah tiga kali melarikan diri dari rumah akibat tidak tahan diperlakukan sedemikian tetapi akibatnya, adiknya menjadi mangsa deraan lebih teruk.

Ibu mereka dikatakan melarikan diri meninggalkan kanak-kanak itu dalam jagaan suaminya yang tiada kerja dan kini bekerja sambilan di sebuah ladang kelapa sawit di sekitar daerah Kota Tinggi.
Penderaan kedua-dua beradik itu terbongkar semalam, ketika mangsa yang berumur tujuh tahun datang ke sekolah pagi semalam dalam keadaan murung.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 16/08/2012

Murid dipercayai didera menghilangkan diri – Utusan


Murid dipercayai didera menghilangkan diri

PULAU PINANG 1 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki di Sungai Nibong di sini, yang dipercayai menjadi mangsa dera bapa kandungnya dilaporkan menghilangkan diri sejak dua hari lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkifli Ismail berkata, pihaknya gagal mengesan murid tahun lima itu sejak petang semalam.

“Pagi ini, pegawai JKM pergi ke sekolahnya tetapi pihak sekolah memaklumkan dia sudah dua hari tidak hadir ke sekolah.

“Gurunya memberitahu murid terbabit ada meminta surat bertukar sekolah pada Isnin lalu, namun selepas itu dia terus tidak datang ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kebimbangan seorang lelaki mengenai nasib anak saudara tirinya yang dipercayai menjadi mangsa dera sejak setahun lalu.

Tiga Pelajar Di Nilai Cedera Diserang Sekumpulan Lelaki – Bernama


Tiga Pelajar Di Nilai Cedera Diserang Sekumpulan Lelaki
KUALA LUMPUR: Tiga pelajar tingkatan enam sebuah sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan cedera selepas dikatakan diserang sekumpulan lelaki di kawasan sekolah itu dalam kejadian 10.45 malam Jumaat.

Bapa seorang mangsa, ASP Zulkarnain Ismail dari Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, berkata anaknya dibelasah tiga lelaki berumur lingkungan 20-an selepas cuba menyelamatkan rakan yang dipukul di depan pejabat sekolah.

“Saya dimaklumkan anak saya (Muhammad Najib) bahawa kejadian berlaku ekoran seorang pelajar tingkatan tiga tidak berpuas hati dengan teguran kerana membuat bising yang dibuat seorang mangsa yang ketika itu bertugas sebagai fasilitator bagi program yang dianjurkan pihak sekolah.

“Pelajar (tingkatan tiga) itu kemudian menghubungi abangnya yang kemudian datang ke sekolah bersama dua lagi rakan sebelum membelasah pelajar tingkatan enam berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zulkarnain berkata anaknya serta seorang lagi rakan yang cuba membantu Mohd Salman Mohd Ismail, 18, mengalami luka dan bengkak. Sementara itu, Mohd Salman berkata ketika kejadian, beliau sedang melihat aktiviti sekumpulan pelajar tingkatan tiga, sebelum seorang suspek menghampiri dan menumbuknya bertubi-tubi.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Salman berkata seorang guru cuba menyelamatkan beliau namun tiga lelaki tersebut terus membelasahnya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Nilai dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. -BERNAMA

Gadis dirogol dikahwini secara paksa – Metro


Gadis dirogol dikahwini secara paksa
IPOH: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengalami pengalaman menakutkan apabila diculik di Jeli, Kelantan dan kemudian dibawa ke Grik, Perak, lalu diperkosa.

Mangsa kemudian dibawa ke Thailand untuk dinikahkan secara paksa oleh perogol terbabit tetapi 36 jam kemudian, gadis berkenaan ditinggalkan di tepi jalan di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 8 malam Khamis lalu, pelajar tingkatan tiga itu sedang membantu ibu saudaranya berniaga di kedai makan di Sungai Mekong, Jeli, Kelantan, apabila seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul dan menarik remaja itu ke dalam Proton Wira.

Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azizul, 43, berkata mangsa dibawa ke Jeli oleh ibu saudaranya yang datang ke rumah keluarganya di Grik.
“Saya difahamkan anak saya dibawa ke Kampung Belum Baru, Grik dan dirogol dalam kereta oleh lelaki berusia 30-an itu,” katanya sedih ketika ditemui di sini, semalam.

‘Dia masuk bilik saya’ – Metro


‘Dia masuk bilik saya’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLUANG: “Dia (suspek) masuk ke bilik tidur saya dan menekup muka menggunakan kain sebelum cuba menyentuh kemaluan saya,” kata adik Nurul Amin Mohamed Ishak yang hanya mahu dikenali sebagai Alya, 15.

Menurutnya, dalam kejadian jam 2 pagi Selasa lalu, suspek yang juga rakan abangnya memasuki kediaman mereka dalam keadaan mabuk bersama seorang lagi rakannya. “Mereka memang sering datang ke sini. Bagaimanapun, pada malam kejadian mereka berkelakuan pelik dipercayai akibat mabuk.
“Ketika seorang lagi rakannya tidur di ruang tamu, dia menyelinap masuk ke bilik sebelum cuba merogol saya,” katanya.

 

Alya berkata, dalam kejadian itu, dia meronta dan berjaya meloloskan diri, manakala suspek melarikan diri bersama rakannya.
“Saya memaklumkan kejadian itu kepada ibu sebelum sampai ke pengetahuan abang.
“Berikutan itu, abang (Nurul Amin) mencari suspek, namun tidak menemuinya hinggalah mereka bertemu di satu kawasan di bandar Kluang, malam kelmarin.

 

 

“Sebaik menemuinya, abang membawa rakannya itu ke kawasan stor berhampiran rumah kami untuk berbincang sebelum keadaan menjadi tegang,” katanya.
Harian Metro difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar di sini dipercayai maut akibat parah pada lehernya selepas dikelar menggunakan objek tajam.

 

Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kehilangan banyak darah sebelum dihantar ke Hospital Kluang, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan berkata, akan membuat sidang akhbar hari ini.

Pesara guru maut sebelum sarapan – Sinar Harian


Pesara guru maut sebelum sarapan

ROSNANI SAAD
15 Mei 2012
Pesara guru maut sebelum sarapan
Shahruzzaman maut berhampiran gerai menjual roti jala kegemarannya.

ALOR SETAR – Hasrat seorang pesara guru bersarapan roti jala kegemarannya tidak kesampaian apabila maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultanah, kira-kira jam 10.15 pagi semalam.

Shahruzzaman Othman, 67, yang menunggang motosikal jenis Modenas, dipercayai terbabas dan terjatuh selepas bergesel dengan sebuah lori.

Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Dee, 46, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang minum di gerai makan berhampiran dan terus membuat panggilan kecemasan.

“Ketika itu, saya lihat motosikal ditunggang mangsa bergerak seiring dengan sebuah lori tanah. Ia kemudian bergesel dan menyebabkan mangsa jatuh ke atas jalan raya.

“Saya kenal mangsa kerana kerap terserempak ketika makan di kedai ini. Namun saya tidak sangka dia yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Rohani Aziz, 67, berkata, dia terkejut sewaktu menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi, memaklumkan mengenai kemalangan yang meragut nyawa suaminya.

Menurutnya, Shahruzzaman yang merupakan bekas pengajar di Sekolah Menengah Vokasional Alor Setar, bersara 12 tahun lalu dan bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-67 pada 25 Mei ini.

“Boleh dikatakan setiap hari, dia bersarapan roti jala kegemarannya. Pagi tadi (semalam) makcik keluar dari rumah di Taman Lumba Kuda lebih awal daripada arwah kerana ada urusan lain. Sewaktu dalam perjalanan, makcik terima panggilan dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah makcik memang tidak menyangka dia maut di hadapan kedai roti jala kegemarannya dan tidak sempat menyambut hari jadi,” katanya.

Sementara itu, peniaga roti jala yang enggan dikenali berkata, Shahruzzaman adalah pelanggan tetapnya.

“Pada minggu lalu, sewaktu datang ke gerai, dia terjatuh tidak jauh dari lokasi kemalangan akibat tersepak batu.

