Bahasa Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM – mStar


Bahasa Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM

Oleh STEPHANIE LEE

KOTA KINABALU: Bahasa Inggeris ditetapkan sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila pelajar dan tenaga pengajar sudah bersedia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sementara bersedia untuk melaksanakannya, ibu bapa, guru dan pelajar harus bekerjasama untuk memperbaiki kualiti Bahasa Inggeris di negara ini.

Menurut beliau, walaupun sistem pendidikan di negara ini dianggap baik, lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk mengangkat ia supaya setanding dengan negara lain.

“Kita harus berusaha dengan menjadikan sistem pendidikan di mana daya saing berada pada kelas dunia,” katanya selepas melancarkan Jelajah Guru Muda 1Malaysia di sini, Sabtu.

Beliau berkata, pendidikan antara penyumbang utama kepada pembangunan negara dan kualiti pembangunan modal insan manakala para guru memainkan peranan penting dalam memastikan matlamat direalisasikan.

“Ini suatu tugas yang amat penting yang dipikul oleh guru-guru. Sebab itu, kita mahu supaya peranan yang dipikul itu terus dipertingkatkan, diperkukuhkan lagi dan diperkuatkan lagi agar cita-cita kita untuk melahirkan atau generasi yang masyarakt Malaysia yang terdidik akan tercapai.

“Ini kerana dalam tempoh tinggal tujuh tahun lagi kita akan masuk dalam ambang penting dalam sejarah pembangunan negara iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri,” katanya.

Muhyiddin berkata meskipun bukan perkara mudah tetapi akan menjadi lebih mudah kalau ditanam iltizam, kesanggupan untuk memikul apa sahaja tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Guru tidak seperti penjawat awam yang lain, guru adalah kumpulan profesional kerana penjawat awam hanya menggunakan ilmu untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan, tetapi guru menggunakan ilmu dan menurunkan ilmu kepada anak bangsa agar berjaya menghadapi masa depan yang lebih baik khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar, penduduknya tidak berapa ramai tapi bertaburan di seluruh negeri dan tentunya perlukan suatu usaha yang lebih.

“Kalau di Semenanjung kita biasa ke sekolah untuk mendidik anak-anak dan tidak banyak halangan dan rintangan tetapi di Sabah dan Sarawak, guru-guru adalah guru-guru yang cekal dan berani, sanggup mengharungi sungai, jalan-jalan yang jauh berbatu-batu, berjam-jam lamanya dalam keadaan yang agak luar biasa,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (2013-2025) dalam tiga gelombang dalam usaha meningkatkan daya saing negara ini dalam arena pendidikan.

“Apa yang kita akan lalui adalah suatu yang agak luar biasa. Banyak negara mencuba menjadi negara berjaya dalam bidang pendidikan tapi sebahagian kecil sahaja yang mampu mencapai, sebahagian besarnya gagal.

“Tetapi kita mengambil satu langkah berani kerana bagi kita tiada yang mustahil. Kalau Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju, cemerlang dan hebat mahu bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa setanding dengan negara gergasi dunia, maka sistem kita mesti sistem yang terbaik,” katanya.

Guru mesti terlebih dulu kuasai BI – Berita Harian


Guru mesti terlebih dulu kuasai BI

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2012/05/01

 MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada majlis perasmian Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya (KIC), di Cyberjaya, semalam.

MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada majlis perasmian Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya (KIC), di Cyberjaya, semalam.

Semangat Maktab Kirkby dapat lonjak penguasaan bahasa Inggeris: TPM

CYBERJAYA: Tiada kaedah pengajaran yang lebih berkesan melainkan guru menguasai bahasa Inggeris terlebih dulu sebelum berdepan dengan pelajar bagi mengajar bahasa itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kaedah diguna pakai pada 1950-an yang mana guru dihantar ke Maktab Kirkby, England untuk belajar daripada tenaga pengajar yang juga penutur jati bahasa Inggeris ternyata dapat melahirkan guru yang menguasai bahasa itu dengan cemerlang.

Pendekatan sama boleh bantu kita mengatasi salah satu rungutan utama sektor profesional di sini iaitu mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan universiti tidak memuaskan, sekali gus membawa implikasi besar terhadap daya saing dan pembangunan negara. – Tan Sri Muhyiddin Yassin

Katanya, guru pelatih di Maktab Kirkby ketika itu berpeluang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris selama dua tahun dengan penutur jati, selain mempelajari budaya mereka yang menjadi asas kepada pembentukan budaya berbahasa Inggeris.

