Dedah bahaya media sosial kepada pelajar – Utusan


Dedah bahaya media sosial kepada pelajar

GEORGETOWN 18 Julai – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini meminta pihak berkenaan termasuk sekolah agar mendedahkan bahaya media sosial kepada pelajar bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah.

Naib Pengerusinya Datuk Kamarudin Md Ali berkata pelajar kini dilihat begitu mudah mendedahkan maklumat peribadi menerusi laman sosial tanpa menyedari aktiviti mereka dipantau penjenayah.

“Keadaan ini menyebabkan potensi berlakunya jenayah culik amat tinggi apabila setiap pergerakan mangsa dapat dibaca dengan mudah dan lebih membimbangkan jika ia diakhiri dengan jenayah seperti rogol dan bunuh,” katanya berucap pada seminar “Kanak-Kanak dan Jenayah”, di sini.

Katanya pembabitan remaja dalam media sosial sememangnya tidak boleh dikekang, justeru semua pihak bertanggungjawab memastikan golongan itu tahu dan faham akan risiko laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. – BERNAMA