Pelengkap pendidikan – Metro


Pelengkap pendidikan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengiktiraf Program Permata Pintar sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan negara yang ketika ini banyak memberi tumpuan terhadap keperluan pelajar sederhana dan sederhana tinggi.

Katanya, pendekatan program itu yang menyedia kurikulum khas untuk pelajar pintar dan memiliki kelebihan kecerdasan akal tinggi, membolehkan mereka dididik dengan sukatan pelajaran sesuai.
Beliau berkata, ia sekali gus mengelak aliran keluar bakat pintar berkenaan ke luar negara, malah mereka boleh terus mendapat pendidikan sempurna di Malaysia menerusi Permata Pintar.

 

“Sistem pendidikan kita tak ada kurikulum mengambil kira mereka yang mempunyai IQ luar biasa dan jika kita tak dapat menyedia sistem mengikut keperluan kelompok ini, maka potensi mereka takkan dapat dioptimumkan.
“Di peringkat mereka sendiri mungkin akan cepat berasa bosan (dengan pengajaran yang tidak sesuai) atau dihantar ke luar negara kerana tentulah ibu bapa pelajar ini mahu anak mereka berjaya setanding akal luar biasa yang dimiliki.
“Atas sebab itu, kita akan hilang bakat pintar dan negara mengalami kerugian. Tetapi dengan Permata Pintar, mereka yang ada skil luar biasa ini dapat dicanai dan kelebihan diperkasa supaya mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya.

 

 

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Permata Pintar, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Hadir sama, isteri beliau yang juga Penaung Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Turut serta Naib Presiden Yayasan Albukhary, Datuk Seri Ismail Yusof dan Pengarah Pusat Permata Pintar, Prof Dr Noriah Mohd Ishak.

Bakat luar biasa pelajar perlu dicungkil – Bernama


Bakat luar biasa pelajar perlu dicungkil

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

NEW YORK: Datin Seri Rosmah Mansor berkata, bakat luar biasa yang dimiliki pelajar Malaysia, termasuk yang berada di luar negara perlu dicungkil dan dimanfaatkan kerana mereka modal insan negara untuk masa akan datang.

“Malaysia perlu memanfaatkan semua modal insannya untuk menjadi negara maju,” kata isteri Perdana Menteri pada satu majlis di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, kelmarin.
Majlis itu dihadiri masyarakat Malaysia, termasuk pelajar yang mengikuti pengajian di sini serta anggota perkhidmatan diplomatik dan rakan rakyat Malaysia, terutama daripada sektor perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

 

Rosmah, yang tiba pada Rabu, dalam rangka lawatan kerja empat hari sempena Persidangan ke-56 Suruhanjaya Mengenai Status Wanita (CSW) PBB, yang sedang berlangsung di sini.
Pada Jumaat, beliau menyampaikan ceramah bertajuk Memperkasakan Ekonomi Wanita Luar Bandar pada persidangan itu.
Rosmah menyeru pelajar Malaysia di luar negara supaya belajar dengan tekun, memperkaya pengalaman serta meningkatkan kemampuan, sebelum pulang untuk berkhidmat di tanah air.

 

 

Beliau menasihati mereka supaya memanfaatkan peluang yang ada, bukan saja untuk memperoleh ilmu dan kemahiran baru, tetapi lebih penting, untuk mengenali rakyat negara yang hebat ini.
Rosmah berkata beliau amat menghargai bantuan serta pertolongan yang diberi rakan-rakan di Amerika Syarikat kepada pelajar dan masyarakat Malaysia di sini. “Di samping melalui kerjasama dalam bidang pendidikan, hubungan antara Amerika dan Malaysia juga dipertingkatkan melalui hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kebudayaan,” katanya.

 

Mengenai Permata Seni, beliau berkata program itu, yang bertujuan mengenal pasti kanak-kanak yang berbakat dan berpotensi dalam bidang seni untuk diberi pendedahan dan latihan agar kebolehan dan bakat mereka dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi, telah membuahkan hasil.
Ini terbukti apabila pemuzik berbakat besar Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal, 13, daripada Permata Seni Muzik, diterima melanjutkan pengajian dalam bidang piano dan penggubahan lagu di sekolah muzik terkenal dunia Juilliard School dan dia rakyat Malaysia pertama diterima belajar di sekolah berprestij itu.
Sementara itu, Amir Adrian Amir Hamzah, 10, daripada Permata Seni Koir pula mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat tempat di Augarten Palace di Vienna, Austria – tempat yang melatih kanak-kanak untuk menganggotai Vienna Boys Choir, yang terkenal itu. – Bernama