Kes Aminulrasyid: Koperal Jenain bebas – Sinar Harian


Kes Aminulrasyid: Koperal Jenain bebas

NORAWAZNI YUSOF
5 Disember 2012
Aminulrasyid Amzah
Aminulrasyid Amzah

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menerima rayuan Koperal Jenain Subi dan membebaskan dia daripada hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada September 2011 berhubung kes menembak mati remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuannya memutuskan demikian selepas mendapati Jenain, 49, tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan tetapi tujuan utamanya hanya untuk memberhentikan kenderaan dipandunya.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertengahan September lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Ketika menjatuhkan hukuman September 2011, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.

Latifah membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kes Aminulrasyid: Keputusan rayuan Koperal Jenain 5 Dis – Bernama


Kes Aminulrasyid: Keputusan rayuan Koperal Jenain 5 Dis

29 November 2012

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 Disember ini untuk memutuskan rayuan anggota polis, Koperal Jenain Subi terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya selepas didapati bersalah menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Peguam M.Athimulan dan Salim Bashir hadir bagi pihak Jenain selaku perayu sementara Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar dan Idham Abd Ghani mewakili responden.

Selain Jenain, pihak pendakwaan dalam kes itu turut mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Datin Latifah Mohd Tahar pada 15 Sept tahun lepas.

Jenain, 49, yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didapati bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Terdahulu, Athimulan berhujah tiada saksi kejadian yang boleh membuktikan bahawa Jenain telah menembak mangsa.

Beliau berkata, tiada bukti forensik juga untuk mengaitkan peluru yang mengenai kepala Aminulrasyid dengan senjata yang digunakan oleh anggota polis itu.

“Hakim yang bijaksana gagal mempertimbang hujah yang saya sebutkan.

Keterangan pendakwaan sendiri menunjukkan Jenanin tidak berniat untuk menyebabkan kematian mangsa. Dia menjalankan tugas mengikut undang-undang memberhentikan kenderaan yang bergerak laju.

“Pada asasnya, tujuannya adalah untuk memberhentikan kenderaan. Malah jika tembakan adalah tindakan Jenain, ia tidak disengajakan. Orang ini menjalankan tugas selepas mendengar arahan,” katanya.

Idham berhujah tertuduh sendiri dalam pembelaannya sebelum ini mengakui bahawa semasa di Jalan Tarian, kereta dipandu mangsa sudah tidak laju dan tidak membahayakan memandangkan kawasan itu ialah kawasan perumahan.

Beliau berkata, dalam keadaan itu Jenain tidak sepatutnya melepaskan tembakan sebaliknya mengadakan sekatan jalan raya.

Dusuki berhujah keputusan hakim Mahkamah Sesyen adalah wajar dan tepat berdasarkan penilaian menyeluruh dengan mengambil kira keterangan yang diberikan oleh kedua-dua pihak.

“Oleh itu, keputusan sabitan oleh hakim hendaklah dikekalkan,” katanya. – Bernama

68 rumah termasuk 3 sekolah rosak dilanda ribut – Bernama


68 rumah termasuk 3 sekolah rosak dilanda ribut

27 Jun 2012
KUALA LIPIS – Sebanyak 68 buah rumah termasuk tiga buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Padang Tengku rosak akibat dilanda ribut malam kelmarin.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamed berkata sebahagian besar rumah rosak pada bahagian atap dan dinding diterbangkan angin.

“Kejadian berlaku pukul 8.30 malam selama kira kira 15 minit membabitkan Kampung Kecau Tui, Ladang Selborne, Perumahan Banjir Padang Tengku, Taman Cempaka, Kampong Baru Cina, Telemin, Kampung Gua, Pasir Sia, Bukit Nering, Tanjung Jambu dan Berchang.

“Tiga sekolah yang rosak itu ialah Sekolah Kebangsaan Padang Tengku, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Padang Tengku, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Ladang Selborne,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata kerugian sebenar belum ditaksirkan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Lipis sedang menjalankan siasatan dengan bantuan segera telah diberi kepada kira- kira 80 keluarga terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan mengesahkan pihaknya menerima 65 laporan kejadian ribut tanpa sebarang kemalangan atau kecederaan.

Seorang suri rumah, Rosmadiah Sabu, 34, yang baru 10 hari melahirkan bayi berkata kejadian berlaku semasa beliau sedang berehat bersama keluarga.

“Saya terperanjat apabila bumbung atap rumah tiba-tiba terkopak dan diterbangkan angin kuat. Bayi saya bagaimanapun terselamat,” katanya.- Bernama