20 Sekolah Di Pedalaman Sabah, Sarawak Dinaik Taraf – Bernama


20 Sekolah Di Pedalaman Sabah, Sarawak Dinaik Taraf

BELURAN: Empat belas sekolah di pedalaman Sabah dan enam sekolah di pedalaman Sarawak akan dinaik taraf atau ditambah baik mengikut keperluan menerusi program Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak mulai tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam sekolah di Sabah dan tiga sekolah di Sarawak itu dipilih melaksanakan program itu menerusi fasa pertama manakala lima di Sabah dan dua di Sarawak akan menjalani transformasi itu menerusi fasa dua tahun depan.

Fasa ketiga pada 2015 pula meliputi sebuah sekolah di Sarawak dan tiga di Sabah, kata Muhyiddin semasa melancarkan Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak di Pentas Rakyat Paitan di sini, Khamis.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Muyhiddin yang juga Menteri Pelajaran menggariskan tujuh teras utama bagi meningkatkan prestasi pencapaian pendidikan ke tahap lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri berkata pelan transformasi itu merupakan paradigma perubahan pendidikan menyeluruh dengan memberi penekanan kepada faktor yang telah dikenal pasti boleh menyumbang kepada peningkatan kecemerlangan pendidikan iaitu guru, murid, ibu bapa dan komuniti serta infrastruktur.

“Justeru bagi memastkan pelan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, maka ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun ini sehingga 2015,” katanya.

Muhyiddin berkata teras pertama pelan transformasi itu bermatlamat meningkatkan kualiti kepimpinan dan kemahiran mengurus di semua peringkat, terutama di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah.

Katanya teras kedua pula akan memberi tumpuan terhadap bidang berkaitan kurikulum, penyusunan pengajaran dan penilaian pengajaran, bagi memastikan murid di pedalaman dapat mencapai prestasi cemerlang setanding murid di kawasan bandar.

Menurutnya teras ketiga pula bermatlamat meningkatkan pembangunan infrastruktur fizikal, akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya, manakala teras keempat pula meningkatkan kualiti murid dan prasekolah, dengan harapan semua murid mampu meningkatkan diri sendiri untuk belajar. – BERNAMA

Rezeki sekolah Sabah – Metro


Rezeki sekolah Sabah

 0  0 Google +0  0  0

Murid sekolah di seluruh Sabah bakal menikmati kemudahan lebih baik apabila Pelan Transformasi Pembangunan Pendidikan Luar Bandar dilancarkan bagi meningkatkan taraf pendidikan dan infrastruktur sekolah di kawasan pedalaman.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk luar bandar yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Sebagai Menteri Pelajaran, saya bersetuju sekolah di seluruh negeri ini dipertingkatkan. Mana yang kurang ditambah dan yang uzur diganti.

 

“Sebab itu, saya nak maklumkan kita akan lancarkan Pelan Transformasi Pembangunan Pendidikan Luar Bandar khas untuk Sabah dan hanya menunggu masa sesuai untuk kembali ke negeri ini bagi melancarkannya,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Seri Antanom, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Radin Malik dan ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang.
Muhyiddin berkata, tujuan pelan itu dilaksanakan adalah untuk memastikan mutu pendidikan di negeri ini setanding dengan negeri lain.

 

“Tujuan kita supaya mutu pendidikan di Sabah sama dengan apa yang dicapai di negeri lain,” katanya.
Sehubungan itu katanya, beberapa peruntukan untuk tujuan sama turut disalurkan di daerah ini bagi tujuan sama.

 

“Saya luluskan permohonan dari Datuk Radin Malik (ADUN Melalap) sebanyak RM2.5 juta untuk dua sekolah iaitu RM2 juta bagi pembinaan bangunan baru Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa Tenom dan RM500,000 lagi untuk pembinaan dewan serba guna SM Tshung Tsin Tenom.
“Permohonan untuk menambah baik jalan kampung di luar bandar dalam DUN Kemabong kita luluskan peruntukan RM3.5 juta.
“Ketiga, kita akan bina sekolah menengah vokasional di Tenom dan RM5 juta lagi menambah baik masalah fizikal sekolah daerah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut memuji kepimpinan kerajaan negeri yang berjaya mengurangkan kadar kemiskinan.
“Kerajaan melakukan pelbagai usaha dan bantuan untuk memajukan sektor luar bandar, menyediakan kemudahan asas dan sosial serta membantu rakyat memperoleh pendapatan terbaik dalam mengatasi kemiskinan.
“Saya ucapkan syabas kepada Ketua Menteri Sabah yang berjaya mengurangkan taraf kemiskinan ke tahap rendah iaitu lapan peratus dan apa yang disebut pembangkang Sabah tidak menerima pembangunan adalah bohong,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Guru pengemudi wawasan – Metro