“Pendekatan sama boleh bantu kita mengatasi salah satu rungutan utama sektor profesional di sini iaitu mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan universiti tidak memuaskan, sekali gus membawa implikasi besar terhadap daya saing dan pembangunan negara.

“Saya yakin semangat Maktab Kirkby dapat memainkan peranan dalam melonjakkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih dan masyarakat umum di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya (KIC), di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut melancarkan buku bertajuk Warisan Maktab Kirkby sempena majlis itu. Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud; Pengerusi Lembaga Pengarah KIC, Tan Sri Dr Yahya Ibrahim dan Presiden KIC, Bismillah Khatoon.
Bangunan KIC yang dibina dengan kos RM54 juta itu menempatkan 1,030 pelajar termasuk kira-kira 1,000 pelajar lepasan diploma yang kini mengikuti Program Pensiswazahan Guru, selain 126 pelajar lepasan sekolah menengah yang kini mengikuti Program Latihan Perguruan Peringkat Ijazah Pertama.

Muhyiddin berkata, tokoh guru seperti Yahya, yang juga Alumni Maktab Kirkby, wajar memanfaatkan kelulusan dan pengalaman luas beliau serta rakan seangkatannya untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan tenaga pengajar di sini.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM) turut menyumbang cadangan dan pemikiran dalam Dialog Kebangsaan Kajian Semula Pendidikan yang beliau lancarkan kelmarin, menjurus kepada aspek khusus memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, walaupun bahasa Inggeris diletakkan di tempat kedua selepas bahasa Melayu, kerajaan tetap mengiktiraf kepentingan usaha memastikan rakyat menguasai bahasa antarabangsa itu.

Guru Bahasa Inggeris AS kunjungi Najib – Bernama


Guru Bahasa Inggeris AS kunjungi Najib

NAJIB Tun Razak bersama lembaga penasihat GMM pada hari terakhir Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012 (GMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan (duduk dari kiri) Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan, Khalek Awang, Tan Sri Razali Ismail dan Tan Sri Mohamed Jauhar Hassan.

 

PUTRAJAYA 19 Jan. – Sekumpulan guru Bahasa Inggeris Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di pejabatnya, di sini hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) itu yang tiba di Kuala Lumpur pada 4 Januari akan ditugaskan ke Johor, Pahang dan Terengganu selama 10 bulan mulai 31 Januari ini.

Dalam ucapannya, Najib berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat, semuanya adalah mengenai manusia.

“Semuanya mengenai kita, rakyat Malaysia dan Amerika yang mahu bekerjasama, yang mahu bertukar-tukar mengenai apa jua kekuatan yang kita ada. Apa cara yang lebih baik daripada dalam bidang pendidikan kerana pendidikan merupakan satu perkara yang benar-benar membawa perbezaan,” katanya.

Program ETA meningkat tiga kali ganda tahun ini berdasarkan kepada perkongsian komitmen Presiden AS, Barack Obama dan Najib bagi memperluaskan program pertukaran rakyat dengan rakyat antara AS dan Malaysia.

Najib berkata, Malaysia memberikan penekanan kepada bahasa Inggeris kerana ia amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mempunyai daya saing.

“Ia akan menjadi langkah penting ke arah itu kerana apabila kita ada rakyat Amerika mengajar anak-anak kita, saya yakin anak-anak kita akan lebih bermotivasi dan mendapat inspirasi,” katanya. — BERNAMA

Pertumbuhan paling cepat – Metro


Pertumbuhan paling cepat

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Sektor pendidikan mengalami kadar pertumbuhan paling cepat sepanjang dekad lalu dan menjadi satu daripada pengganda output tertinggi negara.

Perkembangan itu turut menjana dan memberi kesan kepada sektor lain yang menyaksikan pihak awam dan swasta memainkan peranan penting merealisasikan aspirasi serta sasaran pertumbuhan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama (NKEA) dalam pendidikan, sektor itu disasar menyumbang RM60.7 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (PKN) menjelang 2020 daripada RM27.1 bilion pada 2009.

 

“Pada masa sama, pendidikan dalam erti kata lebih mendalam harus menggarap nilai murni, pemikiran kritis, kepemimpinan dan komunikasi di samping pengetahuan teknikal bidang masing-masing.
“Sahsiah murid secara holistik ini akan memberi kesan berganda terhadap daya saing ekonomi dan keterangkuman sosial untuk pembangunan negara secara menyeluruh,” katanya dalam ucapan perasmian Program Bakat Muda Axiata (AYTP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar, Ahli Lembaga Pengarah Axiata Group Berhad, Datuk Azzat Kamaluddin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Berhad, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim.