Dedah pelajar kepada isu pengguna – Kosmo


Dedah pelajar kepada isu pengguna

BERA – Program celik kesedaran mengenai hak kepenggunaan untuk golongan kanak-kanak, Kids@Kepenggunaan, diteruskan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar 32 di sini bakal menjadi tuan rumah dalam majlis yang akan berlangsung esok.

Program itu yang akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 9.30 pagi dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 pelajar.

Pengurus program, Leny Harlina Agus Sharif berkata, Kid@Kepenggunaan menggunakan pendekatan santai dan informatif sebagai pemangkin kepada pendidikan kepenggunaan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Matlamat utama program ini diadakan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna mendapat pembelaan jika ditipu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Program Kids@Kepenggunaan merupakan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pelajaran.

Leny berkata, program itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz, ceramah kepenggunaan serta nasihat dan perkongsian pengalaman daripada artis-artis jemputan iaitu Dafi, Fauziah Gambus dan Zoey.

“Mereka bukan sahaja akan menghiburkan peserta program tetapi juga berkongsi pengalaman mengenai cetak rompak,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_15.htm#ixzz2LgI0nc9U
Hakcipta terpelihara