Guru pengemudi wawasan
Oleh Norasikin Daineh dan Erdie Abd Wahid
hmkk@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Guru adalah golongan yang memainkan peranan penting dalam mengemudikan ‘kereta api’ bagi memastikan perjalanan kerajaan ke arah Wawasan 2020 tercapai dengan cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kereta api akan membawa penumpangnya iaitu rakyat sehingga tiba ke destinasi terakhir.
“Dalam perjalanan kita untuk mentranformasikan negara, kerajaan memberi sokongan dan berjanji untuk menunaikan tanggungjawab menghantar ‘penumpang’ ke destinasi.

“Apabila berada dalam kereta api, kita mahu penumpang yang baik iaitu berlandaskan undang-undang, menyokong dan bekerjasama bagi memastikan perjalanan tidak terganggu,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Kad Hari Guru Peringkat negeri 2012, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Timbalannya, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Cina Sabah, Datuk Eng Thiam Leong.
Najib berkata, menerusi program pertandingan itu, ia sesuai dijadikan amalan atau tradisi kerana mampu mencapai dua objektif bagi memperlihatkan sumbangan guru dalam masyarakat.

“Objektif pertama, guru adalah orang di sebalik tabir dan wira yang tidak kelihatan, tetapi terdapat sumbangannya kepada masyarakat.
“Jadi, pelajar yang merangka kad ucapan dan memuatkan kata-kata ucapan terbabit adalah sebagai penghargaan serta perangsang kepada guru dalam mendidik pelajar,” katanya.

Menurutnya, dalam objektif kedua pula, ia dapat membentuk keperibadian yang baik kepada pelajar itu sendiri.
“Program ini dapat membentuk keperibadian seseorang kerana kita memerlukan generasi yang berpelajaran, berilmu pengetahuan, berperwatakan baik dan menyenangkan, mempunyai nilai murni serta bersikap positif.
“Kami tidak mahu pelajar yang mempunyai akademik semata-mata, tetapi juga memerlukan insan berpelajaran dan berpengetahuan dalam menuju kecemerlangan,” katanya sambil menambah program seumpama itu mampu mengajar masyarakat, khususnya pelajar sekolah berterima kasih kepada guru.

Sabah isytihar 11 April sebagai hari kelepasan am tambahan – Bernama


Sabah isytihar 11 April sebagai hari kelepasan am tambahan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA KINABALU: Sabah mengisytiharkan 11 April ini sebagai hari kelepasan am tambahan bagi negeri ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata Sabah tidak seharusnya terkecuali daripada meraikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 itu.

“Adalah wajar bagi Sabah untuk turut memberi cuti seperti yang diputuskan oleh kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Musa turut mengumumkan kenaikan elaun ketua masyarakat Cina di negeri ini dari RM450 ke RM650 berkuat kuasa 1 Jan lepas.

 
Kali terakhir elaun berkenaan dinaikkan ialah kira-kira lima tahun lalu iaitu dari RM230 ke RM450. – BERNAMA

TPM tiba di Sabah untuk lawatan rasmi – Bernama


TPM tiba di Sabah untuk lawatan rasmi

16/01/2012 5:48pm

 

KOTA KINABALU 16 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Sabah.

Muhyiddin tiba dengan pesawat khas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira pukul 4.40 petang.

Beliau diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan disambut oleh timbalan-timbalan ketua menteri, anggota Kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan Negeri serta pemimpin masyarakat.

Muhyiddin akan menghadiri majlis makan malam tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO dan Jawatankuasa Barisan Nasional Negeri pukul 7 malam ini.

Esok, beliau dijadual berlepas ke Semporna dan dijangka tiba di daerah itu kira-kira pukul 9.20 pagi bagi menghadiri Majlis Mesra Rakyat dan Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Padang Pekan Semporna pukul 10 pagi.

Beliau juga akan membuat perjumpaan khas dengan guru-guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), penjawat awam dan pemimpin masyarakat di Dewan Masyarakat Semporna pukul 12 tengah hari.

Pada pukul 3 petang, Muhyiddin akan menghadiri Majlis Penyerahan BR1M di Dewan Masyarakat Tawau sebelum berlepas pulang ke ibu negara pukul 5 petang. — BERNAMA