Talian Nur 15999 telefon awam di sekolah percuma – Utusan


Talian Nur 15999 telefon awam di sekolah percuma

KUALA LUMPUR 31 Mac – Perkhidmatan Talian NUR 15999 boleh dibuat secara percuma di lebih 40,000 telefon awam di sekolah-sekolah di seluruh negara mulai bulan Jun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkhidmatan secara percuma itu ditawarkan bagi memudahkan golongan kanak-kanak dan remaja membuat aduan mengenai masalah dera atau perkara-perkara lain yang membabitkan keselamatan mereka.

“Melalui perkhidmatan ini, kanak-kanak dan remaja berpeluang berkomunikasi dengan konsultan Talian NUR 15999 secara percuma bagi mendapatkan nasihat dan maklumat serta melaporkan aduan atau masalah yang mereka hadapi.

“Memang tidak nafikan ada segelintir yang menyalahgunakan talian ini, namun yang lebih mustahak adalah kita di peringkat kementerian perlu memberi ruang dan peluang untuk mereka membuat aduan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) di Taman Metropolitan, Kepong di sini hari ini.

Program kesan disleksia awal di taska bakal dilaksana – Bernama


Program kesan disleksia awal di taska bakal dilaksana

13/02/2012 6:15pm

 

KUALA LUMPUR 13 Feb. — Program pengesanan awal disleksia bakal dilaksanakan di semua taman asuhan kanak-kanak (Taska) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata untuk tujuan itu, kementeriannya bekerjasama dengan Persatuan Disleksia Malaysia menyediakan modul mengenai cara dan kaedah pengesanan awal disleksia di kalangan kanak-kanak.

“Oleh kerana persatuan ini mempunyai kepakaran, mereka akan menjadi rakan kongsi pintar kementerian untuk mewujudkan projek perintis bagi menyediakan kurikulum dan modul cara-cara mengesan disleksia dari awal di semua Taska yang berdaftar dengan JKM.

“Untuk modul tersebut saya harap dalam masa lima bulan akan datang dapat disempurnakan bagi diagihkan kepada Taska untuk diaplikasikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Program Pendidikan Khas Integrasi (Disleksia) di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri (SKTM) di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, disleksia atau gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami kanak-kanak merupakan satu daripada cabang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang diberi perhatian oleh kementerian.

JKM mengenal pasti kanak-kanak yang menghadapi masalah berkenaan sebagai golongan yang memerlukan perhatian segera di peringkat awal. — BERNAMA