“Memang saya tidak sangka kemalangan ini berlaku dan meragut nyawanya,” katanya yang tidak dapat menahan kesedihan.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Jamil Ahamed mengesahkan kejadian berkenaan.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.

Dua beradik tiada maklumat ibu bapa gagal buat MyKad – Berita Harian


Dua beradik tiada maklumat ibu bapa gagal buat MyKad

2012/05/15

KUALA LUMPUR: Dua beradik dari Sik, Kedah gagal membuat kad pengenalan diri kerana tidak mempunyai maklumat peribadi ibu bapa kandung mereka selepas hampir 12 tahun dipelihara keluarga angkat.

Mohd Idris Liakat Ali, 20, berkata dia dan adiknya, Mohd Ismail Liakat Ali, 17, pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan, tetapi gagal.

Katanya JPN memerlukan nama dan nombor kad pengenalan ibu bagi mengesahkan mereka rakyat negara ini.

“Kami tidak pernah kenal ibu kami, apatah lagi mengetahui nama dan nombor kad pengenalannya.

“Kami merayu kepada sesiapa terutama saudara mara yang mengenali kami tampil membantu kami,” katanya ketika datang ke Balai Berita di sini, semalam.

Mohd Idris berkata, selama ini mereka hanya berdiam diri, tetapi selepas berfikir panjang, mereka memutuskan untuk mendapatkan maklumat ibu bapa mereka supaya dapat membuat kad pengenalan.

Sementara itu, ibu angkat mereka, Noriah Abu, 41, berkata dia dan suaminya yakin dua anak angkatnya itu rakyat negara ini kerana mereka mempunyai suntikan imunisasi atau BCG yang mana kesan suntikan itu jelas keli-hatan di bahu mereka.

Budak terlampau perkosa jiran – Metro


Budak terlampau perkosa jiran

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PADANG BESAR: Baru berusia 13 tahun, tetapi seorang budak lelaki sudah berani merogol seorang budak perempuan berusia lapan tahun yang juga jirannya dalam sebuah tandas dewan orang ramai di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, budak lelaki berkenaan yang tinggal berdekatan rumah mangsa di Kampung Tersusun Padang Besar, di sini, memanggil budak perempuan itu datang ke kawasan dewan berkenaan, kononnya ada urusan.
Budak lelaki itu kemudian membawa membawa kanak-kanak perempuan malang itu ke dalam sebuah tandas di situ sebelum merogolnya.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Nashir Ya berkata, mangsa yang takut selepas kejadian itu, pulang ke rumahnya tergesa-gesa sebelum memberitahu kakaknya yang berada di rumah sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, kelmarin,” katanya.
Menurutnya, kakak mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
Budak lelaki itu ditahan polis di rumahnya dan kini ditahan bagi siasatan selanjutnya.

Tali pinggang ‘makan’ anak tiri – Metro


Tali pinggang ‘makan’ anak tiri

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Hanya kerana bermain basikal di dalam rumah dan merosakkan basikal adiknya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun teruk dibelasah bapa tirinya di rumah mereka di Puchong Utama, di sini, Khamis lalu.

Kejadian itu disedari guru mangsa yang mendapati kanak-kanak itu bengkak di kepala, pendarahan dalam mata serta luka di kiri dan kanan lengannya akibat dibelasah dengan tali pinggang ketika datang ke sekolah, jam 9 pagi, keesokan harinya. Menurut sumber, mangsa bermain basikal di dalam rumah sebelum dimarahi bapa tirinya. “Tidak puas hati dimarahi, mangsa memberontak dengan merosakkan basikal adiknya sebelum dikejar bapa tirinya yang kemudian membelasah kanak-kanak terbabit dengan tali pinggang.
“Mangsa bengkak di kepala serta pendarahan di dalam matanya. Kedua-dua lengan serta belakang badan mangsa turut cedera akibat dilibas dengan tali pinggang,” katanya.

 

Sehubungan itu, guru mangsa yang berusia 31 tahun membawa mangsa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan guru terbabit dan berkata, mengikut keterangan mangsa, kejadian berkenaan kali pertama berlaku.
“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.